Tuan Ibrahim Tuan Man : Membalas Rahman Dahlan

10:46 AM 0 Comments A+ a-




Membalas Rahman Dahlan

Pertama saya ucap terima kasih atas respon Dato Abdul Rahman Dahlan terhadap soalan 'remeh' yang saya kemukakan.

Sekurang-kurangnya ada maklum balas. Perdana Menteri masih berdiam diri meskipun rakyat sudah menanti lebih sebulan sehingga Tun Mahathir Mohamad pun naik angin.

Padahal bukan payah sangat untuk PM menjelaskan bahawa: "Ini sumbangan derma dari penderma perihatin." Peliknya mengapa PM tidak menjawab sedemikian ketika WSJ melakukan tuduhan ke atasnya. Mengapa PM menjawab ‘Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri’ dan bukannya terus menempelak WSJ dan berkata duit itu duit derma?

Setelah sebulan, akhirnya yang membuat kenyataan itu ialah SPRM.

Apakah kini PM yakin rakyat akan percaya wang itu dari sumbangan derma hanya kerana SPRM mengumumkan sedemikian?

Rakyat nak tahu ke mana hutang RM42 billion yang kini menjadi liabiliti kepada 1MDB dibelanjakan. Itu pun kerana yang menjamin hutang tersebut ialah rakyat. Kalau yang menjamin ialah besan PM di Kazathstan tak apalah pula.

Namun kini isu 1MDB ini merebak sehingga terdedahnya akaun PM pernah menerima dana RM2.6 bilion – di mana mengikut perkiraan matematik, 29 juta rakyat Malaysia perlu menderma sebanyak RM89 setiap seorang untuk mencapai jumlah ini.

Sebagai seorang yang menerima gaji daripada rakyat, PM perlu menjelaskan kepada bosnya – sumber RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaunnya. Lebih elok kalau rakyat tahu siapa penderma tersebut bagi mengelak tuduhan dan kecurigaan apakah PM bekerja untuk penderma berkenaan atau untuk rakyat.

Pendedahan ini juga akan membantu LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) membuat kunjungan kepada dermawan tersebut dan mungkin Pusat Pungutan Zakat juga berminat untuk melawat dermawan ini.

Walaupun Rahman telah memberi penjelasan kepada soalan remeh-temeh, ini bukanlah bermakna isu ini selesai. Masih banyak lagi soalan remeh-temeh yang perlu dijawab.

Antaranya - apakah wajar bagi PM menggunakan akaun peribadi bagi menerima dana sebesar RM2.6 bilion yang menjadikan beliau memasuki carta 10 orang terkaya di Malaysi, sedangkan ia boleh mengundang pelbagai prasangka buruk kepada beliau?

Berapakah jumlah yang dibelanja oleh Umno-BN bagi menghadapi PRU 13 lalu? Apakah ia melepasi had yang ditentukan oleh Akta Pilihanraya? Jika ya, bukankah keputusan PRU13 yang lalu menjadi tidak sah?

Jika dana itu tidak habis digunakan untuk PRU13 yang lalu dan bukan untuk kegunaan peribadi, berapakah baki duit derma yang masih berada di akaun itu ketika akaun perbadi PM yang mengandungi RM2.6 bilion itu ditutup? Ke mana perginya baki itu? Apakah penyaluran dana sebenar ini ke akaun PM ini tidak tertakluk di bawah Akta Kewangan dan tidak terbau hidung LHDN untuk dikejar cukainya?

Saya percaya soalan-soalan yang dikemukakan hari ini juga sangat-sangat ditunggu jawapannya oleh rakyat marhaen, namun mungkin dipandang remeh-temeh kepada mereka yang berniat cuba menutup sesuatu daripada pandangan rakyat.

Sebagai seorang penerima gaji dari rakyat jelata, eloklah Rahman mengingati siapa bosnya yang sebenar.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
5 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.