Kenyataan Media PAS Kedah

9:59 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA PAS KEDAH

1. Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah mengambil ketetapan untuk mempertegaskan sokongan terhadap pendirian yang dibuat oleh PAS Pusat, iaitu mana-mana wakil rakyat PAS yang keluar parti hendaklah mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket PAS tersebut.

2. Sehubungan itu, PAS Kedah mendesak ADUN Pengkalan Kundor, Dato' Ir Phahrolrazi Md Zawawi yang mengisytiharkan diri menyertai Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia supaya mengosongkan kerusi DUN Pengkalan Kundor, ekoran beliau bukan lagi ahli PAS (berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS, Fasal 15 (1)(c).


3. Pengosongan tersebut mesti dilakukan ekoran bai'ah yang dibuat oleh Phahrolrazi menjelang PRU13 bahawa beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati perjuangan PAS. Sesungguhnya bai'ah adalah merupakan ikrar, akujanji dan sumpah setia yang wajib dipatuhi kerana ia adalah dokumen integriti yang sah, apatah lagi berbai'ah dengan menyebut Nama Allah sebagai saksi.

4. Dakwaan Phahrolrazi bahawa beliau menang kerana Pakatan Rakyat adalah tidak wajar kerana realiti menunjukkan bahawa PASlah yang bekerja keras terhadap kemenangannya. Beliau bertanding atas tiket PAS. Justeru apabila beliau tidak lagi bersama PAS, maka wajar kerusi yang dimenangi dengan dokongan dan sokongan kuat PAS dikosongkan bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pemilihan semula siapakah wakil rakyat mereka.

5. Berdasarkan realiti politik semasa kini, PAS Kedah yakin kembali mendapat sokongan padu dari rakyat jelata pelbagai kaum. Dakwaan kononnya masyarakat berbilang kaum tidak lagi menyokong PAS, lebih kepada "propaganda politik" untuk menjustifikasikan kewujudan parti baharu. Kelahiran parti baharu kononnya untuk menentang BN, hanya akan membawa faedah kepada BN kerana berjaya memecahkan sokongan terhadap pembangkang.

6. PAS Kedah terus istiqamah bersama PAS Pusat untuk tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan Umno/BN, lebih-lebih lagi dalam usaha pembentukan kerajaan. Komitmen menolak Umno/BN oleh PAS Kedah telah dibuktikan melalui Himpunan Tolak BN yang diadakan pada 22 Ogos lalu, berjaya menghimpunkan lebih 30 ribu ahli dan penyokong PAS.

7. Berhubung ura-ura berlaku penggantian terhadap kedudukan Menteri Besar Kedah dalam masa terdekat, PAS berpendirian bahawa; sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Menteri Besar tidak akan mengubah polisi Umno serta tidak mampu untuk membetulkan kepincangan dalam Umno. Kelemahan pentadbiran kerajaan pimpinan BN Kedah sepanjang dua tahun berlalu sangatlah teruk. Ia diakui sendiri secara terbuka oleh ADUN BN (Dato' Ahmad Lebai Sudin) dan kelemahan itu dijangka berterusan jika BN kekal sebagai kerajaan.

8. Maka PAS Kedah bertekad untuk kembali berkuasa di negeri ini pada PRU14, setelah rakyat dapat menilai sendiri kepincangan yang berlaku terhadap kerajaan dan parti yang memerintah (Umno/BN) sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

Sekian, Terima Kasih.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah
4 September 2015.



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.