Baiah & Talaq Tiga - Ulama PAS Segambut

2:18 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN RASMI
URUSAN ULAMA PAS KAWASAN SEGAMBUT, KUALA LUMPUR.

BAIAH & TALAQ TIGA

Berhubung kehangatan perbincangan tentang baiah dan talaq tiga, Urusan Ulama PAS Kawasan Segambut tambil untuk menguraikan kekalutan isu ini.

1. Meletakkan perkahwinan dan isteri dalam baiah bukan memperjudikan wanita tetapi kerana mengangkat kedudukan isteri. Kedudukan isteri sangat penting dalam kehidupan seseorang, sebagaimana mana pentingnya Islam dalam perjuangan seseorang.

2. Baiah Talaq 3 ini dilakukan secara sukarela dan tiada unsur paksaan. Individu yang melakukannya telah melakukan dalam keadaan sedar dan waras, serta memahami kandungan dan risiko baiah tersebut. Oleh yang demikian, tidak berbangkit isu ketidakwajaran baiah dan talaq tiga ini disebabkan ia tidak terdapat seorang pun calon-calon wakil rakyat yang mempertikaikan atau menolaknya.

3. Baiah Talaq 3 ini merupakan salah satu pandangan dalam Mazhab Hanafi, sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Justeru, tidak timbul isu mempergunakan wanita atau berpolitik secara jelek, kerana ia merupakan salah satu perbincangan Fiqh yang perlu diraikan berdasarkan waqi' dan keperluan. Dalam masa yang sama, ulil amri atau pemimpin mempunyai autoriti untuk memilih pandangan yang diperselisihkan untuk dipraktikkan berdasarkan waqi' dan keperluan.

4. Antara keperluannya adalah mempertahankan kerajaan Islam negeri Kelantan daripada tumbang akibat pengkhianatan oleh wakil-wakil rakyat. Hal demikian kerana pada PRU sebelum ini, PAS hanya mempunyai perbezaan satu kerusi sahaja, bahkan terdapat usaha yang terancang untuk membeli wakil rakyat PAS agar melompat parti. Hal ini juga demi menjaga amanah Rakyat yang melantik mereka sebagai wakil rakyat, dalam keadaan ini, wakil rakyat tidak boleh sewenang wenangnya mengkhianati amanah Rakyat yang telah memilihnya sebagai wakil kepada rakyat dan wakil parti yang dipilih oleh rakyat.

5 . Urusan Ulama PAS Kawasan Segambut dengan ini menyokong saranan agar kes Talaq 3 ini dirujuk ke Mahkamah Syariah adalah satu saranan yang baik disebabkan Mahkamah Syariah merupakan institusi yang berautoriti dalam menyelesaikan isu ini serta badan badan kehakiman yang diiktiraf di sisi undang-undang. Bahkan persoalan perkahwinan, perceraian dan rujuk ini sememangnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Di situlah semua pihak dapat membentangkan hujah masing-masing dan insyaallah mampu memberi keadilan kepada semua pihak.

6. Isu baiah dan talaq tiga ini membabitkan soal hukum, maka semua pihak tidak sewajarnya mengambil ringan dalam perkara ini, kerana membabitkan persoalan halal dan haram. Ia melibatkan hubungan, pergaulan dan persetubuhan yang halal atau haram. Demikian juga demi menjaga kehormatan isteri, agar isteri mendapat hak dan kedudukan yang sewajarnya di sisi Mahkamah, malah memberikan ketenangan dalam hati semua pihak termasuklah isteri dan anak-anak. Justeru, isu ini juga berkaitan dengan maruah isteri yang perlu mendapatkan kepastian tentang kedudukan hubungannya dengan suaminya.

7. Urusan Ulama PAS Kawasan Segambut mengajak seluruh muslimin dan muslimat agar meletakkan Islam sebagai keutamaan dalam hidup. Jangan dikhianati amanah perjuangan Islam disebabkan terdapat agenda peribadi atau kerana ketidakpuasan hati terhadap mana-mana individu. Oleh yang demikian, marilah kita bekerjasama dan bersatu untuk meninggikan kedudukan Islam di negara kita ini. Untuk itu, PAS merupakan satu-satunya wadah yang menawarkan kepada seluruh rakyat agar ISLAM MEMIMPIM MALAYSIA, demi KESEJAHTERAAN SELURUH RAKYAT MALAYSIA tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Ayuh, kita bersama PAS.

Yang benar,
Ketua,
Urusan Ulama PAS Kawasan Segambut,
Kuala Lumpur.
3 September 2015 / 19 Dzulkaedah 1436.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.