Fatwa Dr Qardawi Dan Dr Haron Din Yang Diputarbelit - Alang Ibn Shukrimun

1:25 PM 0 Comments A+ a-



FATWA DR QARDAWI DAN DR HARON DIN YANG DIPUTARBELIT

Saya telah menulis beberapa kali berhubung baiah ta'liq talak sejak bulan lepas. Sebahagiannya telah menjawab isu-isu yang sedang ditimbulkan termasuk soal pendapat Dr Haron Din dan Dr Qardawi. Tetapi mungkin kerana penerangan itu agak lebar mencakupi soal-soal yang lain, ramai yang tidak fokus dan ada yang sengaja memainkan isu itu kembali.


Sekali lagi saya ulang, pendapat dua ulama itu adalah berbeza dari situasi yang berlaku sekarang. Apa yang mereka sebut adalah berkisar tentang ta'liq talak seorang suami terhadap isteri, bertujuan untuk mendidik isteri itu sendiri dan menjaga hubungan antara mereka, tidak ada kaitan dengan pihak lain.

Ta'liq talak yang berlaku sekarang pula adalah ta'liq semasa baiah, yang mempunyai kaitan dengan jemaah dan perjuangan Islam, langsung tidak bertujuan mendidik atau mempengaruhi kelakuan isteri.

Dr Qardawi dalam bukunya Fatwa Muasarah jelas berfatwa berdasarkan soalan dari seorang awam yang menta'liq talaq dihadapan isterinya bertujuan supaya isteri itu takut untuk berbuat sesuatu. Contohnya si suami berkata pada isteri, "kalau kau keluar rumah tanpa izin aku, aku ceraikan kau".

Begitu juga apa yang ditulis Dr Haron Din, yang membincangkan soal amalan ta'liq talaq oleh kebanyakan jabatan agama negeri bertujuan menjaga hak isteri dari berlaku penganiayaan. Contohnya "sekiranya saya meninggalkan isteri lebih dari setahun tanpa nafkah, maka jatuhlah talak ke atas isteriku."

Kedua mereka langsung tidak membincangkan soal ta'liq talaq yang digabungkan dengan baiah demi perjuangan Islam. Contoh lafaznya adalah "kalau saya khianat perjuangan ini, maka jatuhlah talak terhadap isteri". Lafaz sebegini langsung tidak ada kaitan untuk memelihara hubungan atau mempengaruhi isteri, tetapi untuk memelihara perjuangan dan mempengaruhi pembaiah itu sendiri.

Perkara itu sangat berbeza kerana perbincangan maslahah hubungan suami isteri lebih rendah martabatnya dibandingkan soal kemaslahatan agama Islam.

Contoh lain yang lebih mudah, soal Islam mengharamkan bunuh diri. Pengharaman ini kerana nyawa adalah suatu perkara yang amat dititikberatkan oleh Islam sehingga kalau seseorang mencederakan dirinya sendiripun sudah berdosa. Tetapi apabila 'bunuh diri' demi agama Islam, hukumnya berbeza. Bunuh diri dengan maksud sanggup menggadaikan nyawa berdepan senjata musuh demi memastikan kumpulan Islam mendapat keuntungan daripadanya, sebagaimana dilakukan tentera al-Qassam yang sanggup memasang bom di badan merempuh kubu Israel demi memberikan maslahat buat jemaah mereka iaitu Hamas. Musab bin Umair, Abu Ayyun Al-Ansari antara sahabat yang melakukan tindakan 'bunuh diri' ini demi mencetus semangat jemaahnya untuk terus menuntut janji Allah. Bacalah kisah mereka.

Begitu juga soal mentaati ibubapa. Islam menjaga hubungan kekeluargaan ini walaupun ibubapa kafir dan anaknya muslim. Tetapi jika ibubapa adalah musuh Islam, hubungan kekeluargaan ini tidak boleh menggadaikan maslahah perjuangan Islam. Saad Abi Waqqas lebih rela lihat ibunya mati kelaparan dari memenuhi kehendak ibunya supaya beliau mengingkari Allah. Perang Badr menyaksikan pertembungan antara keluarga. Nabi berhadapan bapa saudara sendiri, Ali berhadapan sepupunya sendiri, dan para sahabat ada berperang dengan anak sendiri dan bapa sendiri. Abdullah bin Abdullah bin Ubai sanggup menghunus pedang kepada bapanya yang munafiq, bukan kerana Islam tidak menghargai hubungan mereka, tetapi harga Islam lebih bernilai untuk dijaga.

Baiah ta'liq talak diamalkan dalam beberapa pemerintahan di zaman Umawiyah juga Abbasiyah supaya umat Islam memelihara kerajaan Islam daripada jatuh akibat belot. Namun sehingga kini saya masih belum menemui mana-mana sarjana mengupas isu tersebut samada menyokong atau menolak. Yang ada hanya pandangan Imam Malik, menyatakan sah jika ia tidak dipaksa.

Sekiranya benar tiada mujtahidin lain yang menentang jelas, maka ia boleh dikira sebagai Ijma Sukuti bahawa para mujtahid zaman tersebut bersetuju tindakan baiah ta'liq talak adalah syari'e dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam. Kalau ada sesiapa terjumpa sebaliknya, sila kemukakan dan saya berani tarik balik pendapat Ijma' Sukuti ini. Perkara ini boleh juga dipilih sebagai tesis Master bagi yang berminat. Kita hidupkan budaya ilmu!

Islam membenarkan kerana harga sebuah perjuangan lebih mahal dari nyawa ataupun hubungan kekeluargaan. Tidak timbul lagi soal kita suka lihat bercerai berai. Kita sebenarnya sayang Islam lebih dari segalanya. Lebih baik dihukum bercerai di dunia, asalkan akhirat kita bebas dari seksa neraka.

Apalah guna seorang hakim memutuskan mereka tidak bercerai semata-mata tidak mahu lihat sebuah keluarga runtuh, sedangkan bukti telah jelas mengikut ilmunya bahawa talak telah jatuh keatas orang itu. Dia hanya selamat di dunia, tetapi akhirat Allah adili jua. Hakim ini dikira tidak jujur dalam berhukum dan akan berhadapan perbicaraan di mahkamah Allah kelak. Penta'liq pula mungkin lebih dahsyat hukumannya kerana mereka bersedudukan dalam keadaan bukan lagi suami isteri sepanjang tempoh baki hayatnya. Nauzubillah.

Keluar dari syubuhah adalah jalan terbaik. Biar tergadai dunia jangan rugi akhirat. Kalau mahu boleh kahwin lain dan bina hidup baru. Kalau sayang sangat suruhlah orang lain kahwin dulu, kemudian minta dia cerai dan kita halal untuk bernikah kembali. Ia mungkin tidak sebesar dosa bersekedudukan tanpa ikatan sah. Wallahualam.

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.