1MDB: 6 Bulan - Tempoh Keramat yang Tiada Penghujung - Tuan Ibrahim Tuan Man

8:17 PM 0 Comments A+ a-



1MDB: 6 bulan - tempoh keramat yang tiada penghujung

Semalam – 9 September 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah 1MDB melalui pelan rasionalisasinya.

Ini bukan kali pertama, Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.

Kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015. Perkara ini didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Batoh kepada media seperti The Malaysian Insider and The Rakyat Post. Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015.

Hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu.

Oleh itu, persoalan yang bermain di minda rakyat sekarang ialah berapa panjang sebenarnya tempoh 6 bulan yang disebut Najib?

Jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi. Apakah semalam Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?

Walaupun menjadi hak PM untuk tidak menyatakan plan pemulihan tersebut, namun oleh kerana tempoh keramat yang diminta beliau sentiasa berubah, PAS mencadangkan rangka pemulihan dana 1MDB dibentang di parlimen bagi rakyat mengetahui dan mengemukakan cadangan balas terhadap pelan pemulihan tersebut.

Sehingga kini pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran PM sebagai Menteri Kewangan sahaja. Pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu, faedah pinjaman terus meningkat dan ini bermakna kerisauan rakyat semakin bertambah.

Drama 6 bulan ini tidak boleh berterusan. PAS meminta Najib menyatakan tarikh khusus bila masalah hutang 1MDB akan selesai, dan jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?

Tuan Ibrahim Tuan Man

Timbalan Presiden PAS

10 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.