Hubaya-Hubaya Meremeh Bai’ah - Subky Latif
Oleh : Subky Latif
AMAT memilukan betapa antara orang yang ditarbiyah bertahun-tahun meremehkan bai’ah yang setiap calon PAS amal selama ini. Ia sudah diadakan sebelum era kepimpinan ulama dan diteruskan setelah konsep kepimpinan ulama diwujudkan. Tiada siapa dalam PAS mempertikainya dan tidak ada calon yang menolaknya.
Tidak ramai yang masih hidup tahu bagaimana ia bermula. Tetapi PAS ada pengalaman apabila kerajaannya yang pertama di Terengganu ditumbangkan awal 1960-an apabila beberapa Adunnya menyokong undi tidak percaya kepada Menteri Besar Mohd Daud Abdul Samad yang diusulkan oleh Adun Perikatan, Ibrahim Fikri. Jemaah Islam itu mengira ia satu pengkhianatan. Ahli dan penyokong bertungkus lumus, berhabis menegakkan kerajaan yang pertama itu, ia tumbang oleh wakil rakyat yang tidak setia.
Mengutuk orang meninggalkan parti tidak berguna. Yang penting ialah membendung perbuatan yang tidak bermaruah itu. Cara terbaik ialah memperkenalkan bai’ah kepada calonnya. Antara kandungan bai’ah ialah mereka akan dilaknat Allah jika khianat. Kebelakangan ini ada yang menambah tertalak tiga isterinya. Ia tidak sekadar calon biasa, bahkan pemimpin dan tok guru melafazkan bia’ah itu.
Yang dikira khianat itu bukan calon yang menang saja, malah ada calon lari semasa kempen menyebabkan masuk pilihan raya dengan calonnya hilang. Mungkin yang meninggalkan PAS itu kerana marahkan ketua parti, tetapi ketika kerajaan PAS Terengganu tumbang itu ketua parti ialah Dr Burhanuddin alHelmy dan Prof Zulkifli Muhammad yang tidak pernah dicela oleh ahli PAS dulu dan sekarang.
Tiada calon yang membantah. Setengah calon masa dulu dipaksa jadi calon, tetapi tiada paksa berbai’ah. Mereka diberi pilihan berbai’ah untuk menjadi calon. Jika mereka kira ia dipaksa, mereka boleh tarik diri dari bertanding. PAS boleh gantikan dengan calon lain. Tidak ada yang menolak bai’ah.
Ada mufti dari Perlis dan Pulau Pinang mengira bai’ah hingga tertalak tiga isteri tidak laku di sisi agama. Maka pandangan mufti dijadikan sandaran bagi wakil rakyat dan setengah pemimpin untuk berpisah dengan PAS. MP dan Adun tidak merasa perlu meletak jawatan setelah meninggalkan parti. Ia dirasakaan tidak khianat, tidak tertakluk dengan laknat yang pernah dilafazkan dan tidak tercerai isterinya.
Bagus dan bertuahlah kiranya ia tiada apa atau tidak laku. Tetapi kalau laku seperti yang hakim syariah Kelantan kata, macam mana. Saya teringat tentang perli seorang mahasiswa terhadap rakannya yang tak tinggal solat dan puasa. Bagaimana dengan solat tunggang-tonggeng setiap hari, bila mati, tiada neraka dan tiada syurga. Jawab kawan itu, jika tiada syurga dan neraka, dia tidak apa-apa. Bagaimana kalau ada? Ia tidak rugi, sebaliknya yang tidak solat dan tidak puasa akan rugi. Terdiam orang yang meremehkan syurga dan neraka itu.
Jika bai’ah itu laku orang yang dikira khianat itu akan berdepan dengan laknat dan isterinya tercerai. Jika dia tidak percaya bai’ah itu laku, dia akan bersekedudukan dengan jandanya secara tidak sah, justeru perkahwinannya sudah terbubar.
Cerai itu pula talak tiga. Untuk berbalik semula, janda itu kena kahwin lain dulu. Kalau suami isteri itu tidak mahu bercerai, maka Waibi akan kehilangan isterinya terus. Ada sistem yang menggunakan Cina buta. Yang jantan mengambil upah. Lepas nikah dicerainya. Tetapi pandangan masyhur ulama, Cina buta itu tidak laku. Macam nikah mutaah yang diamalkan oleh Syiah dulu.
Ada yang mengira pelanggaran bai’ah itu dapat ditebus dengan memberi makan sejumlah orang miskin. Adakah terhapus pantang itu dengan memberi makan saja sedang kerusi yang dibawa lari tidak dipulangkan? Atau tidak gugur talak? Jika menjamu makan dibolehkan, maka ini ertinya dia mengakui pelanggaran telah dilakukan. Jika pelanggaran itu diakui, tidak memadai sekadar menjamu makan, tetapi dia mesti menyatakan penyesalan dan minta maaf kepada sekalian yang terlibat, pulangkan balik kerusi dan mengaku tidak akan mengulanginya lagi. Atau kembali semula ke pangkuan PAS, taubat dan kemudian berjamu. Tetapi sekadar mengaku taubat, tidak minta maaf, tidak menyesal, sama seperti orang mengaku taubat, lepas itu dia terus langgar taubatnya.
Mungkin juga pendapat dua mufti itu laku. Tetapi mufti yang lain diam. Majlis mufti tidak pula membincangkannya. Mufti itu juga ulama. Maka mereka boleh berbeza panangan dengan ulama yang lain. Kemudian orang boleh menimbang pandangan ulama mana lebih kuat. Kita kena tanya mufti yang dua tu dulu. Cara mana pandangan itu mereka buat. Adakah sekadar ilmu yang ada dan kitab fekah yang dibaca dan ada kajian yang luas?
Terutama mufti Perlis yang diketahui seorang warga universiti. Orang universiti biasanya dia ada kajian termasuklah menemui pihak yang ada hubungan berkaitan. Ilmu dan pengetahuan saja tidak cukup. Dia mesti jumpa Majlis Syura Ulama PAS, tanya mengapa mereka buat begitu dan begini? Apa yang medorongkan Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli dulu buat begitu? Dan bagaimana ulama zaman Dato’ Asri Muda putuskan bai’ah itu?
Macam mana Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’ Dr Haron Din dan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang luluskan bai’ah sedemikian. Mufti adalah atas dari kadi dan hakim syariah. Hakim tidak jatuhkan hukum sebelum mendengar kesaksian yang dituduh, peguam bela dan pendakwa. Dalam sejarah ulama rasmi atau ulama yang mendekati umarak tidaklah sama bisanya dengan ulama bebas dan yang tidak makan gaji. Ulama bebas itu menjauhkan diri dari umarak kerana celakalah ulama yang mendekati umarak. Bahagialah umarak yang mendekati ulama tetapi kurang bahagiannya bila umarak itu mendekati ulama yang mendekatinya siang dan malam.
Mufti yang makan gaji luas pengalamannya dengan semua hukum hakam dan pentadbiran yang berkaitan bidang kuasanya. Tetapi mereka tidak ada pengalaman menjaga orang politik. Ulama PAS kaya dengan pengalaman politik dan kerenah orang politik bersamanya. Antaranya ialah menghadapi rakannya yang lari dari jemaah.
Abu Hurairah, Imam Bukhari, Imam Muslim kaya dengan ilmu hadis tetapi tidak sama dengan Sayidina Umar al-Khatab, Ali Abu Talib dan Umar Abdul Aziz yang tidak sekadar mahir dengan ilmunya tetapi mentadbir dengan ilmunya. Para khalifah dan gabenornya tidak sekadar memanfaatkan ilmunya tetapi berijtihad dalam perkara yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.
Itulah lebih ulama yang berpolitik. Apapun pandangan mufti tentang bai’ah itu menjadi rujukan kepada setengah orang PAS yang hendak lari dari bai’ahnya. Jika 50,000 orang tidak menghargai bai’ahnya, besar jasa mereka pada perkembangan politik umat. Mungkin bai’ah itu tidak wajib, tapi samalah ia tidak wajib taklik bagi setiap pengantin laki-laki. Mengapa taklik yang mungkin dikira bidaah oleh setengah orang disyaratkan oleh pentadbiran syarak? Tentu ada muslihatnya.
Hubaya-hubaya meremehkan bai’ah, takut tertipu diri sendiri. Elakkan berloyar buruk. Bukan orang lain yang binasa. Takut kita sendiri binasa.
Sila kongsi artikel ini...