Tatacara Membubarkan Parti Dan/Atau Cawangan Parti (PAS) - Zulhazmi Shariff

11:34 AM 0 Comments A+ a-




TATACARA MEMBUBARKAN PARTI DAN/ATAU CAWANGAN PARTI

MUQADDIMAH

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sama seperti parti-parti atau pertubuhan-pertubuhan lain yang ditubuhkan mengikut Akta Pertubuhan 1966. (Akta 335). Parti induk (Pusat) didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta 335. Walau pun begitu Akta 335 memberikan ruang kepada Parti Induk untuk menubuhkan cawangan-cawangannya mengikut Seksyen 12 Akta 335. Kedua-dua peringkat samada Pusat mahu pun kawasan dan/atau cawangan hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.


PENUBUHAN DAN PENDAFTARAN PAS.

PAS ditubuhkan dan didaftarkan mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dan Pejabat Agung PAS yang didaftarkan ialah di Pejabat Agung PAS No. 318-A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur. Ini dijelaskan di Fasal 2 Perlembagaan PAS.

Fasal 23dan Fasal 24 Perlembagaan PAS memperuntukkan bahawa PAS boleh menubuhkan PAS Kawasan dan Cawangan.

Fasal 23 seperti berikut :-

1. Kawasan PAS hendaklah ditubuhkan hanya sebuah sahaja bagi tiap-tiap satu daerah (bagi negeri Kelantan, “Jajahan”) mengikut sempadan kekuasaan Pegawai Daerah (bagi negeri Kelantan “Pegawai Jajahan”) atau kawasan pilihan raya Parlimen dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua ratus orang ahli PAS yang telah berdaftar, kecuali jika dipandang sangat mustahak oleh Badan Perhubungan PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan, dan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengikut cara yang lain.

2. Pesuruhjaya PAS Negeri dan/atau Wilayah Persekutuan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sahajalah yang berkuasa menubuhkan Kawasan-kawasan PAS di daerah-daerah (Jajahan-jajahan bagi negeri Kelantan) atau kawasan-kawasan Parlimen yang belum ada Kawasan PAS atau dalam menyempurnakan kehendak-kehendak ceraian (1) Fasal ini, dan bagi negeri-negeri/Wilayah Persekutuan yang belum ada Pesuruhjaya PAS atau Badan Perhubungan ini adalah tertakluk di bawah kekuasaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Peruntukkan Fasal 23 jelas menyatakan bahawa hanya Pesuruhjaya PAS Negeri atau Wilayah yang berkuasa menubuhkan PAS Kawasan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada 250 orang ahli berdaftar.

Fasal 24 seperti berikut :-

1. Adapun Cawangan-cawangan PAS bagi sesebuah Kawasan itu bolehlah ditubuhkan di mana-mana saja tempat di dalam daerah kekuasaan PAS Kawasan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

2. Adapun bagi kawasan-kawasan yang tiada atau belum ditubuhkan PAS Kawasan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan persetujuan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan dengan syarat telah sedia ada tidak kurang daripada dua puluh lima orang ahli PAS yang telah berdaftar.

3. Adapun bagi PAS Kawasan yang digantung atau dibubarkan mengikut Fasal 26(9)(j) Perlembagaan ini atau dibatal pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan, maka Cawangan PAS hendaklah ditubuhkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Sementara PAS Kawasan berkenaan dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau ditubuhkan mengikut apa-apa ketetapan lain yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

Fasal 24 ini menjelaskan bahawa Cawangan PAS boleh ditubuhkan dalam sesebuah Kawasan PAS oleh Yang DiPertua PAS Kawasan jika telah sedia ada tidak kurang daripada 25 orang ahli berdaftar dengan persetujuan JKPP.

Walau pun begitu, kebiasaannya PAS Cawangan ini ditubuhkan oleh sebuah Jawatankuasa Penaja yang memohon persetujuan YDP Kawasan dan seterusnya persetujuan JKPP.

Apabila PAS Kawasan dan/atau PAS Cawangan ditubuhkan, kedua-duanya hendaklah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan mempunyai sijil pendaftaran dan no pendaftaran.

Ini bermaksud PAS Kawasan dan/atau PAS Cawangan tersebut boleh berdiri dengan sendiri mengurustadbir perjalanan mereka masing-masing tertakluk kepada Perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

BAGAIMANA MEMBUBARKAN PAS/KAWASAN/CAWANGAN.

Fasal 87 Perlembagaan PAS memperuntukkan seperti berikut :

FASAL 87. Cara Memansuhkan PAS

1. PAS ini tidaklah boleh dimansuh atau dibubarkan melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripada ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

2. Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang baki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu.

3. Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu.

Perlembagaan PAS sendiri memperuntukkan tentang tatacara memansuhkan atau membubarkan PAS. Ini bermaksud PAS boleh dibubarkan jika dirasakan perlu. Walau bagaimana pun untuk memansuhkan PAS perlulah mendapat persetujuan tidak kurang tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli secara bersendiri atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar Khas yang diadakan bagi tujuan memansuhkan PAS.

Jika PAS dibubarkan dan dimansuhkan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang atau baki harta hendaklah dikendalikan mengikut keputusan Muktamar tersebut. Apabila dibubarkan maka keputusan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.

Perlembagaan PAS tidak memperuntukkan tatacara khusus memansuhkan dan membubarkan PAS Kawasan dan PAS Cawangan secara bersendiri tetapi memberikan kuasa kepada JKPP di bawah Fasal 26 (9) (j) untuk membubarkan Cawanganjika Cawangan itu kosong ditinggalkan atau mempunyai masalah. Walau pun begitu, ianya tidak bermaksud PAS Cawangan tidak boleh membubarkan diri sendiri kerana mereka mempunyai hak dan kuasa untuk berbuat demikian.

Bagaimana sesebuah Pas Cawangan hendak membubarkan Cawangan?

Cawangan PAS tetap boleh dimansuhkan dan/atau dibubarkan mengikut tatacara pembubaran PAS di bawah Fasal 87 seperti mana PAS dibubarkan dan dimansuhkan.

PAS Cawangan yang berhasrat untuk membubarkan cawangan BOLEH memanggil suatu Mesyuarat Agung Khas Cawangan dan mengusulkan agar Cawangan itu dibubarkan. Cawangan akan bubar jika tiga perlima (3/5) ahli PAS Cawangan bersetuju dan apabila persetujuan pembubaran diperolehi, maka hendaklah dimaklumkan pembubaran Cawangan tersebut kepada Pendaftar Pertubuhan. Dengan itu Pendaftar Pertubuhan akan membatalkan pendaftaran Cawangan tersebut.

Bagaimana Menguruskan Harta-Harta Cawangan Yang Dibubarkan?

Fasal 87 (2) Perlembagaan PAS menjelaskan bahawa jika PAS dibubarkan maka segala hutang hendaklah dijelaskan, manakala baki harta adalah mengikut keputusan Muktamar. Berdasarkan peruntukkan Fasal 87 (2) ini, jika Cawangan PAS dibubarkan, maka di dalam Mesyuarat Agung Khas Cawangan tersebut, hendaklah diputuskan bagaimana harta-harta Pas Cawangan diuruskan setelah PAS Cawangan tersebut dibubarkan.

Perlu diambil perhatian bahawa harta-harta PAS Cawangan bukan harta PAS Pusat dan tidak tertakluk dengan PAS Pusat.

Semoga Bermanfaat.

Ditulis oleh
Zulhazmi Shariff
20082015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.