Kenyataan Media : Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Pemerdagangan Orang(U.S. TIP REPORT) Bagi Tahun 2015

4:30 AM 0 Comments A+ a-

KENYATAAN MEDIA : LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT) BAGI TAHUN 2015

KENYATAAN MEDIA



MENTERI DALAM NEGERI

YB DATO SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI



MENGENAI



LAPORAN TAHUNAN JABATAN NEGARA AMERIKA SYARIKAT PEMERDAGANGAN ORANG (U.S. TIP REPORT)

BAGI TAHUN 2015





(28 JULAI 2015)


Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) telah mengeluarkan Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2015 di Washington, Amerika Syarikat pada 27 Julai 2015. Penilaian oleh JNAS dibuat terhadap 188 buah Negara termasuk Malaysia dan merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan. Laporan tersebut telah meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) bagi tahun 2015.

Peningkatan daripada kedudukan Tahap 3 (Tier 3) pada tahun 2014 kepada Tahap 2 Pemerhatian merupakan pengiktirafan kepada komitmen dan inisiatif Malaysia dalam menangani jenayah ini. Ini dapat dilihat daripada penubuhan High Level Committee (HLC) mengenai pemerdagangan orang yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 3 Julai 2014 bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan susulan daripada Laporan JNAS 2014. Menerusi pindaan kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Jun 2015 dan Dewan Negara pada 7 Julai 2015, HLC akan menjadi mekanisme kekal sebagai jawatankuasa peringkat tertinggi dalam membuat keputusan dasar dalam menangani jenayah ini.

Pindaan ATIPSOM 2007 juga melibatkan pemerkasaan keanggotaan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran(MAPO) dengan penambahan anggota baru merangkumi Kementerian Pertahanan, Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi (MPIC), Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Belia dan Sukan. Dengan menjadi ahli Majlis, Kementerian/Agensi berkenaan akan turut sama menyumbang dan terlibat dalam usaha membanteras jenayah ini secara kolektif dan bersepadu mengambil kira kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.

Aspek utama pindaan ATIPSOM 2007 adalah penambahbaikan kepada aspek perlindungan mangsa di mana akan memberikan kebenaran bagi mangsa pemerdagangan orang untuk bergerak bebas dan tinggal di luar rumah perlindungan serta diberi peluang bekerja. Di samping itu, MAPO akan membayar elaun kepada orang yang diperdagangkan.

Peruntukan khusus juga telah dimasukkan melibatkan pembayaran pampasan dan pembayaran gaji tertunggak kepada mangsa pemerdagangan orang. Ini merupakan pindaan signifikan memandangkan isu ini adalah kritikal kerana kebanyakan daripada mangsa-mangsa yang berstatus PATI tidak dapat membuat tuntutan ini disebabkan kekangan perundangan sebelum pindaan yang hanya membenarkan tuntutan penyelesaian tunggakan gaji kepada mangsa warga asing yang bekerja di Negara ini secara sah sahaja.

Penglibatan sepenuhnya Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menempatkan mangsa pemerdagangan orang di Rumah Perlindungan NGO dan petugas NGO bertindak sebagai Pegawai Pelindung adalah merupakan satu transformasi dan seiring dengan amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan Negara-negara maju seperti U.S., Australia dan United Kingdom.
Pihak U.S. amat prihatin mengenai aspek eksploitasi buruh dan buruh paksa terutama di sektor perladangan kelapa sawit, serta tekstil dan baru-baru ini pula merangkumi sektor elektrik dan elektronik. Bagi menangani kebimbangan ini, MAPO telah mengadakan kerjasama dengan empat (4) syarikat multinasional iaitu Seagate, Intel, Western Digital dan Hewlett Packard dalam menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa di mana Bengkel-bengkel telah diadakan pada 20 April, 2015 di Johor Bahru, 21 April, 2015 di Petaling Jaya dan 23 April, 2015 di Pulau Pinang. Bengkel-bengkel ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada majikan, kontraktor dan syarikat pembekal pekerja asing mengenai amalan terbaik dalam pengambilan dan pengurusan pekerja.

Sebagai usaha berterusan untuk menangani pemerdagangan buruh dan buruh paksa terutamanya di sektor elektrik dan elektronik, Malaysia menerusi MAPO telah bekerjasama dengan Amerika Syarikat (U.S.) untuk menganjurkan The First Joint Malaysia - U.S. Electrical & Electronics (E&E) Best Labour Practices Workshop yang telah diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Jun 2015. Kerajaan sedar rekod pemerdagangan orang yang baik penting terutamanya melibatkan penyertaan Negara ke Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).

Komitmen dan ketegasan Negara untuk menangani aspek pemerdagangan orang bukan sahaja untuk mempertingkatkan tahap penilaian tahunan JNAS tetapi juga untuk memenuhi obligasi di bawah Proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodical Review – UPR) di bawah Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatua (PBB). Untuk itu, Malaysia telah menunjukkan sikap keterbukaan dengan menerima lawatan Pelapor Khas PBB mengenai Pemerdagangan Orang terutamanya wanita dan kanak-kanak, Ms. Maria Grazia Giammarinaro telah mengadakan lawatan ke Negara ini dari 23 hingga 28 Februari 2015.

Di peringkat serantau pula, penganjuran Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan bagi membincangkan Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di Rantau Asia Tenggara (EAMMTC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2015 baru-baru ini, telah menunjukkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang.







_______________________________________________________________________

Kementerian Dalam Negeri

28 Julai 2015











--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.