Pemuda PAS: KLIA 2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat

3:34 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media: KLIA 2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Kerajaan Malaysia bertindak segera menyelesaikan masalah mendapan akibat takungan di terminal KLIA 2. Masalah ini sudah berlarutan sekian lama sejak ia mula dibuka pada tahun lepas sehingga kini masih belum mempunyai penyelesaian yang konkrit. Laporan media antarabangsa, Bloomberg di dalam portal beritanya yang bertajuk “Kuala Lumpur’s $ 1 Billion Terminal Is Sinking, Airline Says” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Rujukan: http://www.bloomberg.com/…/kuala-lumpur-s-1-billion-air-ter…


2.Pada penghujung tahun 2014 , Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan nama lima anggota panel Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik . Mereka diberikan tugasan untuk memastikan KLIA 2 mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan dan mengkaji semua aspek termasuk isu mendapan di apron KLIA 2. Kini, tempoh masa 6 bulan yang diberikan sudah pun tamat. Bilakah pihak kerajaan akan menunaikan janji untuk mengumumkan laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 tersebut kepada rakyat dan tindakan susulan yang perlu diambil?

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Kerajaan Malaysia agar memandang serius berkenaan aspek keselamatan di lapangan terbang ini lebih-lebih lagi pada saat imej dan reputasi industri penerbangan negara telah merosot teruk akibat insiden misteri kehilangan MH 370 dan MH17 yang ditembak jatuh. Usah menanti kejadian buruk berlaku,barulah sibuk untuk bertindak bak kata pepatah “sudah terhantuk, baru tengadah”.

4. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pengangkutan mengumumkan segera laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 agar rakyat dapat menilainya dengan adil dan telus. Sebarang unsur salahguna kuasa, penyelewengan dan kecuaian oleh pihak yang terbabit perlulah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan pada masa sama penyelesaian kongkrit terhadap masalah mendapan akibat takungan air perlu diselesaikan dengan kadar segera. Kerajaan usahlah menggadai nyawa rakyat akibat kelemahan dan kegagalan dalam bertindak.

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
28 Julai 2015

 



--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.