Mahfuz Omar: Himpunan Baju Merah Kebangkitan Maruah Melayu, Perjualan Baru Bermula. - BETOI KA?

5:56 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

HIMPUNAN BAJU MERAH KEBANGKITAN MARUAH MELAYU, PERJUANGAN BARU BERMULA.
-BETOI KA?-


1. Saya terkejut membaca kenyataan-kenyataan yang berkaitan Perhimpunan Melayu Bersatu dengan warna temanya warna merah serta terpampang di bahagian depan baju tulisan "Kebangkitan Melayu Bermaruah". Di samping kenyataan Tan Seri Anuar Musa, Pengerusi Mara yang mengatakan himpunan ini adalah perjuangan awal Melayu baru bermula.

2. Persoalannya ialah apakah benar Melayu baru bangkit daripada tidur? Di mana dan apa jadi dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) selama ini? Adakah umno khususnya pimpinannya tidur atau pun pengsan selama ini? Atau umno yang ada sekarang umpama baru keluar dari wad ICU?

3. Menurut Tan Seri Anuar Musa, Perhimpunan Baju Merah sebagai perjuangan awal orang melayu dan baru bermula. Soalan saya, tak kan baru nak bermula selepas kita sudah ketinggalan jauh? Selama ini pimpinan melayu umno buat apa? Bukan kah yang menguasai kerajaan adalah pemimpin-pemimpin melayu dari atas sampai ke bawah? Selepas 58 tahun Malaysia Merdeka, perjuangan untuk selamatkan orang melayu baru hendak bermula?? Betapalah malangnya!

4. Selepas 58 tahun melayu ketinggalan kini baru hendak bermula. Harapan Tan Seri Anuar Musa, Pengerusi Mara iaitu salah sebuah institusi bagi menjaga kepentingan melayu, perjuangan Melayu yang bermula ini tidak berakhir di Padang Merbuk. Soalan saya yang seterusnya ialah di mana dan bila kesudahan perjuangan yang baru bermula ini? 58 tahun sudah berlalu, bangsa melayu masih menjerit salahkan bangsa lain pada waktu Melayu yang kuasai kerajaan di sepanjang tempoh Malaysia merdeka. Apakah Melayu kena tunggu 58 tahun lagi yang belum ada kepastian?

5. Apa yang pasti ialah Himpunan Baju Merah ini ialah sekadar himpunan mempermainkan maruah melayu untuk selamatkan pemimpin melayu umno yang sedang berada di puncak kuasa. Politik Malaysia masih memperlihatkan Melayu terus menjadi pertaruhan Politik untuk selamatkan kepimpinan umno. Bukannya menyelamatkan Malaysia dan bangsa Melayu itu sendiri.

6. Saya yakin Melayu baru tidak akan terperangkap dengan RM100 dan sehelai t-shirt bewarna merah. Melayu baru adalah sebenarnya Melayu bermaruah yang mahu melihat Malaysia berubah dan bebas daripada rasuah. Melayu Baru bersama seluruh rakyat berbilang kaum mahu bebas daripada perasuah memimpin negara dan rakyat mahu menobatkan mereka yang jujur dan beramanah untuk Malaysia.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
17Sept 2015/3Zulhijah 1436H.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.