Perutusan Hari Kebangsaan 2015 YAB Menteri Besar Kelantan

7:58 PM 0 Comments A+ a-



PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 2015
YAB MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, kenanglah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu ketika kaum kuffar yang memusuhi kamu hendak menghulurkan tangannya demi untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
(Al-Maidah: 11)

Sesungguhnya, Baginda Rasulullah SAW adalah seorang tokoh agung pejuang pembebasan dan kemerdekaan. Bagindalah yang bertanggungjawab membebaskan umat manusia dari segala bentuk penjajahan dan perhambaan. Ianya bermula dengan penjajahan minda dan pemikiran, penjajahan akidah dan kerohanian, sehinggalah kepada penjajahan fizikal dan sistem kehidupan, sama ada dalam bentuk ekonomi, politik mahupun sosial.
Bersempena dengan sambutan kemerdekaan kali ke-58 ini, marilah kita sama-sama menghayati aspek sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana yang telah diungkapkan oleh seorang pejuang kemerdekaan iaitu Rib’ie bin Amir kepada panglima tentera Parsi, Rustum:

إِنَّ اللهَ ابْتَعَثَنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ العِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ العِبَادِ وَمِنْ جَوْرِ الأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الِإسْلَامِ وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْيَا إِلَى سعَةِ الدُنْيَا وَالآخِرَة

Maksudnya: Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki daripada penghambaan diri kepada sesama manusia agar mereka menghambakan diri hanya kepada Tuhan manusia, daripada penyelewengan agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada sempitnya dunia menuju kepada luasnya dunia dan akhirat.

Inilah intipati kemerdekaan yang sebenar iaitu membebaskan diri sendiri daripada belenggu kesesatan yang mendiami diri. Manusia yang bebas ialah yang menyerahkan semua urusannya kepada Tuhan dalam segala hal dan sentiasa menjadikan kebaikan serta keadilan agenda utama kehidupan mereka.

Ini bermakna, kemerdekaan menurut Islam ialah tidak tunduk kepada makhluk Allah, kemerdekaan yang meletakkan sepenuhnya cara hidup berlandaskan syariat Allah dan kemerdekaan yang menolak ideologi dan pemikiran manusia yang bertentangan dengan hukum Allah yang ianya akan membawa kepada kemurkaanNya. Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama ialah menentang jahiliyah yang ada dalam masyarakat Arab ketika itu. Mekah pada masa itu bukannya dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi, tetapi dijajah oleh jahiliyah Arab. Kemerdekaan dicapai setelah peristiwa Fathul Makkah berlaku dan disitulah jahiliyah mula tunduk kepada kekuasaan syariat islam sehinggalah ke zaman khulafa Al-Rasyidin.

Di negara kita, setiap tahun pada tanggal 31 Ogos disambut sebagai tarikh perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan kuasa asing. Sambutan ini seharusnya diraikan oleh kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik mahupun aliran fahaman, kerana ia merupakan satu anugerah kemenangan yang besar dalam sejarah perjuangan umat ini membebaskan diri dan watan daripada cengkaman kuasa asing.

Sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama mempertahankan akidah umat Islam semenjak negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13 lagi. Nama-nama besar seperti Tuan Guru Haji Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut yang bangkit mempertahankan ketuanan Islam di Pasir Puteh Kelantan pada tahun 1915, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu telah memimpin kebangkitan ummah menentang kemaraan penjajahan British serta tokoh-tokoh lain seumpama Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abas Mohamad Taha, Pendita Za’ba, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan Dr Zulkifli Mohamad adalah merupakan antara golongan terawal memulakan gelombang pertama meniupkan semangat kemerdekaan. Peta pemikiran yang dibina mereka juga telah melahirkan idea dan pemikiran bagi memajukan masyarakat untuk bangkit membina tamadun umat Islam yang unggul di negara kita.

Sempena memperingati kemerdekaan ini juga, marilah sama-sama kita kukuhkan jalinan ukhuwwah, Ta’awun ‘Ala Al-Birri Wa Al-Taqwa iaitu berganding bahu dalam perkara kebaikan dan takwa untuk membina umat yang kuat. Dengan kesatuan hati, bergerak sehati sejiwa dan rasa tanggungjawab terhadap negara, kita akan mampu membina ketamadunan yang unggul dalam negeri dan negara, kita akan mampu membangunkan negara dengan stabil dan saksama.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadikan kemerdekaan ini sebagai anugerah Allah SWT yang sangat bermakna dalam usaha membangunkan negara ini dengan tuntutan syariat sepertimana yang disifatkan Allah sebagai;
بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور ٌ

“MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

“MERDEKA FIKRAH DARIPADA FAHAMAN JAHILIYAH”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan Darulnaim

Bertarikh: 15 Zulkaedah 1436/30 Ogos 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.