PM perlu bawa dua saksi penting SRC International jumpa SPRM - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:24 AM 0 Comments A+ a-



PM perlu bawa dua saksi penting SRC International jumpa SPRM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya sudi ditemuramah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada waktu terdekat. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed memaklumkan bahawa SPRM sedang menunggu tarikh untuk mendapat penjelasan Najib terhadap kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Apakah Najib diambil keterangan sebagai seorang saksi atau tertuduh?


Apakah akhirnya Najib akan mendedahkan nama misteri penderma RM2.6 bilion?

Namun siasatan SPRM tidak akan lengkap tanpa kehadiran Nik Faisal Arif Kamil (Pengarah Urusan SRC International) serta Datuk Suboh Md Yasin (Pengarah SRC International Sdn Bhd). Ini dinyatakan dalam satu kenyataan SPRM pada 13 Oktober 2015 – di mana badan itu menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat mendapat keterangan dan akses kepada dua pengarah SRC International, yang dikatakan saksi penting.

Umum mengetahui SRC International adalah sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, di mana Najib juga adalah Menterinya.

Di parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Najib telah menyatakan bahawa kedua-dua pegawai tertinggi SRC International Nik Faisal dan Datuk Suboh akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM. Cuma sehingga hari ini, tarikh tersebut masih belum diketahui.

Yang lebih peliknya ialah tindakan SRC International Sdn Bhd selepas itu di mana ia melakukan desakan agar peguam negara menyiasat mereka yang bertanggungjawab ke atas dakwaan ketirisan dan kemungkinan penjualan maklumat rahsia, sebelum ia bekerjasama dengan SPRM berhubung dakwaan salahguna dana melibatkan pihaknya. Ini dilihat seolah-olah ingin melanggar ‘arahan’ Najib di parlimen.

Masalahnya, Najib tidak menyuarakan bantahannya. Apakah ini bermaksud Najib turut bersetuju dengan syarat SRC International? Jika ya, apakah ini juga syarat Najib yang bakal dikemukakan sebelum memberi keterangan penuh kepada SPRM?

Jika Najib berminat untuk mendedahkan segala ‘kebenaran’, PAS menyarankan agar PM menggunakan segala kuasa yang ada untuk mengarahkan Nik Faisal Arif Kamil serta Datuk Suboh Md Yasin untuk kembali ke Malaysia untuk disoalsiasat oleh SPRM.

Jika ini semua tidak berlaku, maka kemungkinan besar ini semua hanyalah wayang politik seperti laungan Najib untuk menyaman Wall Street Journal yang tidak terjadi sehingga hari ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.