Bahagian Ii - Bagaimana YB Lim Kit Siang Digantung? - Zulhazmi Shariff

12:43 AM 0 Comments A+ a-



BAHAGIAN II - BAGAIMANA YB LIM KIT SIANG DIGANTUNG?

Pada 22/10/2015 jam 11:40 pagi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Azalina Othman Said mengusulkan kepada Dewan suatu usul di bawah Peraturan 27 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan seperti berikut :-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said]: Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan;

“BAHAWA pada Isnin, 19 Oktober 2015, Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah telah mengeluarkan kenyataan semasa perbahasan usul pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang merupakan satu tuduhan ke atas Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengenai penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

BAHAWA tuduhan itu menyatakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak ada kuasa di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan mendakwa Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menyalahgunakan kuasa.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah membuat tuduhan
bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah melakukan sabotaj terhadap penyiasatan 1MDB.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah melemparkan tuduhan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat menjadi diktator dalam membuat tafsiran kepada peraturan mesyuarat dan turut mempolitikkan kedudukan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

BAHAWA tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Gelang Patah adalah dakwaan yang amat serius dan merupakan suatu penghinaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan demikian bererti penghinaan juga kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam (6) bulan dari tarikh usul ini diputuskan”. [Tepuk]
Saya mohon mencadangkan

Perlu diambil perhatian bahawa usul di atas dibawa mengikut Peraturan 27 (3) yg memperuntukkan seperti berikut :-

(3) Kecuali sebagaimana yang disyaratkan dalam Peraturan Mesyuarat 43 dan perenggan (5) dalam Peraturan Mesyuarat 86 dan 26(1), apa-apa usul hendaklah dikeluarkan pemberitahu tidak kurang daripada empat belas hari terlebih dahulu tetapi jika usul itu dengan nama Menteri, maka memadailah dengan dikeluarkan pemberitahu tujuh hari sahaja terlebih dahulu, dan pula jika Tuan Yang di-Pertua puas hati setelah diterangkan kepadanya oleh seseorang Menteri iaitu bagi faedah orang ramai sesuatu usul itu mustahak dibahaskan dengan seberapa segeranya maka memadailah dikeluarkan pemberitahu itu satu hari sahaja terlebih dahulu.

Peraturan 27 (3) ini ialah berkaitan bagaimana sesuatu usul hendak dibawa oleh Menteri bukan berkaitan hendak mengambil tindakan terhadap seseorang ahli. Jika kita lihat usul yang dibacakan oleh Menteri, kita tidak nampak usul tersebut dibuat mengikut peruntukkan Peraturan yang mana, justeru dari awal lagi usul sudah tidak betul.

Peraturan Mesyuarat Dewan sebenarnya ada peruntukkan bagaimana hendak mengambil tindakan tatatertib terhadap seseorang ahli dewan iaitu di Peraturan 80 dan 80A.

Peraturan 80 ialah berkaitan pewujudan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang akan berfungsi seperti Jawatankuasa Disiplin atau Tatatertib yang boleh menyiasat dan mengambil tindakan.

Peraturan 80A pula ialah jika berlaku sesuatu tindakan yang segera, maka Majlis Mesyuarat boleh mengambil tindakan tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Peraturan 80A

80A. Walau apa pun peruntukan-peruntukan Peraturan Mesyuarat 80 berhubungan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, kiranya pada hemat Majlis telah berlakunya, sama ada oleh seorang ahli atau oleh mana-mana orang lain, apa-apa perbuatan, perkara atau benda yang boleh dikenakan hukuman sebagai perbuatan menghina Majlis di bawah Ordinan Majlis-Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, Majlis boleh melantik suatu Jawatankuasa untuk terus menyiasat hal itu dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut Ordinan tersebut

Usul oleh Menteri tidak menggunakan Peraturan 80 dan 80A sebaliknya mengikut Peraturan 27 (3) yang jelas salah.

Kemudian Speaker membenarkan usul tersebut dibahaskan dan kemudian membuat keputusan di dalam Majlis juga adalah salah.

Jelas bahawa tindakan menggantung YB LKS adalah tidak mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat justeru penggantungannya menjadi tidak sah.

Adalah amat menyedihkan apabila Dewan Rakyat yang menjadi institusi ulung dalam negara telah diperkotak katikkan demi kelangsungan politik pemerintah.

ZULHAZMI SHARIFF.
23102015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.