Bajet 2016: Bajet Kala Waktu Diuji - Dr Mujahid Yusof Rawa
BAJET 2016: BAJET KALA WAKTU DIUJI
Bajet kali ini datang dalam keadaan suram suasana ekonomi negara dengan kesan penurunan Ringgit Malaysia dan ekonomi global yang perlahan. Faktor penurunan Yuen China turut memberi kesan kepada ekonomi negara. Dalam suasana ini, Malaysia ada pecutan terakhir dalam perancangannya mencapai status negara maju dalam RMK 11 dan bajet ini adalah yang pertama lonjakan dalam masa lima tahun berbaki ke tahun 2020. Antara harapan dan halangan Bajet 2016 lahir dalam desakan perubahan politik yang semakin meningkat dan populariti Perdana Menteri Najib Razak yang semakin menurun.
Tiada yang istimewa dalam bajet kali ini kecuali gaji minima dipertingkatkan kepada RM1200 untuk awam dan RM1000 untuk swata. Ini dialukan sepertimana yang pernah diperjuangkan selama ini oleh pembangkang walaupun ada yang menngaggap RM1000 kepada swasta tidak merangsangkan pekerjaan sektor swasta yang perlu dikukuhkan. Peruntukan BRIM dan insentif lain kepada rakyat sememangnya dijangkakan untuk memberikan sedikit rasa kelegaan sebagai kerajaan yang bergantung kepada sokongan rakyat.
Menarik tentang GST yang anggaran hasilnya dilihat meningkat dari asal RM29 bilion kepada RM34 bilion atau peningkatan 24 peratus berbanding anggaran pendapatan lain yang menurun dari yang disasarkan termasuk cukai Petronas dan cukai syarikat. Pendapatan negara bajet ini ialah RM225 bilion. Manakala perbelanjaan ialah RM267 bilion dengan perbelanjaan operasi mengambil 80 peratus berbanding 20 peratus untuk pembangunan.
Bajet ini juga mengulangi agenda Bumiputra yang disebut dalam RMK11 namun isu asal yang menghantui peruntukan Bumiputra selama ini tidak digarap seperti ketirisan, tadbirurus agensi seperti MARA dan lain-lain. Penekanan kepada peningkatan ekuiti dengan peruntukan untuk Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) sebenarnya tidak banyak membantu majoriti Bumiputra yang merupakan mereka yang berpendapatan tetap. Begitu juga penstrukturan semula agensi Bumiputra adalah lebih releven disentuh khusunya tumpuan kepada pendidikan dan latihan. Pengendalian MARA yang dianggotai oleh ahli majlis pengurusannya yang majoriti ahli politik menyebabkan MARA tidak ditadbir secara profesional dan menjana. Lebih penting ialah merasionalisasikan agensi Bumiputra bagi memaksimakan pelaburan kerajaan selama ini.
Isu lain yang tidak ditangani ialah pekerja asing yang semakin memberi kesan kepada isu peningkatan produktiviti kerana gaji yang murah dan kurangnya peningkatan pekerja mahir atau separuh mahir. Lesen pekerja asing patut diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia dan bukan Kementerian Dalam Negeri kerana keperluan tenaga kerja dan rasionalnya adalah merupakan kerja utama KSM.
Isu pekerja tiada disebutkan secara substantif reform dari sudut suara melalui kesatuan mahupun pulangan keuntungan kepada pekerja berbanding majikan serta pengurangan caruman KWSP bagi menambahkan pendapatan boleh belanja pekerja.
Perkembangan 3-5 peratus ekonomi turut menghantui prestasi mencapai status negara maju 2020 yang mensasarkan pendapatan purata rakyat berbanding PDNK ialah USD15000 Untuk berbuat demikian perkembangan 6 peratus diperlukan setiap tahun apatah lagi dengan penurunan RM pencapaiannya lebih sukar.
Secara menyeluruh tiada pembaikan struktural dalam menangani krisis yang dihadapi dan tiada yang baru tentang reformasi tatakelola kewangan yang baik dengan mengambilkira skandal 1MDB dan RM2.6 bilion serta unsur yang meyakinkan kita ada usaha untuk menutup kes-kes ini disiasat dengan telus dan jujur.
Demikianlah Bajet 2016 hadir kala negara diuji dengan kerapuhan ekonominya dan tadbirurus negara yang tidak mengisyaratkan ke arah lebih telus amanah dan bertanggungjawab. Bajet Pakatan Harapan pula membawa tema “Mengelak Krisis” yang akan kita lontarkan sebagai bahan perbahasan semasa perdebatan minggu depan nanti.
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)
Bertarikh 24 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...