Penggantungan Yb Gelang Patah - Azalina Othman

12:50 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PENGGANTUNGAN YB GELANG PATAH

1. Dakwaan pihak pembangkang bahawa YB Gelang Patah dinafikan Hak Untuk Didengar (The Right To Be Heard) adalah tidak berasas sama sekali.


2. Beliau telah mempunyai tempoh hampir 3 hari dari tarikh beliau mengeluarkan kenyataan terhadap Speaker pada 19 Oktober 2015. Manakala, pada sebelah petang 21 Oktober 2015, pihak Kerajaan atas arahan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat, telah menarik balik Pemberitahu Usul untuk memberi peluang kepada YB Gelang Patah untuk memohon maaf.

3. Malah, beliau juga diberi peluang sekali lagi untuk melaksanakan permintaan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat sebelum Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) dibaca pada jam 11.30 pagi semalam.

4. Selanjutnya, mengenai cadangan Pembangkang bahawa YB Gelang Patah sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 dan 80A juga tidak timbul malahan tiada keperluan.

5. Ini adalah kerana peruntukan kedua-dua Peraturan Mesyuarat ini memerlukan satu siasatan dijalankan dengan saksi-saksi dipanggil untuk memberi keterangan. Sedangkan di dalam kes ini adalah jelas dan nyata di mana YB Gelang Patah telah membuat kenyataan tersebut di dalam Dewan yang mulia, di hadapan Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat seperti yang dicatatkan dalan Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat bertarikh 19 Oktober 2015.

6. Sebagai seorang Ahli Parlimen veteran, sejak tahun 1969, YB Gelang Patah seharusnya sudah ariff akan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tahu apa tindakan sewajarnya yang perlu dilakukan apabila Tuan Yang di Pertua Dewan Rakyat berkali-kali meminta beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

7. Ini jelas membuktikan bahawa, YB Gelang Patah digantung bukan berkenaan dengan 1MDB sepertimana persepsi yang cuba diwujudkan oleh Pembangkang.

8. Malah, berpegang kepada prinsip ketelusan, pihak Kerajaan sendiri telah mengarahkan agar Jabatan Audit Negara dan PAC menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Untuk rekod, arahan untuk Jabatan Audit Negara mengaudit 1MDB dikeluarkan selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2015.

Sekian terima kasih.

YB DATO’ SRI AZALINA DATO’ OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tarikh: 23 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.