Kenapa Belanjawan Jabatan Perdana Menteri Tinggi? - Wan Ahmad Fayhsal
KENAPA BELANJAWAN JABATAN PERDANA MENTERI TINGGI?
Saya salah seorang tenaga kerja dalam Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) pada tahun 2012. Saya asalnya eksekutif di PETRONAS kemudian mendapat tawaran menjadi eksekutif kanan (senior executive) di TERAJU. Yang bawa saya keluar daripada PETRONAS ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, ketika itu Menteri Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di JPM.
Bos saya di bawah bahagian pengurusan stakeholder ialah En. Norizan bin Sharif kini menerajui IKSEN. Antara sumbangan saya di TERAJU ialah menyiapkan blueprint Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang kini ramai anak Melayu dan Bumiputera mendapat manfaat daripadanya.
TERAJU diwujudkan oleh DS Najib Razak sebagai ganti kepada pelupusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang kali terakhir menterinya ialah Dato' Noh Omar.
TERAJU adalah satu daripada 66 agensi dan jabatan yang bernaung di bawah JPM. (rujuk: https://goo.gl/MZwV5J)
Jadi tidak hairan mengapa JPM terima belanjawan yang sangat besar hasil daripada dasar "agensifikasi" (agensification) kerajaan DS Najib Razak.
Apakah tujuan agensifikasi ini? Salah satunya ialah untuk menarik "talent" dari luar Jabatan Perkhidmatan Awam khususnya swasta untuk berkhidmat dengan kerajaan. Maknanya membuka ruang kerja-kerja PTD untuk pihak luar untuk sumbang tenaga kepada kerajaan.
Sudah tentu skim "emolument" (gaji, manfaat) haruslah bersifat "attractive" (menarik) dan berbaloi untuk tarik "talent" ini ke dalam agensi kerajaan. Seperti saya yang sudah berada dalam PETRONAS, syarikat negara yang satu-satunya dalam Fortune 500, kalau pakej tawaran kerja di TERAJU tidak menarik dan lebih rendah daripada PETRONAS, saya mungkin tidak akan menyertai TERAJU .
Itu baru TERAJU. Bagaimana dengan PEMANDU yang memang ramai "talent" daripada swasta yang sudah tentu menuntut kepada pakej yang setanding dengan syarikat multinasional gergasi.
Bukan itu saja, agensi-agensi di bawah JPM ini mengguna pakai konsultan yang bukan murah untuk dibayar.
Ada baik buruk agensifikasi di bawah JPM ini. Baiknya ialah kita dapat menggembeleng tenaga dari luar sistem JPA yang segar, kreatif dan "fresh" untuk bantu kerajaan seterusnya mengatasi birokrasi (red tape) Kementerian yang sering menjadi aduan ramai.
Tapi ada keburukan juga seperti kata Tun Mahathir, agensi-agensi ini telah "masuk padang" (encroach into the turf) dan tugasan tradisional Kementerian yang sedia ada sehingga banyak "redundancy".
Dari segi politik, JPM di bawah DS Najib mempunyai kuasa yang besar untuk mengatur cara perjalanan dasar negara. PEMANDU adalah salah satu contoh. Dengan menteri yang penuh, PEMANDU amat-amat berpengaruh dan ini menimbulkan ketidak senangan di kalangan PTD dalam Kementerian lain.
Banyak idea segar timbul daripada agensifikasi JPM ini seperti program BAHTERA yang saya selalu dengar mendapat pujian ramai.
Walau apa pun, ada seribu agensi di bawah JPM dan gaji yang menarik pun semuanya kembali kepada asas pentadbiran yang Allah SWT ajar dalam Qur'an: kemampuan jitu (qawīy) dan amanah (amīn).
Sekian pandangan seorang tenaga kerja JPM 2012 di bawah kerajaan DS Najib Razak.
Sila kongsi artikel ini...