Kongres Rakyat: Suara Rakyat, Resah Rakyat - Wan Ahmad Fayhsal

11:37 PM 0 Comments A+ a-


KONGRES RAKYAT: SUARA RAKYAT, RESAH RAKYAT

Macam biasa laporan media mahukan sensasi. Dalam banyak-banyak isi Kongres Rakyat, yang dijadi buah mulut dan sensasi adalah perihal menyalak babi dalam bukit seperti tamsilan Tuan Guru Haji Hadi.

Ada beberapa pandangan yang menarik khusus Tuan Guru Haji Hadi mengulas perihal dan kedudukan orang Melayu sebagai pemimpin di tanah bertuah ini. Syaratnya Islam mesti dijadikan panduan sepenuh-penuhnya. Semua orang Melayu yang ada akal yang sihat pasti setuju dengan ni tak kira parti apa pun.

Saya dah lama tidak ke kongres sebegini. Zaman siswa dulu memang selalu bersama Cikgu Azmi ke sana ke mari dalam banyak kongres. Kali ini saya bawa isteri yang pertama kali hadir ke kongres yang mana ramai tunjangnya digerakkan oleh ahli PAS.

Isteri saya sendiri kagum melihat sifat gotong-royong unit AMAL yang mengendali logistik dan aturan majlis. Kita tahu bahawa sukarelawan PAS selalunya menyumbang tenaga dan masa secara sukarela tanpa dibayar, sedang kita maklum kebanyakan program UMNO sukar digerakkan tanpa "pelincir" dan "saguhati".

Semalam kami saksikan rakyat marhaen dan mustad'affin (golongan susah dan tertindas) yang datang daripada latar belakang seperti nelayan, petani, pekerja kilang, ibu tunggal, OKU, orang FELDA, guru sekolah melahirkan rasa kecewa dan marah mereka kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Semua daripada mereka rasakan diri mereka dipermain-mainkan dengan kata-kata berbelit dan simpang siur.

Kenapa rakyat benci UMNO? Sebenarnya kebencian itu bukan pada UMNO tetapi rasuah dan pecah amanah. Disebabkan korupsi yang terlampau (blatant corruption) dan pecah amanah itu terlampau sinonim dengan UMNO penilaian penyokong parti pembangkang acap kali menyatukan keduanya walaupun tidak semestinya "rasuah" dan "UMNO" itu "mutually inclusive".

Walaupun korupsi, pecah amanah, politik wang membarah dalam UMNO tidak bermakna semua ahli UMNO jahat atau jatuh kafir. Mereka ada hak mereka yang kita perlu hormati juga walaupun kita membenci kesalahan dan kesilapan sesetengah pemimpin UMNO yang lupa daratan.

Jangan jadikan luka lama berdarah semula dalam merapatkan saf sesama kaum Muslimin. Memang sukar sebab itu kita kena faham latar dan gambaran besar masalah.

Kita maafkan sajalah golongan ini. Mereka perlu bimbingan agar kemarahan mereka kepada mana-mana penguasa korup itu tidak gelincir pada lembah kezaliman. Berpada-pada.

Bagi saya, perwakilan dan pemerhati perlu bangkitkan dan belajar bagaimana mantan orang kanan almarhum Tun Razak seperti Tan Sri Abdul Aziz Rahman bangkitkan dan tunjukkan kepada kita bagaiamana berjuang dalam saluran demokrasi menggunakan otak yang cerdas. Bila saya lihat deraf rang undang-undang Autoriti Pengurusan Kemiskinan yang diusulkan oleh Tan Sri Aziz, ianya adalah himbauan kepada kegeniusan pasukan Tun Razak, Tun Dr Ismail dalam menyusun atur semula masyarakat dan ekonomi guna Dasar Ekonomi Baru (tolak tepi ketirisan dan salah laku dalam pelaksanaan). PAS khusus ahli parlimen PAS boleh belajar daripada sini dan perjuangkannya dalam parlimen nanti! Kita alu-alukan semua wakil rakyat memperjuangkan rang undang-undang ini demi maslahah rakyat!

Dalam ucapan saya, telah saya bangkitkan dan cuba letakkan pergeseran UMNO vs PAS; PAS vs AMANAH, PAS vs DAP dalam konteks yang lebih kecil dari segi pemberat kepada maslahah politik negara. Kita terlampau disibukkan sehingga kita hilang punca tentang cabaran geopolitik dan politik ekonomi antarabangsa yang menatijahkan kepada arus deras sekularisasi berupa "rampasan ekonomi kewangan ke atas ekonomi tampak" (financialization of real economy).

Rintihan dan kekecewaan rakyat daripada pelbagai golongan memang ada asas dan mereka semua adalah mangsa termasuk UMNO dan Barisan Nasional, dalam perangkap samar jenayah kolar putih seperti Sabotaj Ekonomi melalui perbankan ribawi, TPPA dan sebagainya.

Sebagai anak muda yang berpendidikan tinggi, beban ilmu adalah amanah untuk kita perjuangkan menyelesaikan semua simptom-simptom yang dirintihkan golongan mustad'afin tadi yang berpunca daripada akar masalah yang sebenarnya terbit di universiti yang mengajar ilmu-ilmu yang merosakkan lagi tidak bermanfaat!

Mana orang kampung faham apa itu ekonomi neo-liberalisme, "fractional reserve banking" yang menggugat keadilan dalam rantaian nilai pertanian, perikanan, perkilangan, pendidikan dan banyak lagi???

Saya sendiri berhempas pulas dalam ucapan saya nak terangkan permainan geopolitik agensi rating seperti S&P, Moody's, Fitch dalam meranapkan ekonomi sesebuah negara seperti mana Russia dan Brazil kena.

Walau apa pun tahniah kepada sekretariat Kongres Rakyat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Cikgu Azmi dan ahli-ahli sukarelawan daripada PAS yang menjayakan program ini.

Saya syorkan tuan-tuan tonton dan dengar ucapan Tan Sri Aziz Rahman kerana pada hemat saya dalam Kongres Rakyat, "Poverty Management Bill" yang diusulkan beliau adalah satu senjata paling ampuh untuk Kongres Rakyat dan kita semua perjuangkan selepas ini: https://youtu.be/Z8CWlw0keZM?t=4h6m53s

Juga pidato ringkas saya selama 7 minit tentang cabaran geopolitik dan jerat hutang ke atas kedaulatan negara: https://youtu.be/Z8CWlw0keZM?t=6h9m22s


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.