Jangan Ganggu Sprm Siasat Isu 1MDB - Wan Azizah
KENYATAAN MEDIA
JANGAN GANGGU SPRM SIASAT ISU 1MDB
KEADILAN memandang serius tangkapan yang dibuat Polis Di-Raja Malaysia hari ini terhadap seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta seorang pegawai Jabatan Peguam Negara. Siri tangkapan ini kelihatan seperti satu amaran berbaur ugutan kepada SPRM, yang merupakan salah satu agensi kerajaan yang terlibat di dalam pasukan siasatan khas terhadap isu skandal kewangan 1MDB.
Kesemua agensi kerajaan yang terlibat di dalam siasatan terhadap 1MDB wajib diberi ruang dan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan siasatan tersebut. Agensi-agensi ini tidak patut diganggu, dan sebarang penukaran petugas atau tangkapan seperti yang berlaku hari ini hanya menimbulkan syak wasangka dan keraguan tentang kebebasan jawatankuasa tersebut untuk melakukan siasatan.
Pada masa yang sama, saya menggesa Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih sayangkan negara kita untuk mendengar suara rakyat yang mendahagakan kebenaran. Janganlah berdiam diri di dalam isu 1MDB ini. Janganlah takut, kerana Rakyat pasti akan bersama kita di dalam menegakkan kebenaran.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN
1 Ogos 2015
Sila kongsi artikel ini...