Tan Sri Pandikar Amin Mesti Kotakan Apa Yang Dikata - Zulhazmi Shariff

12:09 AM 0 Comments A+ a-



TAN SRI PANDIKAR AMIN MESTI KOTAKAN APA YANG DIKATA.

Sebelum ini Tan Sri Pandikan Amin Mulia, Yang DiPertua Dewan Rakyat semasa menafikan kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat berkata, beliau hanya mahukan Parlimen yang bebas yang tidak mengikut telunjuk kerajaan. Sekarang nampaknya Tan Sri Pandikar bukan seperti yang beliau idamkan sebelum ini.

Semalam, Tan Sri Pandikar dilaporkan berkata bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh bermesyuarat sehingga dilantik seorang Pengerusi yang baru pada sidang Oktober nanti memandangkan Pengerusi PAC sebelum ini Datuk Nur Jazlan mengosongkan jawatan kerana dilantik menjadi Timbalan Menteri dalam rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini.

Lebih pelik apabila Tan Sri Pandikar memetik Peraturan Mesyuarat 77 (3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa walau pun Peraturan 77 (3) memberikan kuasa kepada ahli-ahli PAC melantik seorang ahli lain sebagai Pengerusi jika Pengerusi dan Naib Pengerusi tiada akibat uzur atau sebab-sebab lain.

Peraturan 77 (3) adalah seperti berikut :-

(3) Semasa ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi oleh kerana keuzuran atau lain-lain sebab, Jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi seorang Pengerusi yang akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa itu.

Peraturan tersebut JELAS bahawa dalam ketiadaan Pengerusi atau Naib Pengerusi oleh kerana keuzuran atau sebab-sebab lain, ahli-ahli jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang yang lain menjadi Pengerusi.

Kita lihat dalam keadaan sekarang, Pengerusi tiada tetapi PAC masih mempunyai Naib Pengerusi yang boleh bertindak sebagai Pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat. Justeru tidak timbul isu ahli perlu melantik orang lain kerana Naib Pengerusi sedia ada masih wujud dan berfungsi. Peraturan 77 (3) mengatakan jika kedua-dua Pengerusi dan Naib Pengerusi tiada, tetapi sekarang Naib Pengerusi masih ada.

Malah jika ahli perlu melantik ahli yang lain pun tidak menjadi masalah kerana Peraturan 77 (3) jelas menyatakan bahawa jika Pengerusi atau Naib Pengerusi tiada atas keuzuran atau lain lain sebab. Dalam hal ini, Pengerusi mengosongkan jawatannya, maka ianya termasuk dalam "lain-lain sebab" yang mewajarkan Jawatankuasa memilih ahli lain sebagai Pengerusi.

Tan Sri Pandikar juga berkata mesyuarat PAC juga tidak wajar diteruskan kerana 3 lagi ahli yang lain juga telah melepaskan jawatan kerana turut terlibat dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ini juga suatu kenyataan yang pelik kerana walau pun 3 orang ahli tiada, PAC masih cukup korum yang mana sekarang masih ada 9 ahli termasuk Naib Pengerusi.

Perlu diambil perhatian bahawa PAC hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 6 orang ahli dan tidak lebih 12 ahli tidak termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi. Ini disebut dalam Peraturan 77 (2) seperti berikut :

(2) Jawatankuasa ini hendaklah mengandungi seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis dan tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli yang akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen

Sekarang PAC masih mempunyai 9 ahli termasuk Naib Pengerusi justeru PAC masih boleh berfungsi seperti sedia ada dan perlantikan ahli baru boleh dibuat semasa sidang Oktober nanti.

Tan Sri Pandikar tidak perlu bersusah payah menjaga kepentingan pihak tertentu sehingga menggadaikan kebebasan dan kehormatan Parlimen seperti yang beliau mahukan.

Buktikan bahawa Parlimen ialah sebuah institusi bebas yang menjunjung konsep keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan hak rakyat.

Jangan cuba jadikan Parlimen sebagai tempat berselindung mana-mana pihak yang menggadai hak rakyat.

BERANI BERUBAH

ZULHAZMI SHARIFF
31072015











--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.