Kestabilan dan Keselamatan Rakyat dan Negara adalah Keutamaan PAS.

11:30 PM 0 Comments A+ a-

Kestabilan dan Keselamatan Rakyat dan Negara adalah Keutamaan PAS.

PAS Negeri Selangor menyelar sikap pelaporan Berita Harian hari ini dengan tajuk “Hadi Beri Amaran Jangan Sokong Undi Tidak Percaya”. Pelaporan sebegini amat mendukacitakan dan mencalar integriti dan professionalism kewartawanan. Presiden menyatakan bahawa undi tidak percaya adalah suatu proses demokrasi dan PAS akan menelitinya.

PAS Selangor menyokong kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bahawa PAS tidak akan menyokong sebarang bentuk polemik atau tindakan yang boleh menyebabkan negara ini huru-hara ataupun keamanan dan keselamatan rakyat terjejas. PAS mengingatkan bahawa keutamaan politik Islam adalah untuk sentiasa memelihara maslahah umum dan mencegah mudharat. PAS Selangor tidak akan sesekali bersetuju dengan apa-apa tindakan yang akan menjejaskan keselamatan dan keamanan negara ini.

PAS Selangor menekankan bahawa Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama UMNO dan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang zalim, korup serta tidak memelihara kepentingan rakyat. Namun, setiap tindakan di dalam membawa perubahan politik perlu mengambil kira impak terhadap rakyat, samada ia membawa kebaikan atau keburukan. Oleh itu, perlu dijelaskan bahawa PAS hanya akan menyertai perubahan politik secara sihat agar kebaikan kepada rakyat dapat dimaksimakan dan keburukan dapat dicegah. Selain itu, PAS akan terus mengikut lunas demokrasi dan prinsip-prinsip yang digariskan syara’.

PAS Selangor juga sedar bahawa UMNO dan Barisan Nasional berada di penghujung nyawa dan makin hari menjadi tidak relevan di arena politik kebangsaan. Di dalam keadaan terdesak, UMNO dan Barisan Nasional menggunakan media-media perdana untuk menyebarkan kenyataan yang “misleading”. PAS Selangor juga tidak menolak kemungkinan bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan menggunakan isu perkauman dan pelbagai isu sensitive lain untuk menakutkan rakyat serta mengaburi pandangan rakyat daripada isu-isu yang melibatkan kepentingan Negara.

PAS Selangor menyeru agar rakyat berhati-hati dan tidak terburu-terburu bertindak berdasarkan laporan daripada media perdana. Rakyat digesa agar menyemak dan menyiasat semua berita yang diterima daripada media-media ini. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t.:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”(QS. Al-Hujurat : 6)

PAS Selangor menasihati seluruh rakyat Malaysia agar mendapatkan berita yang sahih berkenaan PAS daripada sumber berita kami, iaitu Harakah (cetak) dan juga Harakah Daily (atas talian di www.harakahdaily.net).

Tidak seperti parti politik lain, PAS merujuk Islam dan terikat dengan syara’. Kami akan kekal istiqamah sehingga kemenangan.

Wallahu a’lam.

Mohd Prasad bin Hanif
Ketua Penerangan
PAS Negeri Selangor
31hb Julai 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.