Bebaskan Segera Adam Adli Dan Syukri Razab - Sany Hamzan
BEBASKAN SEGERA ADAM ADLI DAN SYUKRI RAZAB
Susulan penangkapan Adam Adli, Syukri Razab dan beberapa aktivis anak muda oleh pihak polis, Gerakan Anak Muda Harapan Baru (HB) menganggap ia satu langkap silap pihak polis. Mereka mesti dibebaskan segera. Dikala mereka mengumumkan untuk menganjurkan himpunan secara terbuka, sepatutnya pihak polis berunding dengan mereka secara terbuka. Beberapa himpunan sebelum ini berjalan dengan baik apabila pihak polis sedia berunding dengan penganjur dan tidak menggunakan kekerasan.
Tambahan pula dikhabarkan mereka ditahan untuk siasatan dibawah Akta Hasutan. Ia sesuatu yang berlebihan dan tidak perlu. Masyarakat awam sudah biasa dengan amaran pihak polis tentang kononnya wujudnya himpunan yang akan mencetus keganasan dan huru-hara. Namun apabila tiba hari kejadian, tiada keganasan dan huru-hara yang berlaku. Oleh itu kita menganggap tangkapan dibawah Akta Hasutan ini adalah ugutan yang tidak perlu. Rakyat perlu diberi kebebasan sebagaimana jaminan dalam perlembagaan untuk berhimpun secara aman. Polis sepatutnya bekerja keras untuk menangkap penyangak-penyangak yang merompak wang syarikat 1MDB.
Dalam masa yang sama dunia sedang memerhatikan Malaysia dikala lawatan Perdana Menteri Britain ke Malaysia sedang berlangsung dan isu penyingkiran Tan Sri Mahyudin Yasin serta isu penyelewengan 1MDB. Oleh itu tindakan menangkap aktivis anak muda ini akan menambahkan persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia. Kesannya akan diterima oleh kerajaan dan rakyat. Oleh itu mereka mesti dibebaskan segera.
Mohd Sany Hamzan
Penyelaras
GERAKAN ANAK MUDA
HARAPAN BARU (HB)
Sila kongsi artikel ini...