Pelan Tindakan Bersama Untuk Selamatkan Malaysia - Wan Azizah

7:26 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

PELAN TINDAKAN BERSAMA UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

Minggu ini menjadi titik hitam di dalam sejarah demokrasi Malaysia. Insiden mirip 1998 menghantui kita apabila sekali lagi seorang Timbalan Perdana Menteri telah dipecat hanya kerana meminta penjelasan.


Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak serupa dengan pemecatan saudara Anwar Ibrahim, walaupun kedua-dua insiden berlaku tatkala Malaysia di ambang krisis; pada 1998 telah berlaku krisis kewangan Asia, dan pada 2015 pula krisis skandal kewangan 1MDB.

Kali ini bukan sahaja seorang Timbalan Presiden telah dipecat, malah juga seorang Peguam Negara, dan telah berlaku beberapa penggantian termasuk Pengarah Cawangan Khas. Terkini merupakan tangkapan yang dibuat terhadap seorang bekas penasihat SPRM dan pegawai di Jabatan Peguam Negara. Memang ini memberi persepsi kepada kita bahawa pemecatan, penggantian, dan tangkapan ini berkait dengan krisis skandal kewangan 1MDB.

Minggu lepas saya selaku Ketua Pembangkang mengadakan satu pertemuan dengan wakil-wakil gerakan masyarakat sivil untuk membincangkan halatuju politik negara. Luahan hati masyarakat sivil jelas, iaitu Ahli-Ahli Parlimen yang sayangkan tanah air kita, tidak kira dari pihak Pembangkang mahupun Barisan Nasional dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatu untuk selamatkan Malaysia.

Muafakat dan kesepakatan menyelamatkan Malaysia ini harus berasaskan agenda reformasi tulen dan menyeluruh, dan salah satu dokumen rujukan yang boleh menjadi titik rujukan kerangka muafakat ini ialah Dasar Bersama Pakatan Rakyat. Malah ‘Pelan Tindakan Demi Rakyat’ yang dilancarkan Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa NGO lain juga perlu diambil kira, dan cadangan-cadangan di dalam pelan tersebut boleh digunapakai jika bersesuaian.

Dalam masa terdekat, saya akan bertemu dengan Ahli-Ahli Parlimen dari pihak Pembangkang dan juga sesiapa sahaja yang berniat untuk menyelamatkan Malaysia. Kita tidak punyai masa yang banyak; negara kita di ambang krisis dan malapetaka ekonomi yang luas. Ugutan dan amaran pihak yang mahu kekal berkuasa tidak harus menghalang kita dari melaksanakan kewajipan menyelamatkan negara tercinta kita ini.

Demi Malaysia. Demi Rakyat!

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

1 Ogos 2015





--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.