Bajet 2016: Apa Yang Boleh Dipelajari – Syahir Sulaiman
Pandangan Profesional Ekonomi Muda PAS...
Bajet 2016: Apa Yang Boleh Dipelajari – Syahir Sulaiman
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)
Bajet yang sukar.
Bajet 2016 adalah sangat rumit untuk Malaysia. Ia dirangka dalam keadaan yang sangat mencabar, dilatari ketidaktentuan ekonomi global serta kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit, di samping kesempitan defisit dan hutang kerajaan yang memuncak, demi memenuhi agenda mensejahtera kehidupan rakyat.
Mengikuti perbincangan dan perdebatan Bajet 2016 mengajar kita beberapa pelajaran, antaranya:
Pelajaran Pertama: Matematik
Matlamat utama perbelanjaan kerajaan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan impak berganda (multiplier-effect) dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, supaya kek ekonomi terus berkembang untuk dinikmati oleh segenap lapisan rakyat dengan seadilnya.
Formula nilai tambah ini dapat dihasilkan melalui empat kaedah. Pertama, pertambahan melalui penambahan, antaranya dengan meningkatkan mutu modal insan dengan peningkatan kualiti pendidikan dan kesihatan rakyat. Kedua, pertambahan melalui penolakan, antaranya dengan menghentikan segala bentuk pembaziran, rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan, sebagaimana yang kerap dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dan SPRM.
Ketiga, pertambahan melalui penggandaan, antaranya dengan melipatgandakan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta budaya inovasi dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan untuk menjadikan Malaysia mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi di peringkat global. Keempat, pertambahan melalui pembahagian, antaranya dengan memastikan agihan kekayaan negara tidak hanya dimonopoli oleh golongan T20, tetapi turut diagih secara adil kepada golongan M40 dan B40 mengikut keperluan semasa.
Formula menambah-nilai ini adalah elemen utama dalam prinsip keberkatan, yang ditakrifkan sebagai ziyadatul-khayr (bertambah-tambah kebaikan), yang merupakan kunci utama kesejahteraan hidup rakyat dalam sesebuah negara yang adil dan berkebajikan.
Pelajaran Kedua: Pengurusan Kewangan
Bajet adalah satu pilihan samada mahu berbelanja atau berjimat daripada setiap ringgit yang diperolehi. Prinsipnya adalah sama, tanpa mengira samada anda seorang Perdana Menteri yang mengetuai sebuah kerajaan atau seorang bapa yang mengetuai sebuah keluarga, iaitu “Berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan, bukan mengikut kemahuan”.
Namun, apayang yang dikesali, kerajaan masih berpegang kepada prinsip belanjawan yang ‘membelanjakan RM120 daripada setiap RM100 yang diperolehi’, mengakibatkan Malaysia terus terperangkap di dalam kitaran defisit dan hutang yang sama, sejak tahun 1998.
Inilah pengajaran yang dapat diambil daripada jawapan Nabi Yusof a.s. kepada mimpi Raja Mesir, “..Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa.. biarkanlah sedikit di tangkai kecuali untuk dimakan.. selepas itu adakan datang tujuh tahun kemarau.. tiadalah makanan kecuali sedikit dari apayang kamu simpan..” (Yusuf: 47–49).
Pelajaran Ketiga: Geografi
Malaysia adalah sebuah bumi yang bertuah, dilimpahi dengan sumber alam dan kesuburan tanah, kaya dengan hasil petroleum, sawit dan getah, di samping keunikan biodiversitinya yang wajar diurus secara mampan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Kekayaan hasil bumi ini perlu diagih secara adil dan seimbang di antara bandar dan luar bandar, serta dibahagi kepada negeri-negeri agar nikmat pembangunan dapat dikecapi bersama. Tidaklah wajar Kelantan terus dipinggirkan, sebagaimana nasib yang sama turut menimpa Sabah dan Sarawak yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan dan pemodenan.
Di peringkat global, dengan kedudukan yang sangat strategik di pertengahan laluan dagangan timur dan barat, ia menjadikan negara kecil ini mempunyai peranan besar dalam pentas geo-politik antarabangsa dan serantau, khususnya di peringkat ASEAN, OIC, dan NAM, serta yang terkini, perdebatan samada Malaysia wajar menyertai pakatan 12 negara di dalam perjanjian TPPA yang bakal dimeterai tahun hadapan ataupun sebaliknya.
Pelajaran Keempat: Akhlak
Di sebalik angka berbilion ini, Bajet 2016 memperlihatkan tiada mekanisma baru diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan tahap integriti, disiplin fiskal dan langkah penjimatan, malah masih terdedah kepada elemen salah urustadbir yang sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, di samping kecenderungan untuk memohon bajet tambahan setiap tahun.
Inilah satu pelajaran yang ditinggalkan oleh Almarhum Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan berteraskan agenda ‘Membangun Bersama Islam’, berpaksikan kepada prinsip ‘Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (U.M.I). ‘Ubudiah merujuk kepada penyerahan diri manusia sebagai hamba Allah SWT, Mas’uliah pula berkait rapat dengan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah selaras dengan tuntutan syariat, manakala Itqan merujuk kepada etika kerja berkualiti tinggi.
Besarlah harapan agar Malaysia dilimpahi dengan ekonomi yang memberi kehidupan dan politik yang mewujudkan keamanan, dalam keadaan tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.
- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 17 November 2015
Sila kongsi artikel ini...