Semuanya 'Derma' : Jalan keluar Najib daripada kemelut - Tuan Ibrahim Tuan Man

7:31 PM 0 Comments A+ a-



Semuanya 'Derma' : Jalan keluar Najib daripada kemelut

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak semalam yang menyatakan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat milik kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh melakukan sumbangan kepada ahli politik atau parti politik sebagai pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah memberi gambaran seolah-olah ini adalah jalan keluar bagi beliau untuk menjelaskan tuduhan RM42 juta yang dikatakan dialirkan daripada SRC International ke akaun persendirian beliau.


Nampaknya, Najib kini percaya bahawa perkataaan ‘derma’ dapat menutup segala-segalanya sepertimana kontroversi ‘derma’ misteri RM2.6 bilion yang berakhir di dalam akaun persendirian beliau yang tidak dapat mengugat kedudukannya dalam Umno mahupun BN meskipun beliau terpaksa berdepan dengan serangan bengis Tun Dr Mahathir Mohamad. Pendek kata, jika terdapat ketidakteraturan kewangan, ‘derma’ lah jalan keluarnya kerana ini amalan yang boleh diterima Umno dan BN.

Bukan itu sahaja, semalam Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa pihak polis juga tidak dapat mengesan dua bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil dan Pengarah Urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob selain Jho Low.

Rasanya Kementerian Dalam Negeri perlu merujuk kepada Najib, Peguam Negara dan SPRM cara untuk menghubungi Nik Faisal. Ini kerana Najib sendiri yang memberitahu parlimen pada 22 Oktober yang lalu, Nik Faisal akan memberi keterangan secepat mungkin kepada SPRM manakala Peguam Negara memberitahu sebuah portal The Malaysian Insider bahawa Nik Faisal sudah memberi keterangan kepada SPRM.

Siapa yang benar? Kemungkinan besar juga Najib, Peguam Negara dan SPRM semuanya benar, tapi rakyat yang tersilap dengar. RM2.6 bilion itu kan ‘derma’?

Kalau 'derma' sebegitu boleh diterima baik, maka SPRM khasnya perlu mencadangkan agar perubahan takrif rasuah perlu dibuat semula agar semua dapat 'menikmatinya' seperti Najib.

InsyaAllah Malaysia akan dikenali sebagai negara penderma paling ramai selepas ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 November 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.