PAS: “Malaysia Digesa Hantar Tentera Pengaman Ke Myanmar”
1. Nasib sedang menimpa ke atas umat Islam Rohingya ketika ini adalah satu bentuk pembersihan etnik secara tersusun, termasuk didalangi oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa. Tindakan pengusiran, penganiayaan dan kezaliman serta pembunuhan adalah tekanan untuk menghapuskan umat Islam dari satu-satu penempatan atau wilayah.
2. Perkara ini mengulangi tragedi buruk pernah ditimpakan ke atas umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992 yang menghadapi kerakusan etnik Serbia. Begitu juga umat Islam di Palestin berdepan pencerobohan dan peperangan dari Zionis Israel sejak tahun 1948 tanpa ada pembelaan sewajarnya khususnya dari badan dunia.
3. Umat Islam di Rohingya bukan sahaja berdepan kegilaan puak Rakhine untuk bermandi darah, malah kecurangan Kerajaan Myanmar serta ketidakpedulian pihak tentera menyaksikan atau menghalang tindakan kezaliman dari berlaku. Sehingga ke saat ini, tidak ada badan dunia yang bersuara menyaksikan mala petaka dahsyat ke atas kemanusiaan ini.
4. Malah, media Barat pula bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya. Sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand.
5. Malangnya, Malaysia yang merupakan Pengerusi Negara Asean juga tidak mengambil langkah proaktif untuk bersuara, apatah lagi untuk menyatakan tindakan konkrit penyelesaian. Malaysia mesti segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggung jawab kemanusiaan.
6. Malaysia selaku anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) juga perlu mendesak masyarakat antarabangsa khusunya badan-badan dunia tersebut untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan serta merta pencabulan hak ke atas mereka.
7. Jika sekiranya Malaysia boleh menghantar kekuatan ketenteraannya berkhidmat sebagai pasukan pengaman di bawah PBB ke Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya atas maruah dan nyawa umat Islam, Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
8 Syaaban 1436 / 26 Mei 2015
Sila kongsi artikel ini...