Bolehkah Pasukan Siasatan Khas 1MBD Diharapkan? - Zul Hazmi

1:35 AM 0 Comments A+ a-



BOLEHKAH PASUKAN SIASATAN KHAS 1MBD DIHARAPKAN?

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pertahan yang juga Naib Presiden Umno semalam meminta Malaysia memberikan kepercayaan penuh kepada Pasukan Siasatan Khas yang dibentuk untuk menyiasat skandal pemindahan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun pribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perlu diambil perhatian bahawa Pasukan Siasatan Khas yang ditubuhkan dianggotai oleh Tan Sri Dr Zeti Akhtar,Bank Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abu Kassim Mohamad dari SPRM.

Pasukan ini ditubuhkan menyiasat secara terperinci skandal melibatkan Perdana Menteri. Sejauh mana mereka ini bebas menjalankan siasatan dan berani menjalankan siasatan tanpa rasa takut dan berpihak.

Perlu juga diambil perhatian bahawa Tan Sri Dr Zeti adalah Gabenor Bank Negara yang mempunyai hubungkait dengan Kementerian Kewangan yang mana Najib adalah Menterinya. Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara juga berada di bawah Perdana Menteri, beliau dilantik atas nasihat Perdana Menteri. Siapa Tan Sri Khalid Ketua Polis Negara? Beliau juga dilantik oleh Perdana Menteri, begitu juga Tan Sri Abu Kassim. Semua mereka ini mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Perdana menteri yang menjadi subjek siasatan.

Saya ingin menarik semua kepada suatu berita yang dipaparkan oleh akhbar theSun bertarikh 7 Julai 2015 bertajuk "Cops vs MACC: Police prevented anti-graft officers from arresting sergeant suspected of corruption". Dalam laporan tersebut, pihak SPRM diketuai oleh Supt Azeem Hafiz Jamaluddin telah menyerbu Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk menangkap seorang Penolong Pegawai Penyiasat yang disyaki meminta rasuah. Apabila pasukan SPRM hendak menangkap Penolong Pegawai Penyiasat tersebut untuk membantu siasatan, mereka telah dihalang oleh beberapa pegawai polis dan kemudian difahamkan bahawa Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rusdi Mohd Isa telah membuat ugutan kepada pasukan SPRM supaya tidak menangkap pegawai polis tersebut. Laporan Polis Supt Azeem menyatakan bahawa ACP Rusdi memaklumkan kepada beliau jika SPRM menangkap pegawai polis tersebut, beliau mendapat arahan daripada Ketua Polis Selangor untuk menangkap semua pasukan SPRM tersebut.

Kejadian ini amat jelas memberikan gambaran betapa sistem penyiasatan pihak berkuasa Malaysia tidak boleh diharapkan lebih-lebih lagi melibatkan peringkat tertinggi. Jika di peringkat daerah pun sudah ada kacau ganggu sehingga ugutan, apa lagi kita hendak harap di peringkat tertinggi.

Saya boleh memberikan ruang kepada Pasukan Siasatan Khas ini untuk menjalankan siasatan tetapi saya tidak boleh menghilangkan pra-sangka bahawa mereka tidak akan kemana. Perkara ini berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini.

Kes "mata lebam" Dato' Seri Anwar adalah contoh klasik siasatan yang karut. Apabila Dato' Seri Anwar bermata lebam, Tun Mahathir mengatakan ianya perbuatan Anwar sendiri, Ditubuhkan pasukan siasatan polis, tidak ditemui siapa yang melakukan, tetapi apabila Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan, barulah ditemui bahawa ianya Rahim Noor.

Begitu juga dalam skandal Perwaja dan skandal PKFZ yang melibatkan bekas menteri. Siasatan dan akhirnya pendakwaan dilakukan, tiada siapa yang bersalah sedangkan kerugian dan pembaziran wang negara sudah berlaku.

Adakah boleh dipercayai dan diharapkan Pasukan Siasatan Khas ini? Saya tidak percaya. Saya mahukan Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan menyiasat bukan saja pemindahan wang tersebut tetapi keseluruhan skandal 1MDB.

ZULHAZMI SHARIFF
09072015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.