PAS Terenganu: Gangguan Bekalan Air Menjelang Aidil Fitri

3:39 AM 0 Comments A+ a-



Bismillah

Syarikat Air Terengganu (SATU) melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya Ir Atemin Sulong telah memaklumkan bahawa gangguan bekalan air yang bermula Mei lalu akan berterusan sehingga Aidilfitiri ini, malah dijangka menjadi kritikal. Alasan diatas gangguan ini ialah musim kemarau dan peningkatan jumlah penggunaan air disebabkan faktor pertambahan penduduk dan pusat-pusat perniagaan seperti hotel dan sebagainya. Dua langkah awal yang diambil SATU ialah mengurangkan tekanan serta membuat catuan bekalan pada jam 11 malam hingga 4 pagi. Hasil dari tindakan ini, akan menyebabkan sebahagian kawasan mengalami tekanan air yang rendah pada waktu puncak, tiada bekalan air antara 11 malam hingga 4 pagi dan kualiti air yang terjejas iaitu menjadi keruh dan kekuningan. Keseluruhan 58,000 buah rumah akan terlibat dengan masalah ini di sekitar Kuala Terengganu dan Marang.

Yang agak menarik perhatian saya ialah, kenyataan bahawa masalah air berpunca dari pertambahan bilangan perumahan dan juga premis perniagaan seperti hotel di kawasa-kawasan yang terbabit, menimbulkan tanda tanya yang agak besar dalam benak fikiran saya. Kita tidak menolak jika sekiranya gangguan bekalan ini adalah kerana kerja-kerja penyelenggaraan. Tetapi jika pertambahan penduduk dijadikan alasan, apakah pembinaan taman-taman perumahan dan premis-premis perniagaan ini tidak ada dalam pengetahuan exco infrastruktur misalnya akan permohonannya? Sudah tentu di Majlis Bandaraya atau di setiap Majlis Daerah akan ada unit perancang Bandar yang memantau keperluan atau merancang keperluan penduduk samada keperluan mendesak atau keperluan masa hadapan. Adakah mereka gagal untuk merancang? Permohonan kepada bekalan air juga seharusnya boleh dijadikan aras tanda peningkatan penggunaan ini. Dan paling menjadi persoalan, adakah hotel-hotel itu mendapat bekalan yang cukup dan rakyat biasa pula dicatu bekalannya?

Saya secara keseluruhan tidak mahu menyalahkan sesiapa atas kesulitan ini jika kemarau menjadi puncanya. Akan tetapi beberapa perkara yang bermain dalam pemikiran saya ialah, negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang mempunyai bekalan air yang besar dengan adanya sumber air yang cukup seperti Tasik Kenyir. Dan dengan projek Kenyir 2 yang sedang dilaksanakan, adakah sebegitu teruk kemarau yang melanda Terengganu sekarang? Dan jika sekiranya kemarau yang teruk benar-benar berlaku, mengapa hanya daerah Kuala Terengganu dan Marang serta beberapa kawasan terpilih di dalam kedua-dua daerah ini sahaja yang mengalami gangguan dan akan dicatu? Saya tidak nampak lojiknya di sini. Yang saya bimbangi ialah, sekiranya kemarau hanyalah dijadikan sebagai topeng bagi menutup kelemahan pengurusan air negeri Terengganu ini sedangkan dengan bajet sebanyak 2 billion saban tahun diluluskan oleh kerajaan negeri yang katanya bagi kemudahan rakyat, kelihatan tidak ada gunanya bagi menjaga kemudahan paling asas kepada rakyat ini. Dan saya juga berharap agar alasan ini bukan kerana Terengganu malu kepada Selangor dan Kelantan yang pernah dihina dan diejek kerana masalah bekalan air mereka.

Saya percaya rakyat akan melalui kepayahan di aidilfitri nanti. Dengan sanak saudara berkumpul, air pula kurang, malah dikatakan akan menjadi kuning dan keruh, saya percaya aidilfitri bagi 58,000 penduduk di sekitar daerah Marang dan Kuala Terengganu akan hilang keceriaannya diatas masalah yang bukan dicipta oleh rakyat. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
20 Ramadhan 1436 bersamaan 7 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.