Zahid Jangan Nafi Hak Rakyat - Fahmi Fadzil

10:54 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

ZAHID JANGAN NAFI HAK RAKYAT

Saya terkejut membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi yang berkata beliau tidak mahu demonstrasi lagi selepas ini, terutama demonstrasi baju kuning dan baju merah.


Walaupun kenyataan beliau berniat untuk mengelakkan pihak-pihak seperti sekelompok ekstremis “baju merah” dari mengganggu ketenteraman awam, namun ia sebenarnya melanggar Perkara 10, Fasal 1 (b) Perlembagaan Persekutuan yang berkata bahawa:

“semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata;”

Kenyataan beliau juga tidak serasi dengan matlamat Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti termaktub di dalam Perkara 2 akta tersebut:

“…bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan, secara aman dan tidak bersenjata;”

Oleh itu, tidak adil dan tidak wajar bagi DS Zahid menafikan hak mana-mana rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Pada masa yang sama, DS Zahid tidak patut menyamakan perhimpunan Bersih 4 - yang menggesa reformasi pilihanraya dan menggesa DS Najib untuk berundur kerana isu dakwaan rasuah - dengan himpunan “baju merah” yang mempunyai kelompok ekstremis yang sengaja menggunakan perkataan-perkataan perkauman untuk menimbulkan ketegangan.

Perhimpunan Bersih 4 selamat dan tidak menyebabkan apa-apa kecederaan atau kerosakan harta benda awam, malah pihak FRU juga tidak perlu dikerahkan. Ini jauh berbeza apabila dibandingkan dengan himpunan “baju merah” di mana sekelompok ekstremis “baju merah” telah dengan sengaja melanggar arahan polis yang melarang mereka dari memasuki kawasan Petaling Street, sehingga pihak FRU dan trak meriam air terpaksa digunakan. Hingga ke hari ini, belum ada berita mengenai mereka yang bertanggungjawab menceroboh masuk ke Petaling Street ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah.

DS Zahid sewajarnya bersikap lebih jujur dan adil dalam isu ini. Beliau tidak patut menafikan hak seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun dengan aman hanya kerana penganjur himpunan “baju merah” gagal mengawal keadaan, terutama di kawasan Petaling Street.

Tetapi jika beliau mahu mengelakkan perhimpunan aman seperti Bersih 4 dari berlaku lagi, saya cadang beliau dan pimpinan kerajaan segera melaksanakan reformasi seperti yang dituntut kumpulan tersebut, demi Malaysia yang lebih baik.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi merangkap Naib Ketua AMK

27 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.