20 cawangan UMNO di bahagian tersebut berdiri dalam sepakat menggesa Presiden UMNO meletak jawatan rentetan kelemahan kerajaan menangani isu 1MDB

12:09 PM 0 Comments A+ a-



Assalamualaikum dan selamat pagi.

Alhamdulillah, sinar harapan semakin terang menguis mendung hitam yang menyelubungi hati rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli UMNO yang faham erti sebenar perjuangan parti.


Saya ingin mengajak anda melihat kepada perkembangan penting yang berlaku 2 hari lalu di UMNO Bahagian Sepang, Selangor.

20 cawangan UMNO di bahagian tersebut berdiri dalam sepakat menggesa Presiden UMNO meletak jawatan rentetan kelemahan kerajaan menangani isu 1MDB, kelemahan ekonomi, kemelut nilai Ringgit Malaysia, kenaikan harga barang dan perkhidmatan, pelaksanaan GST dan isu-isu lain yang menghantui pentadbiran Perdana Menteri Malaysia.

Saya dapat merasakan semangat dan kesedaran ahli UMNO seluruh negara semakin membahang.

Tekanan amaran tindakan disiplin yang dikenakan terhadap 13 cawangan di Bahagian Teluk Kemang baru-baru ini nampaknya langsung tidak memberi kesan terhadap ahli-ahli UMNO yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan individu atau mana-mana pemimpin.

Mereka dengan tegas menyatakan kesediaan untuk berhadapan dengan apa saja bentuk tindakan dari kepimpinan parti.

Semangat yang ditunjukkan oleh 13 cawangan di Teluk Kemang dan 20 cawangan di Sepang menjadi indikasi signifikan terhadap semangat kecintaan tulin pada roh perjuangan UMNO.

Secara peribadi, saya terharu dan mengucapkan tahniah kepada semua cawangan terlibat kerana berani berdiri menungkah arus dalam menyatakan kebenaran. Mereka peka dengan kesulitan dan keperitan Rakyat. Inilah nilai teras pembentukan UMNO yang telah mula terhakis dek kerana kuasa dan ketamakan sehingga mengabaikan permasalahan rakyat dan ahli UMNO khususnya.

Saya yakin, roh UMNO masih hidup dikalangan sebahagian besar ahli UMNO. Ianya akan terus menghantui pemimpin-pemimpin lemah dan dihimpit isu-isu yang menjadi liabiliti terhadap kelangsungan UMNO.

Teruskan roh perjuangan UMNO demi Agama, Bangsa dan Tanah air dan kelansungan anak cucu kita. Jangan gadaikan masa depan mereka kerana kita takut berjuang untuk kebenaran.

Saya menyeru lebih ramai ahli UMNO terus bersuara. Jangan dipendam terlalu lama kebimbangan dan ketakutan anda berkaitan masa depan UMNO.

Bersuaralah jika mahu UMNO diwariskan kepada generasi akan datang.Jangan biarkan UMNO berkubur kerana sikap dan kealpaan kita dalam berjuang demi kebenaran.

Menjaga parti tidak bermaksud ahli perlu menutup kesilapan pemimpin. Itu penganiayaan terhadap parti kerana parti milik semua ahli.

Tiada seorangpun ahli UMNO yang kedudukannya lebih tinggi dari parti.

Anda akan kuat apabila anda berani. Tiada apa yang mampu membinasakan melainkan hanya dengan kuasa Allah swt.

Jika ini bakti terakhir untuk negara yang mampu anda taburkan, maka berdirilah. Bersuaralah dengan memegang pada janji Allah bahawa yang benar pasti akan mencapai kejayaan.

Anina Saadudin


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.