Adakan referendum putuskan TPPA – Faiz Fadzil

4:30 PM 0 Comments A+ a-



Adakan referendum putuskan TPPA – Faiz Fadzil

Kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke negara disambut dengan perhimpunan aman pelbagai segmen rakyat, termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan kerajaan Malaysia untuk menandatangani Trans-Pasific Partnership Agreement (TPPA).

Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap TPPA berkaitan kehilangan kedaulatan Perlembagaan dan undang-undang negara ini adalah di bawah TPPA, sebarang pertikaian antara kerajaan dan syarikat asing terlibat akan dibicarakan di tribunal antarabangsa yang dikenali Investor-State Dispute Settlement(ISDS), di mana undang-undang antarabangsa yang akan mengatasi undang-undang dan bidangkuasa mahkamah negara.

Sudah banyak 'precedent' kes yang dibawa ke tribunal ISDS dan antaranya adalah kes Chevron terhadap Ecuador di mana keputusan mahkamah Ecuador mendenda Chevron di atas kesalahan undang-undang alam sekitar dicabar di tribunal tersebut.

Keperitan hidup rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan harga barang akan bertambah derita di mana harga barangan yang diimport akan meningkat, terutamnya ubat-ubatan.

Ini kerana penggunaan ubat generik selama ini pasti akan terhenti di mana rakyat perlu menggunakan ubat asli (patented) yang diimport dari AS.

Kehilangan pekerjaan juga satu lagi risiko besar kerana dibimbangi syarikat asing terlibat lebih cenderung mengupah pekerja asing yang pasti akan memberikan kesan buruk kepada sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Golongan khidmat profesional tempatan seperti peguam dan arkitek juga akan terkesan apabila terpaksa bersaing dengan profesional luar dalam pasaran terbuka ini.

Sesungguhnya TPPA adalah 'gateway' kepada penjajahan baru negara ini.

Penjajahan kolonial Inggeris di Perak bermula dengan Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang membuka pintu kepada Inggeris menguasai ekonomi dan pentadbiran negeri Perak.

Adakah rakyat negara ini rela dijajah sekali lagi melalui modus operadi yang seakan sama? Irama dasar penjajahan 'gold, glory and gospel' akan dimainkan semula.

Adakah parlimen mampu memainkan perananannya sebagai periksa dan imbang polisi kerajaan menyekat hasrat kerajaan untuk melaksanakan TPPA?

Rekod menunjukkan ahli Parlimen kerajaan akan menyokong penuh polisi kerajaan, manakala mutakhir ini, pembangkang pula tidak mempunyai kata putus yang satu.

Hasrat menolak bajet 2016 baru-baru ini menyaksikan terdapat ahli Parlimen yang mengambil pendirian untuk menasihat bertindak untuk berkecuali ketika proses pengundian.

Oleh itu, semuanya terletak di tangan rakyat sendiri.

Rakyat perlu sedar kesan jangka panjang terutama masa depan negara yang berada dalam keadaan 'at stake' jika TPPA diteruskan pelaksanaannya.

Rakyat perlu bersatu hati dan suara untuk menolak TPPA.

Satu referendum suara rakyat perlu diadakan kerajaan kerana kesan langsung dan tidak langsung TPPA adalah ke atas rakyat.

Usahlah digunakan kuasa di legislatif dan eksekutif bagi tujuan legitimasi perjanjian yang menguntungkan kuasa imperialis tetapi menjerut kehidupan dan kebebasan rakyat yang merdeka. – 22 November, 2015.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.