Anak muda Malaysia semakin terpinggir – Faiz Fadzil
Anak muda Malaysia semakin terpinggir – Faiz Fadzil
Nasib anak muda zaman ini semakin mencabar kerana sering terpalit dengan aktiviti kurang sihat dan kesempitan hidup.
Malah lebih teruk, mereka kini diheret ke dalam masalah jenayah dan kewangan yang kronik. Kes-kes jenayah seperti mencuri, penyalahgunaan dadah dan jenayah kolar putih di kalangan anak muda makin meningkat, begitu juga kes-kes kebankrapan.
Krisis ekonomi boleh menyebabkan peningkatan kadar faedah BLR yang pasti menambah beban ekonomi rakyat.
Masalah-masalah yang melanda anak muda hari ini tidak dapat dinafikan berkait rapat dengan krisis ekonomi. Peningkatan harga barang, harga rumah serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menambah beban kepada pengurusan kewangan diri akibat perbelanjaan mengatasi pendapatan.
Lagi membimbangkan keadaan kemelesetan ekonomi negara kini menambahkan jumlah pengangguran di kalangan anak muda termasuk yang bergelar graduan.
Perceraian juga kini umpama kudis yang aktif merebak disebabkan oleh krisis ekonomi. Yang akan menjadi mangsa adalah anak-anak kecil yang kehilangan perhatian dan kasih sayang.
Lebih malang lagi apabila perbelanjaan perkahwinan semakin meningkat yang menghalang perkahwinan di kalangan anak muda yang boleh mendorong kepada berlakunya perkara-perkara tidak bermoral.
Anak muda harus dibantu. Pulihkan ekonomi negara, wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan turunkan harga barang dan rumah. Seharusnya sumbangan orang ramai untuk badan-badan seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan pejabat zakat diuruskan dengan amanah dan integriti bagi membantu meningkatkan ekonomi anak muda.
Skandal-skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Yapeim, NFC, rasuah terutama derma RM2.6 bilion mendedahkan anak muda kepada pengurusan ekonomi yang kotor dan korup. Kegagalan mempertahankan aset negara seperti penjualan saham Edra kepada syarikat milik asing menghakis semangat patriotik pentadbiran Putrajaya.
Kepimpinan melalui teladan tidak lagi diamalkan. Wawasan 2020 akan hanya tinggal slogan jika kemakmuran gagal dinikmati rakyat. Negara-negara mundur di dunia ini menyaksikan amalan rasuah yang menjadi tabiat halal di kalangan rakyat.
Jika ekonomi dan integriti pentadbiran negara tidak dipulihkan, anak muda negara ini dibimbangi tidak mampu berdaya saing yang akhirnya meminggirkan mereka daripada arus pembangunan negara. Pembentukan masyarakat madani negara ini mampu dibina jika perubahan total pengurusan dan sistem pentadbiran negara diubah. – 28 November, 2015.
Sila kongsi artikel ini...