PAS terus istiqamah di atas prinsip syariat - Tuan Ibrahim Tuan Man

10:05 PM 0 Comments A+ a-



PAS terus istiqamah di atas prinsip syariat

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang mendahulukan pendekatan dakwah, tarbiah dan siasah akan terus mengajak umat Islam khasnya dan rakyat negara ini kepada suatu pembinaan sebuah negara sejahtera, maju dan berjaya dengan Islam sebagai dasar.

Sebagai sebuah gerakan dakwah, PAS sentiasa mengajak agar kembali kepada dasar dan prinsip syarak yang berpaksi kepada apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al Quran.

Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُإِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an Nisa : 52)

Inilah slogan PAS sejak ditubuhkan dan ia bukanlah asing bagi sesiapa yang memahami dasar dan perjuangan PAS.

Umno menjadi musuh tradisi PAS adalah kerana prinsip syarak bukan kerana nama atau diri ahli Umno. Apa ruginya bangsa dan negara andai kita kembali kepada dasar syariat yang diturunkan oleh Allah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia.

Umno mempunyai tanggungjawab aqidah dan syariat di atas pundaknya kerana ia diberi amanah dan kekuasaan pemerintahan. Amanah ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

PAS, sebagai parti pembangkang, akan tetap dengan dasarnya mengajak manusia dan mendesak mereka yang berkuasa untuk kembali kepada sistem yang diturunkan oleh Allah. Kita tidak akan jemu mengajak, mendesak dan menyeru Umno agar meninggalkan dasar nasionalisme yang menjadi asas perjuangan mereka.

Malangnya, akibat perbezaan dasar ini, PAS dan ahli PAS terus menerima tekanan dan penindasan, terutamanya di tangan Umno. Ribuan kakitangan awam yang menderita ditukar dan dikenakan pelbagai tindakan kerana mereka menyokong PAS. Kelantan terus menderita dan ditindas dengan teruk sejak Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan di 1990. Sistem federalisme langsung diperkosa dan tidak dipraktik secara adil.

Meskipun begitu, sebagaimana yang diajar Islam, setiap orang diberi ruang bertaubat. Sejarah perjuangan PAS membuktikan PAS sanggup melupakan sejarah silam andainya mereka sedia menerima dasar Islam yang di bawa oleh PAS.

Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi arkitek menumbangkan PAS di Kelantan diterima sebagai rakan politik PAS semasa beliau menerajui Semangat 46.

Demikian juga, Dato Seri Anwar Ibrahim yang hebat bertembung dengan PAS sewaktu bersama Umno diterima sebagai rakan sepasukan apabila menubuhkan PKR dalam Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat.

Bahkan, DAP yang sangat sukar diterima di kalangan pengundi Melayu, mendapat keuntungan politik bilamana PAS menerima mereka sebagai rakan politik sebelum ini meskipun bukan mudah bagi PAS menghadapi suasana tersebut di mana PAS dituduh menjadi barua DAP, kuda tunggangan dan pengkhianat Melayu. Bahkan lebih jauh dari itu, Dato Onn Jaafar yang mengasaskan Umno diterima sebagai sekutu PAS bersama Parti Negara. Inilah semua menjadi sejarah panjang perjuangan PAS.

Sebagai sebuah gerakan Islam, matlamat PAS ialah menyelamatkan manusia dan negara dari kerosakan.

Kenyataan Presiden Umno di Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini agar PAS bersama Umno membina negara berteraskan syariat, hampir menyamai perisytiharan Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dulu bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam ketika PAS memperjuangkan sebuah negara Islam di bawah Almarhum Ustaz Fadhil Noor dilihat sebagai ancaman besar kepada kerusi Umno.

Kini, oleh kerana perjuangan PAS memberi fokus kepada syariat, maka Perdana Menteri tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat tatkala beliau terus lemas di dalam jawapan-jawapan yang semakin mengelirukan mengenai penderma RM2.6 bilion di akaun peribadi beliau samada daripada penderma, para penderma atau wakil-wakil penderma.

PAS tidak akan bersekongkol 'memikul biawak hidup' sebagaimana yang diucapkan oleh Presiden PAS. PAS akan terus mendesak dan memperjuangkan agar syariat diperkukuhkan kerana itu antara tanggungjawab dan amanah PAS sebagai gerakan Islam kepada negara dan juga rakyat.

Negara perlu diselamatkan dari rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, salah urus tadbir dan politik wang yang kini subur dan menjadi ciri-ciri ‘terkenal’ dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui Umno yang mengamalkan dasar yang bercanggah dari tuntutan syariat.

Antara keadilan Islam pertama yang perlu dihayati Umno ialah keperluannya untuk berlaku adil dan menghentikan kezaliman kepada musuh-musuh politiknya. Ini termasuklah membayar royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan berhenti menzalimi rakyat Kelantan dengan meneruskan projek Lebuhraya Pantai Timur sehingga sampai ke Kota Bharu atas dasar keadilan syariat Islam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
12 Disember 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.