'Conflict of Interest' Dalam PDRM - Dato' Sri Sanjeevan R
“CONFLICT OF INTEREST” DALAM PDRM
Isu anggota polis berjauhan dengan keluarga sudah menjadi asam garam dalam kerjaya sebagai anggota beruniform. Walaubagaimanapun perkara ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak cuba diselesaikan oleh KDN dan pimpinan tinggi PDRM.
MyWatch difahamkan terdapat anggota polis yang sudah tinggal berjauhan dengan keluarga mereka lebih 5 tahun tetapi masih gagal bertukar tempat bertugas seperti yang diminta. Bayangkan bagaimana perasaan anggota polis yang ditukarkan ke ESSCOM di Sabah sedangkan isteri dan anak terpaksa ditinggalkan di Kedah.
Tahun demi tahun berlalu dan pelbagai karenah birokrasi ditempuh namun masih gagal mendapat tempat pertukaran seperti yang diminta. Tetapi yang peliknya, dalam keadaan anggota polis sukar memohon pertukaran tempat bertugas, terdapat sepasang suami isteri dan dua anak-beranak iaitu bapa dan anak berjaya ditempatkan di pejabat yang sama iaitu di Trafik Kuala Lumpur.
Ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan anggota polis yang lain yang mana permohonan pertukaran mereka sering gagal. MyWatch menyokong sekiranya anggota yang sudah sekian lama berkhidmat di sesuatu tempat diberikan pilihan untuk berkhidmat di tempat yang mereka mohon. Tetapi tidak dibenarkan mana-mana anggota polis bertugas sama pejabat dengan ahli keluarga mereka yang lain.
“Conflict of interest”pasti akan wujud dalam keadaan seperti ini. Bayangkan jika suami atau bapa seorang pegawai tinggi polis, sudah tentu akan ada kecenderungan lebih untuk memilih isteri atau anak dalam kenaikan pangkat, “bias” dalam pembahagian tugas, dan seterusnya mendatangkan ketidakpuasan hati kepada anggota polis yang lain.
Oleh yang demikian, perlu diwujudkan pekeliling oleh PDRM supaya tidak dibenarkan dua individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan bertugas di pejabat yang sama.
"Fight Injustice Everywhere"
Dato' Sri Sanjeevan R
Pengerusi MyWatch
Sila kongsi artikel ini...