Mengakhiri 2015 yang bercelaru dan menghadapi 2016 yang suram - Tuan Ibrahim Tuan Man

2:19 PM 0 Comments A+ a-



Mengakhiri 2015 yang bercelaru dan menghadapi 2016 yang suram

Seorang ibu tua menghampiri saya dan terus menangis mengadu anaknya di Mesir menulis surat meminta wang belanja. Ke mana ia mahu mencari untuk anaknya.

Getah tak sampai RM2.00 sekilo. Terpaksa pula berkongsi dengan tuan kebun. Berapa ringgit yang dapat sebulan? Atas itulah beras, gula, susu, tepung, bil eletrik dan air, sewa rumah dan belanja anak ke sekolah perlu dibahagikan.

"Tolonglah," berulang kali ibu tua ini meluahkan rasa sedih dengan keadaan yang berlaku.

Ibu tua bukan keseorangan. Ramai lagi yang serang merana.

Seorang pakcik yang baru balik umrah diterpa oleh sahabat di kedai dengan soalan sama, " Hang tak jumpa ke saudagar Arab tu, boleh mintak sikit buat beli baju sekolah anak?" Meskipun ia dalam keadaan jenaka, tapi ia menonjolkan keperitan rakyat bawahan.

Ini realiti di kampung selepas GST dilaksanakan, penarikan balik pelbagai subsidi dan kejatuhan nilai Ringgit. Kos hidup kini membebankan rakyat bawahan.

Bagi peneroka, saham Felda kini sudah jadi bebanan bagi peneroka. Harga sawit dan getah tidak naik-naik. Dan pembelajaan persekolahan anak-anak semakin mahal. Anak-anak terus meminta wang belanja persekolahan.

Kita sedang melangkah masuk menghadapi tahun 2016 tanpa secebis harapan dan sinar mentari kegembiraan.

Negara melangkah ke tahun baru dalam suasana penuh suram. Tiada sesuatu yang dapat dibanggakan atau memberi harapan perubahan kepada rakyat samada ekonomi, politik, dan sosio budaya.

Kemelut ekonomi yang menghimpit rakyat akan terus digendong ke tahun baru dengan kerajaan yang terus mengambil sikap "tidak apa".

Namun kita terpaksa hadapi jua.

Akhir tahun yang biasanya ada berita gembira bonus kepada kakitangan kerajaan, kini senyap sepi. Tiada pihak samada kerajaan atau swasta yang ingin menceriakan keadaan. Kebanyakan melaporkan pengurangan hasil. Sebaliknya berita ribuan pekerja yang dibuang menjadi memori duka rakyat. Seloka Pak Menteri hanya menambah kemarahan.

Peningkatan kos hidup hasil kegagalan pemerintah manfaatkan kekayaan negara untuk mengubah nasib rakyat. Kos pengangkutan yang sepatutnya semakin murah menjadi semakin mahal. Rumah semakin tidak mampu dimiliki. Harga kenderaan juga meningkat. Hutang seisi rumah semakin sarat dan dijangka menghampiri 90% di 2016. Segala subsidi yang ditarik balik tidak digunakan untuk manfaat rakyat. Yang dicipta ialah bebanan baru bernama 1MDB serta hutang negara yang mencecah lebih RM700 billion. Dalam keadaan ini, dipercayai kerajaan tidak akan mengendahkan pandangan dan bantahan rakyat termasuklah TPPA.

2015 akan ditinggalkan dengan kecelaruan parti-parti politik. Semua menzahirkan masalah dalaman dan berkecamuk.

Umno yang menerajui negara kini bukan lagi menjadi parti pergantungan orang Melayu kecuali yang di hujung kampung terus memancing menggunakan bantuan BRIM. Rakyat cemuh dengan lagak sombong pemimpin apabila berbicara soal rakyat.

Hala tuju negara semakin kabur dan hilang daya saing dengan negara jiran yang terus bergerak ke hadapan. Jauh lagi penjalanan untuk melihat pemulihan nilai Ringgit.

Wawasan 2020 yang hanya tinggal 4 tahun kini semakin mustahil dapat dicapai.

Kerajaan tidak perlu bermain dengan angka dan data yang boleh dimanipulasikan. Hakikatnya, rakyat marhaen tidak berhajat kepada data yang sering dikeluarkan kerajaan. Yang mereka tahu dan rasa harga barangan semakin mahal. Duit ringgit yang ada di tangan semakin kurang sehingga terpaksa berhutang.

Sayang wang derma saudagar Arab langsung tidak tiris kepada rakyat. Ia mungkin kekal dalam simpanan penama sahaja.

Ke mana hidup mereka?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
31 Disember 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.