Berbaloikah Perdebatan Azmihan-Asri - Mujahid Yusof

9:54 PM 1 Comments A+ a-



BERBALOIKAH PERDEBATAN ZAMIHAN-ASRI?

Saya meneliti perkembangan balas membalas Ustaz Zamihan Mat Zian dan Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin sehingga membawa kepada satu tarikh perdebatan secara bersemuka yang hingga kini belum mencapai persetujuan antara kedua-dua belah pihak.

Pada mulanya saya tidak berminat untuk memberi pandangan kerana menganggap ini suasana keterbukaan ilmu yang saya perjuangkan selama ini, namun setelah melihat beberapa situasi dalam polemik ini saya berasa terpanggil untuk memberi posisi saya kepada perkembangan debat Zamihan lwn Asri.

1. Keduanya perlu bertanya dengan jujur apakah hasil perdebatan ini membawa sesuatu yang produktif kepada suasana menyeluruh umat Islam hari ini dari sudut sosial, ekonomi dan politik khususnya di Malaysia? Bukankah lebih utama didebatkan kebejatan kepimpinan negara dari kalangan orang Islam yang terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilon ringgit serta tadbir urus kewangan yang culas dan curang lantas mengkhianati amanah umat?

2. Adakah mana-mana pihak beranggapan mereka ada jawapan kepada perdebatan ilmu teologi yang sejak zaman berzaman ulama silam tidak menemukan penyelesaian? Ia bukan masalah mencari jawapan hitam-putih kepada cabangan masalah yang timbul tetapi melihat ia adalah perbezaan pandangan dalam lingkungan disiplin ilmu yang tidak boleh kita labelkan sebagai sesat atau menyeleweng. Jadi apa gunanya berdebat pada isu cabang yang sememangnya secara lumrahnya pasti akan terdedah kepada pelbagai perspektif dan penilaian sedangkan sejak dari mula lagi ia dizinkan oleh syariat kita.

3. Saya khuatir akan niat sesetengah pihak yang akan menghantar mesej yang silap apabila berusaha untuk memaksa hanya satu pandangan sahaja ke atas umat sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam sehingga membawa kepada kejumudan dan pembekuan perkembangan intelektual. Adakah mana-mana pihak mahu ambil kesempatan untuk tujuan tersebut? Jikalau ada, kesannya kepada umat Islam Malaysia khususnya akan mengalami zaman kejumudan yang sama dan itu adalah perkara terakhir yang kita mahu lihat berlaku kepada umat Islam Malaysia.

4. Akhirnya tujuan debat untuk menang dalam perkara yang pada asalnya bukan keluar dari persoalan garis aqidah tidak akan membawa ke mana-mana. Menggunalan istilah ASWJ (Ahli Sunnah Wal Jamaah) untuk berlindung atas kebenaran adalah sesuatu yang dikesali kerana istilah ASWJ pada asalnya adalah pengkategorian utama kepada perincian permasalahan bagi membezakan antara pegangan Syiah dan lain-lain dengan fahaman asal ajaran Nabi Muhammad iaitu Sunnah, khususnya dalam bab Imamah dan kemudiannya berkembang kepada permasalahan aqidah dan fiqah. Ia bukan pengkategorian yang digunakan antara pandangan berbeza sesama ASWJ.

Saya suka kepada keterbukaan dan perbezaan pandangan namun saya juga perlu mengambil kira perdebatan ini berbanding dengan maslahat besar lain yang sepatutnya menjadi keutamaan para ulama kita hari ini termasuk Ustaz Zamihan dan Dr Asri.

Sekian

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti Amanah Negara

Bertarikh 9 Februari 2016


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.