Tolak Bajet Anti Rakyat, Bentang Bajet Baru Pro Rakyat - Mahfuz Omar

7:57 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

TOLAK BAJET ANTI RAKYAT, BENTANG BAJET BARU PRO RAKYAT.

1. Menolak Bajet 2016 tidak akan mendatang masalah yang rumit kepada negara dan rakyat. Tetapi ia mendatangkan masalah imej buruk kepada kepimpinan Najib dan parti BN yang memerintah. Bajet yang bersifat anti rakyat wajar ditolak untuk membolehkan satu bajet baru yang pro rakyat dan negara dibentang semula bagi melancarkan pengurusan kewangan negara yang tidak membebankan hidup rakyat.


2. Salah faham kononnya jika Bajet 2016 ditolak akan menyebabkan negara tidak boleh berbelanja dan kakitangan kerajaan tidak mendapat gaji adalah suatu yang salah. Menolak bajet perlu dilihat bahawa suatu bajet yang lebih baik diperlukan. Menolak bajet bermakna suatu bajet baru perlu dibentangkan semula.

3. Sejarah membuktikan bagaimana Bajet tahun 2000 dibentang dua kali pada tahun 1999 dan tahun 2000. Kali pertama bajet tahun 2000 dibentang pada 29 Oktober 1999 oleh Menteri Kewangan, Tun Daim. Belum pun sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, parlimen telah dibubarkan pada 11 November 1999 pada waktu Parlimen sedang membahaskan bajet tersebut.

4. Selepas PRU ke 10, Mesyuarat Pertama Parlimen ke 10 berlangsung pada 20-23 Disember 1999 selama 4 hari. Selepas upacara angkat sumpah, suatu peruntukan perbelanjaan untuk 2 bulan pertama tahun 2000 dibentang,dibahas dan diluluskan. Bajet baru tahun 2000 hanya dibentangkan pada 25 Februari 2000.

5. Tiada masalah untuk pengurusan negara berjalan lancar dengan kakitangan kerajaan terus mendapat gaji bulanan seperti biasa. Menolak Bajet 2016 sama dengan Bajet 2000 yang tidak diluluskan kerana parlimen dibubar. Yang membezakan keduanya ialah menolak Bajet 2016 bererti menolak kepimpinan Najib dan anggota kabinet yang ada.

6. Apa yang perlu dilakukan ialah jika Najib meletakkan jawatan satu pembentukan kabinet baru dan membentang bajet baru untuk rakyat dengan mengambil kaedah sepertimana yang berlaku kepada bajet tahun 2000. Jika Najib enggan meletakkan jawatan beliau hendaklah bentang dan luluskan peruntukan untuk 2 bulan pertama 2016 kemudian bulan Feb 2016 membentang bajet baru 2016. Jika Najib terus berdegil dia boleh mohon perkenan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sepertimana yang berlaku pada parlimen ke 9. Begitu lah seterusnya.

7. Oleh itu, saya mengharapkan tiada salah faham dalam isu menolak Bajet 2016. Kakitangan kerajaan usah bimbang tentang kononnya mereka tidak akan menerima gaji jika Bajet 2016 tidak diluluskan. Soal undian penolakan bajet akan mendapat undi majoriti atau tidak, bergantung kepada keinsafan setiap ahli Parlimen untuk membawa kehidupan yang benar-benar meringankan beban hidup rakyat.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
8 November 2015/25 Muharam 1437H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.