Kenyataan PAPISMA : Isu Juruwarawat Dipecat Kerana Pakai Baju Tutup Aurat
KENYATAAN MEDIA PAPISMA MALAYSIA, ISU: JURURAWAT DIPECAT KERANA PAKAI BAJU TUTUP AURAT
1. Saya agak terkejut dengan pendedahan yang telah dilakukan oleh seorang jururawat muslim yang telah dipecat dari sebuah premis hospital swasta kerana isu aurat yang dipertikai oleh beliau. Malaysia, sebagai sebuah negara yang meletakkan Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan, maka sewajarnya organisasi-organisasi kesihatan menghormati hak pekerja-pekerja muslim.
Saya menggesa pihak berwajib agama seperti JAKIM dan seumpamanya mengambil langkah wajar dan proaktif bagi menangani isu-isu yang melibatkan amalan beragama seperti ini.
2. Saya merasakan tindakan pemecatan ke atas Naziah Sauni Samat adalah tidak wajar, sekiranya kesalahan disiplin tidak hadir bekerja beberapa hari itu boleh dijadikan alasan untuk memecat beliau. Adakah ini salah satu dari kaedah pemecatan yang diamalkan oleh hospital berkenaan? Adakah ianya mengikut Akta Kerja 1955 dengan mensyarat notis masa perberhentian mengikut tempoh perkhidmatan pekerja yang sepatutnya tercatat didalam kontrak kerja? Atau adakah kontrak kerja tidak mengikuti yang sepenuhnya seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955?
3. Isu sebenar yang beliau kemukakan adalah pemakaian profesion jururawat seperti beliau tidak mengikut lunas Islam. Beliau berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak majikan dengan memotong lengan baju dan memakai stokin lengan bagi menutupi aurat yang terdedah. Namun pihak hospital tersebut beralasan bahawa memakai baju lengan panjang boleh meningkatkan infeksi kuman kepada pesakit dan memudahkan kerja.
4. Saya memuji langkah Kementerian Kesihatan Malaysia yang memulakan program Hospital Mesra Ibadah (HMI) bermula awal tahun ini secara rasminya oleh Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia). HMI ini adalah satu konsep yang syumul bagi menjaga kepentingan perawat dan pesakit dalam terus melakukan ibadah seoptima mungkin. Antara elemen yang perlu dijaga adalah aurat perawat, aurat pesakit, batasan aurat perawat dan pesakit/waris. Saya yakin bahawa kesemua jururawat beragama Islam premis KKM memakai baju berlengan panjang. Justeru, tidak timbul isu jangkitan silang kuman akibat dari pemakaian baju yang berlengan panjang. Malah kualiti kerja tetap mantap tanpa melihat kepada panjang atau pendek kod pemakaian baju.
5. Saya menggesa pihak yang berwajib mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu ini. Saya mengucapkan takziah dan semoga bersabar kepada Naziah Sauni Samat atas ujian ini. Saya juga mengharapkan jururawat yang terbabit dibela kerana pemecatan tersebut telah mencarik maruah seorang wanita muslimah. Saya akan menyokong sebarang usaha dari pelbagai pihak yang mempertahankan isu ini bagi membela kredibiliti sebuah profesion jururawat muslim.
Dr Hj Awisul Islah Ghazali
Presiden
Papisma Malaysia
Sila kongsi artikel ini...