Tambak Laut: Wajar Dibatalkan, Cari Alternatif Lain untuk Biaya Pelan Induk Pengangkutan - Ir. Khairil Nizam

10:55 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

16 Januari 2016 | 6 Rabi’ul Akhir 1437 H

TAMBAK LAUT : WAJAR DIBATALKAN, CARI ALTERNATIF LAIN UNTUK BIAYA PELAN INDUK PENGANGKUTAN

1. DPPM memandang serius kenyataan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan aktiviti penambakan laut untuk membiayai kos projek dibawah Pelan Induk Pengangkutan (P.I.P) negeri yang berjumlah RM27 bilion.

2. Kenyataan tersebut menyatakan bahawa projek penambakan laut sekarang dan projek yang telah diluluskan di zaman Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang akan diteruskan semata-mata untuk menjana pendapatan atau sumber kewangan bagi menampung kos pembiayaan P.I.P. yang memerlukan perbelanjaan yang besar tanpa mahu mencari sumber pendapatan alternatif yang lain. DPPM berpendapat Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya mencari kaedah alternatif bagi menambah pendapatan untuk menampung kos projek P.I.P. tersebut.

3. Apa yang dikhuatiri ialah kesan penambakan laut itu akan mendatangkan mudarat atau wujud kesan sampingan seperti ketidakseimbangan ekosistem yang akan mengakibatkan kemusnahan habitat hidupan laut justeru bakal menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai. Tindakan para nelayan mendesak agar projek tersebut dibatalkan adalah amat wajar sekali.

4. DPPM berpendapat sepatutnya Kerajaan Negeri memajukan kawasan-kawasan seperti di Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan seperti Pantai Acheh, Balik Pulau, Teluk Bahang, Kota Kuala Muda, Penanti dan Bukit Mertajam yang dilihat agak ketinggalan dari segi pembangunan serta sosio-ekonomi berbanding timur laut Pulau Pinang dan Seberang Perai Tengah seperti Georgetown, Bayan Lepas dan Seberang Jaya.

5. Dengan memajukan kawasan-kawasan tersebut berserta dengan pelan pembangunan yang terancang dan berdaya maju dari segi ekonomi dan sosial, Kerajaan Negeri sebenarnya boleh menjana pendapatan untuk menampung kos P.I.P. tanpa perlu menambak laut demi memelihara alam sekitar serta mengekalkan ekosistem hidupan laut dan nelayan pula dapat meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa dengan pendapatan yang tidak terjejas.

6. DPPM juga khuatir terhadap projek-projek pembangunan selepas siap projek penambakan laut seperti projek Bayan Mutiara yang mana nilai setiap unit kediaman tersebut pasti tidak mampu ditanggung oleh rakyat biasa. Sepatutnya keutamaan harus diberikan kepada projek-projek perumahan mampu milik kerana ia adalah keperluan kebanyakkan rakyat pada masa ini.

7. Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar menilai semula polisi pembangunan mereka agar tidak wujud pembangunan tidak seimbang diantara bandar dan luar bandar serta menjadikan keperluan rakyat sebagai keutamaan seperti menyediakan rumah mampu milik disaat harga rumah melambung tinggi dan kos sara hidup yang meningkat. Pembangunan yang seimbang adalah sangat penting bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan dan tenggelam dalam arus pemodenan dan pembangunan yang pesat.

Sekian.

“Mempersiap Generasi Kemenangan”

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.