Gagasan Ekonomi Ummah - Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim

10:42 PM 0 Comments A+ a-



GAGASAN EKONOMI UMMAH
Oleh Tan Sri Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wr. wbth.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama di sini hari ini bagi menjayakan Konvesyen Usahawan Haraki yang bertujuan merangka strategi dan melakar hala tuju bagi para usahawan Muslim khususnya ahli-ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Terlebih dahulu, izinkan saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Lajnah Ekonomi, Pengurusan Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk turut memainkan peranan dan memberi sumbangan kecil dalam usaha memperkasakan golongan usahawan Muslim dengan membentangkan perbincangan bertajuk "Gagasan Ekonomi Ummah".

Secara umumnya, Islam menggalakkan umatnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan mencari keselesaan hidup di dunia dengan syarat tidak melanggar hukum syarak di samping menggesa mereka yang diberi nikmat kekayaan dan harta benda agar sentiasa menyantuni dan membantu meringankan beban golongan fakir miskin, mengalami kesulitan dan yang kurang bernasib baik.

Di samping pelbagai hadis yang menggambarkan betapa Rasulullah S.A.W. gusar sekiranya umatnya ditimpa kesukaran dan rintangan di dunia termasuk kemiskinan dan kefakiran, berikut antara petikan dalam al-Quran yang boleh ditafsirkan sebagai menjurus kepada perbincangan mengenai isu berkaitan ekonomi ummah:
> Ayat 7 Surah Al-Hasyar: Janganlah harta kekayaan berlegar di kalangan kamu sahaja
> Ayat 100 Surah Yunus: Allah menimpakan kemurkaan kepada orang yang tidak mempergunakan akal mereka
> Ayat 11 Surah Ar Ra'du: Allah tidak akan mengubah (nasib) sesuatu kaum sehinggalah kaum tersebut mengubah diri mereka sendiri

Jelas bahawa kesinambungan bagi agenda pembangunan dan pemerkasaan ekonomi ummah wajar menjadi salah satu matlamat utama demi memenuhi keperluan asasi masyarakat di samping mencapai peradaban dan ketamadunan Islam sejagat alaf baharu dalam erti kata yang sebenar. Apatah lagi kita tidak dapat lari daripada memastikan terlebih dahulu wujudnya dominasi kuasa dan kawalan ekonomi oleh umat Islam untuk memungkinkan penghayatan dan pelaksanaan ajaran dan tuntutan Islam hakiki.

Namun, tahap kemajuan dan kemantapan ekonomi menurut piawaian global hari ini seharusnya dicapai terlebih dahulu oleh beberapa negara yang berpopulasi majoriti Islam, sebagai pelopor dan panduan bagi negara anggota Organisation of Islamic Cooperation (OIC) yang lain.

Memandangkan dunia 2M (matawang dan materialistik) hari ini sudah menjadi lumrah, masyarakat perlu dipimpin dan dibimbing agar golongan yang berjaya dari segi sosio-ekonomi sedar bahawa harta dan kesenangan kurniaan Allah adalah amanah di mana orang lain dalam masyarakat mempunyai hak ke atasnya. Adalah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang berjaya untuk mememenuhi hak orang lain ini khususnya dalam aspek keperluan asas dan kebajikan; membantu mencapai pengagihan kekayaan saksama dalam masyarakat dan menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan ummah secara keseluruhan. Maka, keredhaan Illahi dan memenuhi hak-hak masyarakat merupakan objektif mutlak yang seharusnya cuba dicapai oleh siapa sahaja dalam apa jua keadaan dan bagi semua aspek kehidupan.

Memperakui peri pentingnya perniagaan sebagai punca rezeki utama seperti yang ditafsirkan dalam ayat 275 Surah Al-Baqarah dan beberapa hadis kukuh, maka izinkan saya mencadangkan konsep "sweat capital/equity" yakni modal/ekuiti keringat dalam "ownership interest" atau "equity participation" (pemilikan kepentingan atau penyertaan ekuiti) untuk memulakan dan membangunkan sebarang usaha niaga. Bertentangan dengan "share capital/equity" (modal/ekuiti saham), konsep ini masih terlalu asing di Malaysia dan Nusantara meskipun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah pemikiran dan filosofi ekonomi.

Mula diketengahkan oleh David Ricardo (1772-1823), idea "to each according to his contribution" terus diperhalusi oleh pemikir ekonomi era klasik dan sosialisme pra-Marxisme sehingga menjadi salah satu karakteristik yang mencirikan sosialisme hari ini. Pendek kata, gagasan modal keringat ini bersandarkan prinsip pengagihan di mana ganjaran setimpal bagi setiap individu seharusnya mencerminkan sumbangan beliau kepada "produk sosial" dalam ekonomi dalam pelbagai bentuk seperti output keseluruhan atau KDNK. Berbeza dengan kapitalisme di mana tanah (sewa), tenaga kerja (gaji), modal (kadar faedah dan keuntungan) dan keusahawanan (keuntungan) merupakan faktor pengeluaran (dan ganjaran) utama, tumpuan sosialisme Ricardian adalah "effort" yakni usaha, "labour" yakni tenaga kerja dan produktiviti.

Menyedari masalah kekurangan "monetary/financial capital" atau modal tunai/kewangan merupakan kekangan utama yang menghalang umat Islam di Malaysia dan Nusantara dari menceburi bisnes, maka saya yakin konsep modal keringat bakal menjadi penyelesaian ampuh bagi permasalahan ini. Berkait rapat dengan aspek manusiawi seperti kerajinan, kegigihan, ketekunan dan minat, modal keringat sebenarnya merangkumi perkara-perkara bukan kewangan yang boleh disumbangkan bagi memulakan, menambahbaik, mempertingkat nilai dan selanjutnya mengembangkan sesuatu bisnes seperti daya usaha, pengetahuan, kepakaran, kreativiti/idea, rangkaian (kenalan, hubungan perniagaan, dan sebagainya) dan kompetensi/keupayaan lain.

Meskipun pada asalnya sumbangan modal keringat ini dalam apa jua bentuk tidak dibayar atau diberi ganjaran seperti gaji, ia boleh dinilai mengikut kadar pasaran menggunapakai metriks bolehukur seperti "man-hours" atau "jam manusia" yakni masa, tenaga dan perkhidmatan lain yang diperlukan untuk melaksanakan sesuatu tugas atau mencapai sesuatu sasaran. Syaratnya, sumbangan modal keringat dalam sebarang bentuk wajib dihitung secara setimpal dan saksama serta direkodkan kerana akan tiba suatu masa ia akan dikonversikan kepada pemilikan kepentingan dalam usaha niaga tersebut. Justeru, konsep ini juga digelar "stock for services" atau "saham atas perkhidmatan" di mana kemudiannya para penyumbang modal keringat akan dibayar fi perkhidmatan tetapi dalam bentuk pegangan saham. Konsep "stock options" yakni opsyen saham juga tidak jauh berbeza dengan konsep modal keringat di mana akhirnya para pekerja bertukar menjadi pemilik bersama sesebuah syarikat setelah diberi ganjaran dalam bentuk pegangan saham atas persetujuan menerima gaji lebih rendah daripada kadar pasaran termasuklah tanpa gaji langsung.

Walaubagaimanapun, untuk menjayakan agenda penglibatan secara besar-besaran umat Islam dalam bisnes atau penubuhan lebih banyak syarikat perniagaan bertunjangkan konsep modal keringat ini, golongan kaya atau tokoh korporat dermawan masih diperlukan untuk menyediakan "seed capital" yakni modal benih dalam amaun yang munasabah.

Contoh 1: Seorang usahawan bermurah hati melabur RM100,000 sebagai modal benih bagi satu usaha niaga yang seterusnya dibina, digilap dan dimajukan oleh beberapa penyumbang modal keringat. Dalam tempoh 10 tahun, usaha niaga ini dianggarkan bernilai RM10 juta. Maka, para penyumbang modal keringat akan diberi ganjaran dalam bentuk pegangan saham setara dengan peningkatan nilai ini setelah ditolak benih modal bernilai RM100,00 dan ganjaran munasabah bagi penyedia modal benih.

Contoh 2: Seorang hartawan membuat pelaburan asal sebanyak RM100,000 dalam satu usaha niaga yang dijalankan dan dikembangkan oleh sekumpulan penyumbang modal keringat. Tiga tahun kemudian, 25% saham syarikat tersebut telah dijual kepada seorang "angel investor" pada harga RM500,000. Ini bermakna syarikat tersebut bernilai RM2 juta atau dengan perkataan lain, 75% pegangan saham yang masih kekal dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Jumlah yang dikira setelah ditolak pelaburan asal bernilai RM100,000 dan ganjaran munasabah bagi penyedia modal benih itulah bersamaan dengan ekuiti keringat yang akan diagihkan secara setimpal dan saksama di kalangan penyumbang modal keringat.

Perlu diingatkan bahawa fokus konsep ini bukanlah untuk memaksimumkan ganjaran bagi penyedia modal benih tetapi lebih tertumpu kepada agenda meningkatkan penyertaan ummah dalam bisnes. Namun, beberapa isu dalam penilaian ekuiti keringat mungkin berbangkit sekiranya terdapat terlalu ramai rakan kongsi atau penyumbang modal keringat terutama dalam bentuk yang terlalu pelbagai. Untuk mengelakkan sebarang pertikaian atau kerumitan di kemudian hari, ada baiknya jika satu persetujuan mengenai ganjaran munasabah bagi penyedia modal benih, mekanisme penilaian ekuiti keringat dan pengagihan pegangan saham di kalangan penyumbang modal keringat dicapai pada peringkat awal lagi.

Perlu ditegaskan bahawa kita memerlukan lebih banyak lagi solusi tidak konvensional di luar kotak seumpama ini sekiranya kita ingin melihat segera umat Islam yang rata-ratanya kurang bernasib dari segi modal tunai untuk mula berkecimpung dalam bisnes. Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa inilah inovasi yang membolehkan penyertaan beramai-ramai ummah dalam bidang perniagaan tanpa perlu lagi menunggu lama mengumpul dana demi mencukupkan modal tunai. Kini, kekurangan modal tunai tidak boleh lagi dijadikan alasan untuk tidak terjun dalam dunia perniagaan atau dikatakan batu penghalang dalam usaha memantapkan pembangunan sosio-ekonomi ummah.

Di samping itu, demi pembangunan ekonomi ummah yang menyeluruh dan bermakna sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa, kita perlu berusaha mencapai kecemerlangan dalam segala segi sebagaimana yang cuba diterapkan dalam Islam yakni membentuk masyarakat berwawasan, berijtihad dan berakhlak dalam ertikata yang sebenar dan komprehensif. Kerangka ini mencakupi:
> Usaha meningkatkan mutu ibadah secara individu - menyuci hati, memperbetulkan niat
> Penghayatan nilai-nilai murni universal yang seterusnya dijadikan amalan harian dan segala aspek kehidupan sehingga terpancar pada keperibadian yang mulia - ehsan sesama insan, bertimbang rasa, amanah, sadiq, jujur, lurus, bertanggungjawab, memberi tambah nilai kepada masyarakat, dan sebagainya
> Perjuangan berterusan mendaulatkan kebenaran dan keadilan tetapi menolak kebatilan, kezaliman, penindasan, penipuan, pembohongan, rasuah, fitnah, dan sebagainya
> Penguasaan ilmu, pengetahuan dan kepakaran sama ada profesional atau sebagai bekalan akhirat
> Prinsip urus tadbir yang baik terutama kompetensi, kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti

Akhir kata, saya menaruh harapan yang tinggi agar penganjuran wacana intelektual seperti ini dapat menjadi platform untuk terus merangsang percambahan idea ke arah mewujudkan satu kelompok usahawan Islam berjaya demi kemakmuran dan kesejahteraan ummah dan negara.
Sambil mendoakan semoga program ini berjalan lancar dan mencapai kejayaan seperti yang didambakan, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada PAS dengan inisiatif seumpama ini.

Sekian, wabillahi tawfiq wal hidayah. Wassalamualaykum wrh. wbth.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.