MB Baru Angkat Sumpah, Rakyat Kedah Menyumpah - Mahfuz Omar
Kenyataan Media.
MB BARU ANGKAT SUMPAH, RAKYAT KEDAH MENYUMPAH.
1. Tanggal 4 Februari 2016 tercatatlah sejarah perampas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke 12. Selepas 15 hari kemelut politik dendam Putrajaya dalam agenda melenyap musuh politik Najib yang latang dan tegas mengkritik kepimpinan beliau akhirnya perampas berjaya mendaratkan pesawatnya di Wisma Darulaman.
2. Drama rampasan kuasa MB di Kedah ibarat tragedi rampasan pesawat oleh perampas yang kemudian disusuli dengan segala ancaman dan ugutan untuk melenyapkan setiap orang penumpang yang menjadi tebusan sehinggalah kehendak perampas dipenuhi oleh pihak berkuasa.
3. Persoalannya, apakah rakyat Kedah gembira dengan mereka mendapat MB baru? Selalunya rakyat pelbagai peringkat rata-rata akan melahirkan rasa gembira dengan memperolehi MB baru. Zaman ini mudah untuk menilai perasaan rakyat kerana semuanya diluahkan di media sosial. Inilah juga yang diluahkan perasaan mereka di kala MB baru mengangkat sumpah sebagai MB, rakyat Kedah mengangkat SUMPAH SERANAH DAN MENYAMPAH mereka terhadap Kerajaan baru Kedah.
BUKAN SOAL AKADEMIK TAPI SOAL AMANAH
4. SUMPAH SERANAH DAN MENYAMPAH rakyat Kedah bukan kerana soal pencapaian akademik Bashah MB baru atau kerana tidak berkelulusan Universiti. Tetapi bagi rakyat yang matang dalam politik, yang dilihat mereka keutamaan pada diri seseorang pemimpin itu ialah sikap AMANAH, INTEGRITI dan BIJAKSANA.
5. Yang dipersoal terhadap Najib selama ini sebagai PM yang memiliki lulusan akademik yang lebih tinggi daripada Bashah MB Kedah yang baru ialah persoalan AMANAH, INTEGRITI dan BIJAKSANA. Bukan soal Najib tidak belajar tinggi. Isu YaPeim bukan soal akademik Jamil Khir kelulusan lebih rendah daripads Bashah. Dia memiliki kelulusan tinggi dalam bidang agama Islam, tetapi isunya ialah AMANAH, INTEGRITI dan BIJAKSANA. Apa guna lulusan agama dipanggil Ustaz dan menaiki mimbar berkutbah Jumaat tetapi tidak beramanah? Sebaliknya hanya mengotori agama Islam.
6. Inilah yang membuat rakyat KEDAH MENYUMPAH dan MENYAMPAH pada waktu MB baru Kedah angkat Sumpah. Rakyat melihat MB baru angkat sumpah dengan cara yang tidak BERAMANAH dan BERINTEGRITI. Mukhriz yang punya prinsip berkata benar walaupun kepada Ketua yang jahat akhirnya diguling oleh gerombolan perampas MB Kedah tajaan Putrajaya yang diketuai oleh Bashah yang kini dilantik pula menjadi MB baru Kedah.
7. Apa yang dapat diharap kepada MB baru dan exco-exco yang bakal dilantik nanti kalau keberadaan mereka di situ hanya untuk menjadi lembu dicucuk hidung oleh gembala lembu Putrajaya? Inilah negeriku yang dilihat tercemar maruah kerana pemimpinnya, tetapi saya yakin bahawa saya dan Adinda Mukhriz masih punya sokongan rakyat Kedah yang memiliki ketinggian nilai harga diri dan akal budi, BERAMANAH dan BERINTEGRITI yang bersedia MENEBUS MARUAH demi sebuah NEGERI, KEDAH TERCINTA.
#BERANI KERANA BENAR
DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
5 Februari 2016/26 Rabiulakhir 1437H
Sila kongsi artikel ini...