Salinan surat balas dan soalan tambahan:
YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd.
PELAWAAN LAWATAN BERSAMA KE TAPAK TEBANGAN ULU SAT
Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian YB Dato menjawab surat saya bertarikh 28 Syawal 1436/13 Ogos 2015.
Dari surat itu, saya simpulkan atau memberikan komen seperti di bawah:
A. Tiada Penglibatan YB Dato Husam Musa Dari Pembalakan Lebuhraya Rakyat
Penjelasan YB Dato dalam isu ini sangat saya alukan.
Saya berharap, melalui jawapan rasmi ini, tidak ada mana-mana pihak, termasuk YB Dato atau pegawai Baldah (saya lampirkan terbaru apa yang dicatat oleh Encik Nik Hisham dalam media sosial), memberikan versi tidak rasmi yang lain untuk mengaitkan nama saya secara tidak adil.
B. Adanya Penyitaan dan Tahanan Penebangan
Para E surat YB Dato ada menyatakan : "Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan...."
"....... telah ditahan sementara oleh Jabatan...."
dan
"....... 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan sementara...."
Dari kandungan para E, membuktikan memang berlaku penahanan tebangan dan penyitaan oleh Jabatan Hutan ke atas kayu-kayu yang ditebang oleh kontraktor Baldah.
Apa yang saya sebutkan bahawa kayu-kayu yang dikeluarkan oleh kontraktor Baldah telah disita adalah benar.
C. Tidak Berlaku Sebarang Kesalahan Hutan di Blok A dan Blok B - Hutan Simpan Ulu Sat?
Dari kandungan para E, YB Dato mengakui adanya sitaan di matau milik Baldah.
Tinggal lagi, YB Dato cuba menjelaskan, sekalipun penahanan berlaku, tiada kesalahan dilakukan oleh kontraktor Baldah.
Ini bermakna, berlakunya penahanan yang salah oleh Jabatan Hutan.
Benarkah berlaku salah penahanan oleh Jabatan Hutan? Sekalipun untuk tujuan siasatan, tanpa kesalahan dilakukan, Jabatan Hutan tidak boleh sewenang-wenang melakukan sitaan.
Adakah semata-mata kerana adanya laporan yang dibuat oleh pihak tertentu ( seperti ayat YB Dato pada baris tiga para E) semata-mata, Jabatan Hutan bertindak menyita?
Adakah pihak tertentu itu membuat laporan palsu dan apakah tindakan yang diambil oleh Baldah atau Jabatan Hutan terhadap pelapor palsu itu?
Jika Jabatan Hutan secara salah menyita, saya cadangkan Baldah mengambil tindakan undang-undang ke atas Jabatan Hutan.
Kerajaan juga hendaklah mengenakan surcaj ke atas kaki tangan dan pegawai Jabatan Hutan yang terlibat atas tindakan salah tanpa selidik yang telah dilakukan. Jabatan Hutan juga boleh diarahkan membayar ganti rugi kepada pihak yang ditahan.
Adakah kerajaan akan bertindak seperti itu?
Jika tidak, kenyataan YB Dato tiada apa-apa kesalahan dilakukan adalah diragukan.
Setakat pengalaman saya, salah tindakan Jabatan Hutan berkait kesalahan membalak di luar sempadan adalah agak mustahil. Ini ialah kerana pengecaman dan tandaan sempadan dilakukan bersama antara kaki tangan Jabatan Hutan dan kontraktor terbabit sebelum lesen diluluskan.
Jika kontraktor merasakan tandaan sempadan adalah salah, mereka boleh melaporkannya kepada Jabatan Hutan. Mereka sama sekali tidak boleh membalak di luar sempadan yang telah ditandakan atas apa jua alasan, termasuk kononnya kawasan itu terletak dalam zon penampan yang diizinkan untuk ditebang.
Apa gunanya dinamakan zon penampan kalau zon itu juga boleh ditebang?
Isu yang saya ingin ketengahkan sekali lagi di sini ialah, ada atau tidak kesalahan hutan khususnya membalak di luar sempadan dilakukan, termasuk di kawasan yang didakwa zon penampan?
Jika ada, siapakah yang melakukan perbuatan itu?
Jika tidak, kenapakah Jabatan Hutan bertindak menyita?
D. Pelawaan Lawatan Bersama ke Tapak Tebangan
Bagi menghilangkan keraguan terhadap penjelasan YB Dato pada mata rakyat, saya mencadangkan lawatan bersama dengan diiringi oleh Jabatan Hutan dapat diatur oleh YB Dato.
Dalam tempoh sekarang, saya yakin tunggul-tunggul kayu - jika ada - yang ditebang di luar sempadan masih boleh dilihat.
Tandaan sempadan juga masih ada kesannya. Selain itu, pusat ikatan untuk mengukur semula sempadan bagi mempastikan tandaan sempadan adalah betul dan tebangan semuanya dilakukan di dalam sempadan, boleh dikesan semula jika perlu.
Dengan cara ini, tidaklah Jabatan Hutan disalahkan tanpa kesalahan yang sebenar dan penjelasan YB Dato dapat diperkukuhkan lagi.
Saya bersedia untuk bersama dalam lawatan itu nanti. Saya berharap, YB Dato tidak keberatan untuk mengaturkannya.
Penjelasan YB Dato bahawa hanya 50 tan/600 tan berbaki di metau juga tidak akan berbangkit jika YB Dato melihat sendiri longgokan balak di metau sekarang. Terdapat 14 longgokan besar dengan 1,280 batang pelbagai saiz yang dianggarkan seberat 968 tan masih disita di situ. Saya sertakan gambar-gambar untuk menunjukkan jumlah yang dinyatakan oleh YB Dato adalah kurang tepat, walaupun ia bukannya isu yang besar.
E. Berapakah Keluasan Kawasan R N R?
Seingat saya, mengikut garis panduan Lembaga Lebuh Raya Malaysia(LLM), kawasan Rehat dan Rawat (R n R) yang ideal hanyalah seluas 20 ekar dan lay-by adalah 10 ekar setiap satu.
Bagi Lebuh Raya Rakyat, R n R dikatakan seluas 10 hektar dan 65 hektar masing-masing. Dengan keluasan 75 hektar atau bersamaan dengan 185 ekar, bermakna enam kali ganda keluasan ideal cadangan LLM.
Mengapakah cadangan keluasannya yang melibatkan hutan simpan adalah begitu luas?
Juga, saya sangsi dengan tebangan ke atas pokok berdiameter 6 inci ke atas kerana konsep asal adalah pokok-pokok besar dikekalkan untuk menghasilkan teduhan dan keindahan semula jadi.
Dari penjelasan YB Dato, ia menjadi terbalik iaitu pokok-pokok besar di tebang dan yang tinggal adalah pokok kecil semata-mata.
Mengenai foto yang dirujuk oleh YB Dato, jika lawatan ke tapak dilakukan sendiri oleh YB Dato, ternyata apa yang dikatakan tebangan terpilih sebenarnya hampir disapu bersih dan yang tinggal hanyalah pokok-pokok kecil tanpa sebarang keindahan semula jadi lagi. Sungai yang dulunya dilindungi kanopi pokok-pokok kini terang benderang tanpa hijauan lagi.
F. Jumlah Pengeluaran Dan Hasil
Saya berpendapat, ada sedikit kekeliruan angka dalam pengiraan yang ditunjukkan oleh YB Dato pada para pertama muka surat tiga.
YB Dato nyatakan keluasan tebangan adalah sejumlah 23 hektar.
Angka ini mungkin tidak tepat kerana Blok A seluas sepuluh hektar telah ditebang semuanya. Bagi Blok B pula, 20% dari 65 hektar telah ditebang, iaitu 13 hektar.
Keluasan 23 hektar ini belum mengambil kira laluan lebuh raya, yang mengikut surat YB Dato : 'jajaran lebuhraya yang sudah tentu ditebang habis...'.
Bermakna, kawasan yang telah ditebang adalah melebihi 23 hektar. Oleh itu, perolehan 2,700 tan adalah dari kawasan yang melebihi 23 hektar, termasuk dari tebangan laluan lebuhraya dan ada kemungkinan di luar kawasan tandaan sempadan yang asal (yang didakwa sebagai kawasan buffer zone yang tiada sekatan untuk tebangan).
Dengan itu, 23 hektar sebagi pembawah adalah tidak tepat.
Jika keluasan sebenar tebangan melebihi 23 hektar dengan mengambil kira laluan tebangan dan zon penampan, dengan sendirinya perolehan RM 8,000 seekar seperti dinyatakan oleh YB Dato akan berubah.
Jika diandaikan kawasan laluan dan tebangan luar kawasan mencapai 20 hektar atau lebih, kadar hasil per ekar akan menjadi hanya RM 4,000 sahaja. Ini tidak banyak bezanya dengan kadar hasil bagi tebangan habis yang diperolehi melalui proses biasa.
Oleh itu, pengiraan kadar hasil per ekar mesti mengambil kira keluasan tebangan keseluruhan dan yang sebenar.
Namun begitu, saya sangat berbangga dengan keinginan Baldah mendapatkan hasil yang tertinggi dan kaedah sebut harga terbuka yang diamalkan. Jika semangat yang sama terpakai untuk agensi lain seperti KPK, rakyat Kelantan akan melihat sesuatu yang berbeza dan lebih baik.
G. Alaf Ulung dan bukannya Lucky Wong
Tidak ada masalah besar antara sama ada Syarikat Lucky Wong atau Alaf Ulung. Apa yang saya pohonkan adalah latar belakang syarikat kontraktor yang dilantik oleh Baldah.
Dalam surat saya, saya namakan Syarikat Lucky Wong. Setelah saya melawat tapak berkenaan, dalam kenyataan media saya pada sebelah petangnya, saya telah tukarkan kepada Syarikat Alaf Ulung seperti tertera di papan tanda di metau.
Kedua-dua surat dan kenyataan media saya dipamerkan di laman FB saya. Saya beranggapan pegawai YB Dato ada membacanya dan melaporkan semula kepada YB Dato.
Soalan-soalan berkaitan seperti siapa pemilik syarikat yang saya tanyakan berkaitan Lucky Wong terpakai untuk Alaf Ulung yang dilantik oleh Baldah, jika YB Dato merasa perlu untuk menjelaskannya.
H. Persoalan Menerusi Media Sosial
Saranan YB Dato dalam para akhir surat YB Dato iaitu untuk tidak menggunakan saluran media sosial kerana dikhuatiri menimbulkan persepsi yang tidak baik bagi kerajaan, rasa saya tidak relevan.
Jika tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh kerajaan, tiada sebab untuk imej kerajaan tercalar.
Sebenarnya, melalui media sosial sesuatu isu menjadi lebih berkesan. Saya telah pun meminta penjelasan YB Dato melalui kumpulan Whats App terhad di mana YB Dato turut bersama sejak 8 Ogos 2015 tetapi tiada sebarang respon sehinggalah surat saya tersiar dalam FB saya dan pengguna media sosial yang lain.
Di samping itu, fitnah ke atas saya dalam isu ini adalah secara terbuka oleh pengamal media sosial sejak sekian lama. Ia bukan isu peribadi saya dengan kerajaan tetapi isu saya secara awam dan isu kerajaan dan kepentingan awam juga.
Surat balas YB Dato juga disiarkan melalui Whats App. Nampaknya YB Dato sendiri dan pegawai Baldah tidak mengamalkan saranan YB Dato.
Saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih atas respon YB Dato dan InsyaAllah surat ini juga mendapat respon sekali lagi YB Dato, disamping lawatan ke tapak untuk menjelaskan tiada sebarang penyelesaian belakang tabir diatur antara kerajaan dan Jabatan Hutan.
Sekian. Terima kasih.
Yb Dato Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
2 Zulkaedah 1436/17 Ogos 2015
s.k:
1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim
2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media
Jawapan dari Pengerusi Lembaga Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd..
1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015
YB Dato’ Hj Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
Firman Allah swt yang bermaksud “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu! Maka
Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan
kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala
yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang
kamu kerjakan”
Surah At-Taubah : 105
YB Dato’
PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG
TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUHRAYA RAKYAT
Saya dengan ini merujuk kepada surat YB Dato’ (tidak bertarikh) yang saya
terima pada hari Khamis, 28 Syawal 1436H bersamaan 13 Ogos 2015 jam 12:30
tengahari. Penjelasan adalah seperti berikut:
A. Faedah daripada tebangan hutan berkaitan adalah untuk Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd, Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kerajaan Negeri
yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlaksanaan Projek Lebuhraya
Rakyat. Ianya adalah antara lain digunakan untuk kos yang berkaitan Projek
Lebuhraya seperti bayaran kepada konsultan dan lain-lain termasuk juga
untuk kos operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.
Tiada penglibatan YB Dato’ dalam tebangan balak di kawasan yang diluluskan.
B. Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mendapat kelulusan
daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan kayu di
kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mengeluarkan tawaran
sebutharga terbuka pada 23 Oktober 2014. Pada 8 Disember 2014, Lembaga
Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah bermesyuarat
dan bersetuju menawarkan kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn
Bhd berdasarkan kepada tawaran syarikat ini yang terendah.
C. Tuduhan bahawa Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
melantik Syarikat Lucky Wong sebagai kontraktor kerja penebangan balak
adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Kontrak untuk kerja-kerja penebangan telah
dibuat secara sebutharga terbuka seperti yang dinyatakan di para B di
atas. Lain-lain soalan YB Dato’ berkenaan Syarikat Lucky Wong adalah tidak
berkaitan.
Sebanyak 2,300 tan kayu telah ditebang. Hanya sebanyak 1,700 tan telah
dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28juta. Setelah ditolak kos
penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos Jabatan Perhutanan,
hasil bersih ialah sebanyak RM465,000.00.
D. Di dalam kawasan R&R, walaupun kelulusan tebang habis diberi oleh
Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan
Sdn Bhd hanya menebang pokok yang berukuran diameter 6 inci keatas, sesuai
dengan hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sila
rujuk kepada suratkhabar Sinar Harian, Jumaat 14 Ogos 2015 (mukasurat 38),
gambar disebelah atas adalah kawasan R&R yang jelas nampak ada tebangan
terpilih. Manakala gambar disebelah bawah adalah jajaran lebuhraya yang
sudah tentu ditebang habis bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan
lebuhraya dijalankan.
E. Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan adalah
untuk membolehkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menjalankan
siasatan hasil dari laporan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya juga
mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan,
Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd supaya siasatan yang rapi dijalankan bagi
menangani masalah ini dengan segera. Hasil daripada siasatan oleh Jabatan
Perhutanan Negeri Kelantan, mereka telah mengesahkan bahawa tiada
penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor yang dilantik oleh
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd. Maknanya, pihak Baldah
Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kontraktor yang dilantik tidak
terlibat di dalam kes ini.
Sebanyak lebih kurang 600 tan (bukannya 1,000 tan seperti dakwaan YB
Dato’) kayu yang telah ditebang tetapi belum dijual, telah ditahan
sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tujuan siasatan.
Walaubagaimanapun, pada 30 Julai 2015, kebenaran telah diberikan kepada
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd untuk menjual kayu-kayu
tersebut sebanyak 550 tan, manakala 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan
sementara menunggu laporan siasatan dikeluarkan yang dijangka pada minggu
hadapan.
Sebagaimana dakwaan YB Dato’ bahawa kawasan ini adalah kaya, bagi
memaksimakan perolehan dari sumber yang diamanahkan oleh Kerajaan ini,
kawasan ini tidak dijual terus berdasarkan keluasan yang mana hasilnya
adalah antara RM2,500 – RM3,000 seekar sahaja. Sebaliknya, kawasan ini
telah diusahakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd
dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja penebangan sahaja manakala
penjualan kayu dilaksanakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd yang mana ianya dibuat secara sebutharga terbuka dengan
kelulusan oleh Jawatankuasa Sebutharga Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd.
Dengan hasil bersih sebagaimana yang dinyatakan di Para C di atas,
berdasarkan kawasan yang telah ditebang seluas 23 hektar (56.8 ekar),
bermakna setakat ini Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
memperolehi keuntungan sebanyak RM8,200/ekar, 3 kali ganda lebih
berbanding sekiranya penjualan terus kawasan dibuat.
Pihak Baldah Toyyibah Prasarana) Kelantan Sdn Bhd sedang berusaha untuk
membuktikan bahawa mengusahasilkan sendiri kawasan pembalakan oleh agensi
Kerajaan akan memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan
hanya menjual terus kawasan tersebut.
Sekian, saya berharap agar penjelasan di atas ini dapat memberi pencerahan
kepada isu-isu yang YB Dato’ bangkitkan. Sebenarnya saya lebih suka
sekiranya ada apa-apa masalah ditanya terus kepada saya, tidak ditulis
dalam whatsapp kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang
tidak baik kepada Kerajaan.
Terima kasih.
tt : YB Dato' Hj Hanifa
……………………………………………….
YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd
Kenyataan Media : Pembalakan Laluan Lebuhraya Rakyat
Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Pengasih
Sejak saya tidak lagi menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, banyak tuduhan dilemparkan secara berleluasa ke atas saya kononnya saya mendapat faedah peribadi langsung atau tidak langsung dari hasil pembalakan di atas cadangan laluan Lebuh Raya Rakyat, khususnya laluan di Kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, Machang.
Malangnya, tiada sebarang penjelasan dari pihak kerajaan mengenai kedudukan yang sebenar.
Kebelakangan ini, tuduhan seperti itu semakin rancak oleh sesetengah pengamal media sosial menerusi FB mereka.
(Sebahagian petikan FB berkenaan disertakan bersama kenyataan ini)
Bagi mendapatkan penjelasan sebenar bersifat autoritatif (berautoriti), saya telah secara rasmi menulis surat memohon penjelasan kepada YB Dato Hanipa Haji Ahmad selaku Pengerusi Syarikat Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd. Untuk makluman, Baldah telah diputuskan sebagai agensi pelaksana oleh Kerajaan Negeri sejak Al Marhum YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah Menteri Besar .
(Salinan surat itu saya kembarkan di sini) (Surat 1) (surat 2)
YB Dato Hanipa Hj Ahmad adalah Pengerusi Baldah sehingga kini. Ini dengan sendirinya membuktikan pelaksanaan Lebuhraya Rakyat adalah diputuskan secara rasmi oleh kerajaan sejak mula. Ini berlawanan dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan.
Pada waktu saya merangka surat ini, saya telah diberi maklum oleh sumber yang sah bahawa berlakunya kesalahan hutan berhampiran blok yang diluluskan kepada Baldah di Hutan Simpan Ulu Sat iaitu Blok A dan Blok B Hutan Simpan Ulu Sat.
Akibatnya, semua usaha pembalakan oleh Baldah dihentikan sementara waktu dan kayu-kayu disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Bagi meninjau laporan ini, saya melakukan lawatan ini pada hari ini ke tapak berkenaan.
Semakan menunjukkan Baldah telah membayar bayaran lesen mengambil hasil hutan pada 27 Januari 2015, iaitu awal tahun ini. Ini adalah setahun setengah selepas saya tidak lagi mempengerusikan Baldah.
Tempoh sah lesen ini adalah dari 6 April 2015 hingga 5 Oktober 2015 dengan no lesen DT 01 (P) - 16 - 15.
Papan tanda di betau menunjukkan kontraktor yang dilantik oleh Baldah adalah Sykt Alaf Ulung Sdn Bhd.
Foto-foto kayu yang disita di betau milik Baldah boleh dilihat di sini.
Saya memohon YAB Menteri Besar menjelaskan bagaimana perbuatan ini boleh berlaku dan menuntut tindakan yang tegas diambil kepada pihak yang bersalah dan bentuk tindakan itu diumumkan kepada rakyat Negeri Kelantan.
Saya tidak mahu perbuatan buruk seperti ini cuba ditutup oleh mana-mana pihak dengan menjadikan saya sebagai mangsa fitnah secara berterusan.
Saya juga ingin tahu siapakah pemilik Alaf Ulung.
Sekian.
YB Dato Husam Musa
Adun Salor/Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015
r
SURAT 2)
YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd,
merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,
Kota Darul Naim, Kota Bharu.
POHON PENJELASAN TENTANG KONTRAKTOR PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT
Merujuk
surat saya mengenai tajuk di atas, setelah melawat betau milik Baldah
di Ulu Sat pada pagi ini, saya dapati nama kontraktor Baldah adalah Alaf
Ulung Sdn Bhd.
Saya pohon penjelasan bagaimana Alaf Ulung dilantik, pemiliknya dan terma-terma lantikannya seperti surat saya yang asal.
Sekian, terima kasih.
Yb Dato Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015
s.k:
1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim
2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media
Dengan Nama Allah Maha Pemurah Maha Pengasih
YB Dato Haji Hanipa Haji Ahmad,
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd, merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan,
Kota Darul Naim, Kota Bharu.
POHON PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN KAWASAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUH RAYA RAKYAT
Saya mengutuskan surat ini untuk mendapatkan penjelasan terhadap tajuk di atas ekoran adanya penulisan oleh Facebookers secara berleluasa sejak lama yang mengaitkan saya sebagai pihak yang mendapat faedah dari tebangan balak di kawasan laluan Lebuhraya Rakyat dan kawasan R n R (Rehat dan Rawat) di Hutan Simpan Ulu sat.
Penjelasan YB Dato boleh membantu menjelaskan kedudukan yang sebenar.
A. Siapa Mendapat Faedah Dari Tebangan Hutan Berkaitan?
Adakah saya, terlibat dalam sebarang bentuk faedah dan kepentingan berkait dengan tebangan balak bagi ketiga-tiga Blok yang diluluskan kepada Baldah?
B. Bila Kelulusan Pembalakan Diperolehi?
Selanjutnya, saya pohon penjelasan bilakah Baldah mendapat kelulusan secara rasmi untuk mengusahakan hasil hutan dalam blok-blok yang terlibat? Ini penting untuk menunjukkan siapa bertanggungjawab memberikan kelulusan itu.
C. Bagaimana Syarikat Lucky Wong Terlibat Dengan Baldah?
Saya difahamkan lesen pembalakan dikeluarkan atas nama Baldah Toyyibah (Prasarana) Sdn Bhd (lesen no DT 01 (P) - 16 - 15) dan Baldah juga telah didaftarkan sebagai kontraktor bagi kawasan yang diluluskan.
Setahu saya, Baldah secara tidak rasmi bagaimana pun telah melantik Syarikat Lucky Wong (Wong Bertuah) Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi kerja penebangan.
Saya pohon penjelasan YB Dato, jika Lucky Wong memang dilantik sebagai kontraktor, bagaimana cara pemilihan Syarikat Lucky Wong dilakukan? Secara runding terus atau tender?
Jika tidak, apa hubungan Baldah dengan Lucky Wong?
Siapakah pemilik Syarikat Lucky Wong?
Apakah terma perlantikannya? Bagaimana pula bentuk pembayaran atau keuntungan antara Baldah dan Lucky Wong?
Berapakah jumlah tan kayu yang ditebang setakat ini? Berapakah nilai jualannya? Berapakah dari jumlah itu menjadi hasil bersih Baldah setakat ini?
D. Adakah Kawasan Cadangan R n R Akan Ditebang Habis?
Dari tiga blok Hutan Simpan Kekal Ulu Sat yang diluluskan kepada Baldah, satu darinya untuk laluan lebuh raya dan dua lagi iaitu blok A (65 hektar) dan blok B (10 hektar) adalah untuk R n R (Rehat dan Rawat).
Seingat saya, dalam pelan asal, kawasan R n R (Rehat dan Rawat), tidak ada tebangan habis akan dilakukan. Ini atas hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Menteri Besar pada waktu itu supaya kawasan hutan dikekalkan untuk menjadikan ia R n R mesra alam yang pertama di Malaysia serta R n R yang terindah dengan pokok-pokok asli dan air terjun berdekatan.
Namun begitu, dari perkembangan terakhir yang saya dapati, Baldah telah memperolehi kelulusan untuk tebang habis. Bahkan, dikatakan tebangan telah dilakukan di luar kawasan yang diluluskan dan ubah sempadan dari pelan kelulusan asal telah berlaku.
Ini mungkin merosakkan pelan asal untuk menempatkan R n R berkenaan dalam teduhan pokok-pokok besar yang asal untuk tujuan rekreasi pengunjung.
Saya pohon penjelasan adakah ini benar berlaku?
Adakah tebangan habis akan dilakukan dan mengapa ia dilakukan? Mengapa cadangan asal atas hasrat Tok Guru diubah?
Jika Baldah tidak berhasrat untuk menebang habis, kenapa dinyatakan dalam kelulusan lesen adalah tebang habis?
E. Kenapa Pembalakan Disita dan Ditahan?
Adakah benar tebangan di luar kawasan berlaku?
Adakah benar sempadan asal diubah?
Saya difahamkan Baldah telah menafikan ia dilakukan oleh kontraktor Baldah.
Namun, dari tinjauan saya dengan Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK), tiada usaha hasil hutan yang lain berdekatan. Serta tiada kelulusan lain berdekatan dikeluarkan dan tiada pihak lain melakukan apa-apa kegiatan pembalakan berdekatan.
Dengan itu, mustahil pihak lain yang tidak berkaitan melakukan tebangan luar kawasan tanpa jentera dibawa masuk dan ubah sempadan boleh dilakukan.
Saya difahamkan, Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK) telah menghentikan kerja pembalakan dan menyita kayu-kayu yang telah ditebang oleh kontraktor Baldah dengan lebih 1,000 tan kayu telah ditahan. Sehingga hari ini, saya difahamkan, penahanan masih diteruskan.
Kejadian ini sangat mendukacitakan saya selaku salah seorang ADUN yang mendokong Dasar Membangun Bersama Islam. Sudah tentu kejadian ini mencemarkan penghayatan dasar ini.
Saya juga yakin, rakyat negeri ini merasa dukacita dengan kejadian ini.
Saya difahamkan, bagi Blok B seluas 10 hektar, semua kayu telah ditebang dan bagi Blok A pula, baru 20% kawasan ditebang sebelum penyitaan berlaku.
Ini bermakna, 23 hektar dari kedua-dua blok telah ditebang.
Dengan jumlah kayu yang disita melebihi 1,000 tan, bermakna secara purata dianggarkan sebanyak 43 tan se hektar balak bagi kawasan ini. Ia mungkin termasuk kayu yang ditebang di luar kawasan yang diluluskan dan dengan itu anggaran purata per hektar mungkin sedikit berkurangan
Ia satu jumlah yang agak banyak yang menunjukkan kawasan ini adalah kaya dan dengan itu, sewajarnya ia tidak diambil kesempatan lain selain tujuannya yang asal.
Jika benar selepas siasatan dilakukan tebangan luar kawasan berkait dengan Baldah iaitu agensi Kerajaan Negeri sendiri, ia satu perbuatan yang memalukan.
Lebih meragukan lagi, jika benar pihak lain melakukan perbuatan itu, adakah Baldah telah melaporkannya dengan segera kepada Pejabat Perhutanan Negeri Kelantan (PPNK)?
Jika laporan dibuat, bila tarikh laporan itu dibuat?
Jika tidak, kenapa tiada laporan dibuat?
Dalam hal ini, saya pohon penjelasan samada YB Dato sendiri telah mengambil tindakan menyiasat siapa sebenarnya terlibat melakukan perbuatan itu?
Ini adalah penting untuk membersihkan nama baik Baldah jika Baldah memang tidak terlibat sama sekali.
Jika tidak, ia memberikan persepsi - dengan keluasan sesempit itu pun keselamatan kawasan hutan tidak dapat dijaga oleh agensi kerajaan sendiri. Harapkan pagar, pagar sendiri memakan padi, kata pepatah.
F. Di atas adalah antara perkara-perkara yang saya pohonkan penjelasan dari YB Dato.
Sebahagian pertanyaan itu adalah atas kepentingan dan kebaikan Negeri Kelantan jua.
Saya sangat berharap mendapat maklum balas yang adil dan segera dari YB Dato, khususnya untuk membersihkan nama baik saya yang cuba dicemari dengan niat jahat sejak sekian lama.
Semoga Allah memelihara kita semua, khususnya dalam menunaikan amanah mengikut cara yang sebaiknya untuk mendapat keredhaanNya pada hari Kebangkitan Agung yang menjadi tujuan semua pejuang Islam. Itulah antara janji kita kepada perjuangan ini dan janji kita kepada rakyat Kelantan.
Sekian, terima kasih.
Yb Dato Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan
28 Syawal 1436/13 Ogos 2015
s.k:
1. YAB Ustaz Dato Menteri Besar Kelantan Darul Naim
2. YA Berusaha Tuan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan
3. Media