Pemuda PAS Kelantan Desak Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Datuk Kamaruddin Jaafar Letak Jawatan Segera
Pemuda PAS Kelantan Desak Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Datuk Kamaruddin Jaafar Letak Jawatan Segera
Pemuda PAS Kelantan mengekori rapat perkembangan rakan rakan pimpinan PAS yang kalah di dalam perebutan jawatan sempena Muktamar PAS tempohari. Namun dengan pengumuman sebahagian daripada mereka pada hari ini yang secara terang terangan telah mengumumkan penubuhan parti baru selepas daripada hari raya nanti, ia telah mengecewakan ramai ahli PAS.
1. Gerakan Harapan Baru (GHB) menggambarkan landskap politik semasa tanah air yang caca marba saat ini, dengan masalah 1MDB, GST, penyelewengan dan skandal, malahan kini api perkauman sedang marak dibakar, namun sayugia dimaklumkan bahawa kepimpinan PAS yang ada masih kekal konsisten berdepan dengan segala kebobrokan UMNO Barisan Nasional tersebut. Sayap pemuda dan muslimat juga terus turun menyantuni rakyat seperti dahulu. Sifat progresif dan peduli rakyat tertanam sebati dengan semua petugas PAS hingga kini dan bukannya sudah dibawa pergi bersama sebilangan pemimpin yang kecewa.
2. UMNO dan Barisan Nasional memang sudah tidak diharapkan lagi oleh rakyat untuk memimpin negara ini. Kerajaan 47% ini hanya masih selamat di Putrajaya dengan kaedah Gerrymandering yang sekian lama memanipulasi peta demografi pengundi. Semua parti pembangkang secara sedar bahawa peluang untuk menukar kerajaan lebih luas dan cerah jika Najib terus berada di tampuk kuasa sehingga PRU-14. Namun apabila disuarakan oleh Presiden PAS yang kelihatannya 'menyokong' Najib, maka terus dituduh mesra UMNO dan UG. Sedangkan jika keluar dari mulut DAP atau PKR ianya tidak menjadi apa apa pertikaian. Malahan akan dipuji sebagai bijaksana dan hebat berstrategi dengan segala pelan cegah rintangnya.
3. Pakatan Rakyat melalui gabungan PAS, PKR dan DAP memang telah menghilangkan hegemoni Barisan Nasional di parlimen. PAS mendapat untung dengan pertalian ini, dan tidak boleh dinafikan juga PKR dan DAP juga mendapat habuan yang sama dan mungkin dalam sesetengahnya lebih untung berbanding PAS. PKR boleh memerintah Selangor walaupun kerusi mereka kurang berbanding PAS dan DAP pula dapat berkuasa di Pulau Pinang. Masing masing untung dan selepas ini dengan penubuhan parti baru GHB yang bakal menjadi 'orang ketiga' dalam hubungan PAS dan PKR, maka sudah pasti kesemuanya akan rugi dan yang untung adalah UMNO yang secara tidak teragak agak akan terus memberi kelulusan kepada parti baru ini melalui ROS. Pertembungan banyak penjuru dalam kalangan pembangkang di banyak kerusi akan menambahkan hayat politik BN. Syabas GHB.
4. Hubungan Pakatan Rakyat yang disebut longgar di Pulau Pinang dan Selangor akan terus terburai dengan kehadiran GHB. Walaupun dahulu sedia dimaklumi bahawa PAS dan Hudud berpisah tiada. Malahan DAP dan PKR menang 2 PRU lepas pun dalam keadaan PAS terus mengacip hudud dengan gigi gerahamnya. Maka salah siapa jika kini hubungan tersebut menjadi longgar atas kononnya PAS mahu hudud?
5. Pengumuman parti baru oleh GHB akan memecahkan PAS sahaja. Ahli PKR, DAP, PSM, MIC, MCA dan UMNO tidak akan menyeberang ke wadah baru ini. Jika konsep keahlian dan pengurusan parti yang sekarang ini dilihat mirip kepada PKR, maka apa perlunya GHB? Baik sahaja mereka terus menyertai PKR. Jika mahu memperjuangkan Islam secara syumul atas landasan tarbiah dan manhaj seperti PAS, maka apa perlu lagi GHB? Orang UMNO tentu sahaja tidak akan menyua muka. Ahli DAP pula sudah berada dalam wadah Malaysian Malaysia yang sudah 'sempurna' dan idealistik. Maka caranya adalah perlu mencuri ahli PAS. Perlu yakinkan ahli PAS bahawa mereka perlu tolak dan tinggalkan PAS. Penyeberangan ke wadah baru oleh ahli PAS menjadi wajib. PAS harus terus diratib dengan momokan UG, UG dan UG sehinggalah bahtera ini bocor. Maka ahli yang tidak sabar akan terjun ke samudera luas. Yang mabuk laut akan dikait masuk ke bahtera baru.
6. Inklusif, progressif dan peduli rakyat sudahpun menjadi darah daging PAS. Yang mana perkara ini juga difahami dengan baik oleh GHB. PAS dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS nya telah lama membuktikan bahawa parti ini sememangnya inklusif. Lantikan demi lantikan dalam perjawatan politik khususnya melibatkan kepelbagaian kaum dan resam di Kelantan sejak dahulu lagi membuktikan bahawa PAS sentiasa terbuka untuk semua. Progresif dan peduli rakyat adalah suatu perkara yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia adalah sifat umum ahli dan pimpinan PAS sejak sekian lama.
7. Keluasan Maqasid syariah diperjuangkan begitu lama oleh PAS dan telahpun secara berkerajaan diterjemahkan dengan cukup baik sepanjang pemerintahan di Kelantan serta sekejap di Terengganu. Ia bukanlah suatu slogan kosong dan mainan emosi kecewa semata mata. Lantas dengan menubuhkan GHB untuk membawa perkara ini dilihat suatu langkah ke belakang sahaja.
8. Muafakat politik seharusnya diperkuatkan dengan pakatan sedia ada. Dan aspirasi agung oleh Al Marhum Tuan Guru Yusof Rawa, Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor dan Al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melihat PAS terus maju dan mara dalam mempertahan Islam dan masyarakat Malaysia perlu diteruskan oleh kita semua, ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat.
Justeru, dengan pengumuman parti baru pada hari ini, Pemuda PAS Kelantan mendesak 2 ahli parlimen PAS negeri ini yang hadir pada sesi pengumuman tadi iaitu YB Dr Mohd Hatta Md Ramli dari Kuala Krai dan YB Datuk Kamarudin Jaafar dari Tumpat meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Bagaimana mungkin dua sosok ini yang menang atas tiket PAS dan dibantu secara sepenuhnya oleh jentera parti PAS dan memiliki segala kemudahan, elaun dan sebagainya atas nama wakil rakyat PAS, tetapi dengan tiada segan silu mengumumkan untuk menubuhkan parti baru. Jika kami dahulu berpenat lelah memenangkan tuan di dalam PRU, maka kami juga dengan penuh rasa hormat dan takzim kepada tuan meminta supaya melepaskan jawatan segera.
Jasa dan budi baik kalian akan tetap kami ingati. Namun perkara prinsip dan moral tetap menjadi teras perjuangan kita semua. Dengan perletakkan jawatan tuan dan kesibukan tuan di dalam wadah baru GHB, nasib rakyat Kuala Krai di dalam khemah akan lebih terbela dan diperjuangkan.
Nazman Bin Che Iberahim
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
Sila kongsi artikel ini...