Perutusan Hari Malaysia - Wan Azizah
KENYATAAN MEDIA
PERUTUSAN HARI MALAYSIA
16 September 1963 merupakan tarikh keramat lahirnya Malaysia, negara kita yang tercinta. Ia merupakan tarikh keramat di mana satu perjanjian telah dibuat demi masa depan bersama, yang terikat dan termaktub di dalam sebuah perlembagaan yang kita pegang dan amalkan hingga ke hari ini. 52 tahun sudah pun berlalu. Sudah pasti banyak halangan telah kita atasi, pelbagai dugaan telah kita hadapi, dan bermacam kemajuan telah kita nikmati bersama.
Namun hari ini, akibat pelbagai kejadian dan tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang memperalat isu perkauman dan keagamaan, ramai yang bertanya ke mana hala tuju negara kita kini. Ditambah pula dengan masalah ekonomi seperti kejatuhan nilai matawang ringgit, hutang negara yang menggunung, skandal kewangan, bebanan GST, kesenjangan dan kekayaan negara yang tidak diagihkan secara adil, dan hilangnya keyakinan para pelabur.
Jelas rakyat Malaysia mendamba, mengharapkan serta mendoakan agar kita punyai pimpinan yang berintegriti, mengamalkan tata kelola yang baik, serta mampu melakukan reformasi dan perubahan terhadap institusi-institusi dan sistem-sistem untuk perbaiki dan perbetul halatuju negara. Tanpa reformasi dan perubahan menyeluruh, langkah-langkah yang diambil kerajaan pada waktu ini mungkin tidak akan dapat memperbetul keadaan.
Pada masa yang sama, jangan kita tunduk kepada pihak-pihak yang mahu memecah-belah atau menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat. Jangan termakan dakyah adu domba yang menimbulkan syakwasangka.
Hari Malaysia kali ini, marilah kita tanam semangat dan iltizam untuk terus berani bersuara dan selamatkan negara demi masa depan yang adil, saksama, telus dan harmoni untuk semua.
Selamatkan Malaysia!
DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
16 September 2015
Sila kongsi artikel ini...