Pemenang Nobel Joseph Stiglitz pinta PM Najib Razak dahulukan rakyat dalam perundingan TPP - MTEM

2:32 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Pemenang Nobel Joseph Stiglitz pinta PM Najib Razak dahulukan rakyat dalam perundingan TPP


1. Beberapa hari yang lepas, perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) telah melalui fasa yang paling akhir di mana perunding-perunding kanan telah bermesyuarat dari September 26 hingga 29 di Atlanta, Amerika Syarikat, untuk mendapatkan penyelesaian bagi perkara-perkara pokok yang masih tidak mendapat persetujuan dari semua pihak. Seterusnya pada 30 September dan 1 Oktober, menteri-menteri perdagangan negara perunding termasuk Malaysia pula bermesyuarat di Atlanta.

2. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bersama Bantah TPPA berharap bahawa perunding kerajaan tidak memilih jalan yang akan menyebabkan masa depan yang malap bagi negara kita. Perunding perlu tegas dan tidak memberi konsesi yang akan merugikan negara. Bagi Malaysia, antara perkara penting yang perlu dibincangkan dan dipertahankan ialah kenaikan harga ubat-ubatan akibat perlanjutan harta intelek (IP) dan juga isu syarikat milik kerajaan (SOE) serta hak-hak Bumiputera yang mungkin akan terjejas jika perjanjian TPP di tandatangani. Apakah hasil rundingan yang terakhir ini akan berpihak kepada Malaysia?

3. Pemenang Nobel dalam bidang Ekonomi Joseph Stiglitz menyatakan di dalam artikelnya yang terbaru khusus mengenai Malaysia dan TPPA iaitu “Don’t let TPP jeopardize Malaysia’s Economic Development” bahawa dari pengamatannya perunding Malaysia banyak mengalah dan tidak cekap melindungi kepentingan Malaysia. Strategi perunding Malaysia seperti tidak masuk akal kerana akan mengakibatkan Malaysia kerugian besar. Stiglitz menulis: “It is less clear why they would, given the economic loss Malaysia is expected to get in return for such a deal. Typically, one thinks of negotiation as one side giving something in order to get something else in return. But with the TPP, it is not clear what Malaysia would be getting.”

4. Menurut Stiglitz, ini adalah peluang terakhir bagi Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Razak untuk menukar arah kerana jika TPP ditandatangani, Malaysia sebagai negara membangun akan menghadapi situasi yang tidak adil berbanding negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Australia. “Prime Minister Najib Razak is facing his last best chance to reverse the course of the Trans-Pacific Partnership, or TPP, a new international economic agreement that would lock in unequal trading relationships between advanced economy countries like the United States, Japan, Canada, and Australia, and developing economies like Malaysia.”

5. Bagi pakar ekonomi itu, perjanjian TPP “bukanlah perjanjian perdagangan bebas tetapi sebenarnya adalah perjanjian perdagangan yang diuruskan (managed trade agreements) dan lazimnya dikendalikan untuk kepentingan-kepentingan korporat”. TPP sebenarnya bukanlah satu “perkongsian” tetapi lebih kepada “perkongsian khas” di mana hanya satu negara iaitu Amerika Syarikat yang berkuasa menentukan sebahagian besar agenda.

6. Sebelum ini, Bantah pernah menyatakan bahawa sektor pertanian akan menghadapi impak yang negatif serta saingan yang besar dari produk pertanian yang akan memasuki negari ini setelah TPP ditandatangani. Stiglitz pula menambah bahawa “sektor perindustrian dan pelaburan juga akan mengalami kejutan dari segi pekerjaan” walaupun pihak kerajaan sentiasa meuar-uarkan bahawa TPP akan memberi peluang pekerjaan yang lebih. Yang mengejutkan lagi ialah pendapat Stiglitz bahawa, sektor-sektor lain yang akan terjejas termasuklah “besi dan keluli, aluminum, bahanapi galian (mineral fuels), plastik dan getah”.

7. Walaupun impak kepada industri Malaysia tampak negatif, namun bahaya TPP adalah lebih meluas. Terdapat pelbagai ciri-ciri lain yang menunjukkan bahawa perjanjian ini akan mendatangkan keburukan yang lebih besar dari yang dijangka. Pertama, TPP akan menghalang kerajaan daripada meluluskan peraturan atau undang-undang untuk melindungi kesihatan dan keselamatan awam serta alam sekitar, atau mana-mana aspek lain bagi kebaikan awam. Ini kerana TPP mengandungi mekanisma Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang akan membenarkan warga asing untuk menyaman kerajaan apabila mereka berpendapat peraturan-peraturan tersebut akan menjejaskan keuntungan mereka.

8. Kedua, TPP akan menghalang, atau seperti kata Stiglitz “mengharamkan” atau “outlaw” usaha negara untuk melindungi Malaysia dari spekulator kewangan antarabangsa. “Sepertimana yang Malaysia sedia maklum dan yang telah dialami semasa Krisis Kewangan 1997 – 98, aliran modal jangka pendek yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketidakstabilan dan menggalakkan krisis. Pada waktu itu, Malaysia telah menggunakan kawalan modal untuk melindungi rakyatnya dari kesan buruk krisis tersebut,” tulis Stiglitz. Dengan TPP, Malaysia akan dihalang dari melaksanakan kawalan modal yang telah pada krisis terdahulu menyelamatkan Malaysia dari kesan yang lebih buruk lagi, seperti berhutang dengan IMF atau Tabung Kewangan Antarabangsa.

9. Ketiga, TPP akan menyebabkan ketidaksamarataan ekonomi dari segi perlanjutan kadar perlindungan harta intelek (IP) yang akan memberi keuntungan yang lebih kepada pemilik IP dengan mengorbankan hak keperluan awam. Dia menyatakan, “Impak ini sangat jelas jika kita mengambil kira betapa ketatnya peraturan IP bagi ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa. Dengan dorongan pelobi “Big Pharma”, perunding AS sedang memaksa negara-negara TPP untuk menerima perlindungan yang dikatakan akan meningkatkan keuntungan, bukan dari penghasilan ubat-ubatan baru tetapi dari menyekat bakal pesaing dari memasuki pasaran dan mengenakan harga yang tinggi yang perlu ditanggung oleh pengguna.”

10. Jika dilakukan dengan betul, kata Stiglitz, “integrasi perdagangan dan pelaburan dengan seluruh dunia akan menjanjikan kebaikan atau keuntungan yang besar bagi Malaysia, namun TPP bukanlah cara untuk mendapatkannya”.
11. Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Tun Razak haruslah mengarahkan perunding Malaysia untuk memastikan yang terbaik bagi rakyat dan negara ini jika beliau betul-betul percaya bahawa rakyat perlu didahulukan, tegas Stiglitz.


Mohd Nizam Mahshar

Pengerusi

Bantah TPPA


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.