Kerajaan Mesti Tegas Isu Penapisan Filem - Nik Abduh

9:01 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

KERAJAAN MESTI TEGAS ISU PENAPISAN FILEM

1. DPPM menggesa kerajaan agar lebih tegas terhadap isu penapisan filem dan rancangan televisyen di dalam menghadapi peningkatan dan perkembangan filem-filem tempatan dan antarabangsa yang terdedah kepada agenda merosakkan agama, budaya dan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

2. Industri filem mempunyai nilai tarikan dan pengaruh yang begitu kuat dalam masyarakat. Pada era globalisasi kini, filem menjadi salah satu medan mempengaruhi pemikiran masyarakat dan ia yang bersifat serampang dua mata boleh membawa kesan negatif jika tiada pengawasan yang teliti terhadap perkara ini.

3. Filem-filem yang membawa unsur aqidah yang salah boleh menyebabkan salah faham terhadap ajaran Islam, faktor akhlak dan moral yang melangkaui batasan agama dan budaya perlu diberi perhatian dan ditapis sebelum ia ditayangkan kepada masyarakat. Ini termasuk juga filem-filem yang berkait dengan unsur pensengketaan antara kaum yang boleh mendorong kepada perbalahan kaum di negara kita.

4. DPPM menyatakan kekesalan dan kerisauan terhadap kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini yang mempertikaikan garis panduan terhadap babak-babak yang tidak sesuai dipertontonkan kepada masyarakat dan menyifatkannya sebagai berfikiran sempit. Ia menunjukkan terdapat konflik kepentingan (conflict of interest) yang berlaku di dalam kerajaan sendiri.

5. Kenyataan tersebut ditakuti boleh mempengaruhi ketegasan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) di dalam memperkukuhkan garis panduan penapisan filem dan penguatkuasaannya ke arah yang lebih patuh kepada syariat Islam.

6. DPPM ingin menggesa ketegasan daripada pihak kerajaan dalam hal ini. Penapisan filem dari sudut jalan cerita, babak lakonan mesti mematuhi perkara yang ditetapkan oleh Islam. Suatu garis panduan yang komprehensif perlu diteliti semula selain memastikan pemain-pemain industri mengikuti garis panduan yang disediakan tersebut.

7. Selain itu, DPPM juga menyarankan agar filem-filem berunsur islamik diperbanyakkan dan diberi nafas oleh kerajaan untuk diluncurkan ke dalam masyarakat agar nilai seni Islam diangkat dan diperteguhkan di dalam masyarakat supaya masyarakat lebih memahami Islam sebagai agama kehidupan, bukan hanya berkisar kepada ibadah tertentu seperti solat dan puasa semata-mata.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Pasir Mas.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.