Bebaskan KWSP dari pelaburan yang tidak patuh syariah (Riba) - Jofri Jaraiee

7:32 AM 0 Comments A+ a-



Bebaskan KWSP dari pelaburan yang tidak patuh syariah (Riba)

Menurut laporan Akhbar Harian baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan melancarkan dana patuh Syariah sepenuhnya pada Januari 2017 sebagai pilihan kepada pencarum yang berminat menukarkan simpanan mereka kepada status patuh Syariah sepenuhnya. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir Abd Latif, berkata saiz awal dana itu dijangkakan antara RM100 bilion dan RM120 bilion. "Dana itu akan berasaskan 'siapa cepat dia dapat' kerana saya tidak rasa kami boleh menampung semua orang. "Kami menyasar kurang daripada RM120 bilion. Ia hanya anggaran," katanya kepada pemberita pada taklimat media baru-baru ini.

Memang ini satu berita yang baik bagi pencarum Muslim yang ada simpanan dalam KWSP tetapi masalahnya sekarang ini mengapa ianya terhad dan tidak secara menyeluruh. Umat Islam yang sudah sekian lama mencarum dan melabur dalam KWSP amat terkejut mengetahui statistik pelaburan aset KWSP setakat 31 Disember 2014 yang 60% tidak patuh Syariah.
Umat Islam amat bimbang hasil pendapatan mereka bercampur dengan pelaburan yang tidak patuh syariah. Selama ini mereka fikir pelaburan KWSP bebas dari unsur-unsur pelaburan yang tidak patuh syariah.

Baru-baru ini juga kerajaan telah memberi pilihan kepada pencarum untuk memilih samaada mengekalkan 11% atau mengurangkannya kepada 8% caruman kepada KWSP. Ada yang berpandangan bahawa haram dan berdosa memilih caruman 11% setelah KWSP membuat penawaran PILIHAN antara mengekalkan 11% atau mengurangkannya kepada 8%, maka ruang untuk MEMILIH wujud pada setiap pencarum Muslim.

Di sini kita siarkan pandangan pihak tersebut yang mengatakan ada dua implikasi:
Pertama: Jika kita sebagai pencarum Muslim memilih untuk mengekalkan caruman kepada 11%, maka ruang pelaburan dana caruman terhadap instrumen yang tidak patuh syariah adalah lebih besar dan dibuat atas dasar pilihan kita sendiri. Maka, pilihan sebegini dianggap kurang menepati sifat wara' dan taqwa seorang Muslim kerana membiarkan ruang pelaburan kepada instrumen tidak patuh syariah lebih besar.

Kedua: Jika pencarum memilih untuk menukar kepada jumlah caruman 8%, maka ruang pelaburan di instrumen tidak patuh syariah secara amnya telah berkurangan sebanyak 3% (11%-8% = 3%). Ini adalah kerana kita berkuasa dan dibenarkan untuk MEMILIH jumlah caruman. Maka pilihan menukar kepada 8% adalah lebih menepati kepada Maqasid Syariah (antaranya menjaga harta dari kebinasaan dan sumber haram) dan mengurangi risiko pelaburan lebih banyak dibuat menerusi instrumen tidak patuh syariah.

Justeru, pilihan ini adalah lebih aslam (selamat) dan sesuai dengan kedudukan individu Muslim yang mementingkan urusan kewangannya sentiasa menepati atau menghampiri kepatuhan terhadap syariah. Jadi lebihan 3% dari gaji bulanan telah terselamat dari pelaburan yang berisiko haram di KWSP dan kita berpeluang menggunakannya (kerana ia akan kekal dalam gaji bulanan yang diterima setiap bulan) samada untuk disimpan atau dilaburkan ke instrumen lain yang patuh syariah atas pilihan masing-masing.

Itu menurut pandangan seorang Eksekutif Kanan Unit Dakwah dan Pemasaran Khas AJK Teknikal Syariah PPZ MAIWP.
Kalau ianya HARAM, mengapa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak bersuara melarang umat Islam dari terus menyimpan dan melabur ke dalam KWSP. Mereka harus berani mengeluarkan fatwa melarang umat Islam dari terus terjerumus dalam perkara yang jelas Haram di sisi syariat Islam.

Persoalan: Adakah KWSP dapat memberi jaminan bahawa pelaburan patuh syariah 100% apabila pencarum memilih 8%? Pandangan yang mengatakan menukar kepada 8% adalah lebih menepati kepada Maqasid Syariah hujahnya kurang kuat kerana ianya masih lagi bercampur dengan pelaburan tidak patuh syariah. Mengapa tidak mendesak KWSP melabur 100% patuh syariah agar tiada lagi unsur riba?

Ramai pencarum Muslim musykil dengan masalah pelaburan KWSP yang tidak patuh syariah sehingga menyebabkan hasil pendapatan mereka dalam KWSP bercampur dengan perkara syubhah ( tidak jelas halal atau haramnya).
Kami menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai peraturan mencarum dan menerima dividen daripada keuntungan pelaburan di KWSP. Bolehkah dikatakan bahawa keadaan darurat bagi umat Islam untuk mencarum dalam KWSP sedangkan majoriti pengurusan atasan terdiri daripada orang Islam.
Sebagai seorang Muslim sepatutnya perkara ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan KWSP untuk membersihkan unsur-unsur riba dari hasil pelaburan KWSP agar pendapatan pencarum umat Islam tidak dicemari oleh unsur-unsur yang dilarang dalam syariat Islam.

Majoriti pencarum sangat berharap dapat mengekalkan 11% kerana hasil dividen dan juga simpanan pencarum akan meningkat kalau dibandingkan hanya 8%. Walaupun dipotong 3% untuk menambah pendapatan bulanan tetapi pada setiap tahun pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengenakan cukai pendapatan yang lebih keatas pencarum. Ini bermakna adalah lebih baik mengekalkan caruman 11% dalam KWSP dari mengurangkan 3% untuk bayaran cukai pendapatan.
Kita juga mengesa pihak KWSP mengasingkan pelaburan pencarum Muslim dengan bukan Muslim untuk mengelak dari termakan hasil riba yang dilarang dalam agama Islam. Dengan mengambil pendekatan “pengasingan” ini, tidak akan timbul isu 11% atau 8%, kerana pelaburan pencarum Muslim akan dilabur mengikut instrumen patuh syariah 100%. Bagi yang bukan Islam juga tidak perlu bimbang kerana mereka bebas memilih pelaburan yang mereka yakini boleh memberi keuntungan kepada pelaburan mereka.

Dengan pengasingan pelaburan itu nanti sekurang-kurangnya simpanan umat Islam dalam pelaburan KWSP bebas dari pelaburan tidak patuh syariah. Mereka boleh membayar zakat pendapatan setelah mereka mengeluarkan semua simpanan dari caruman mereka setelah mencapai usia 55 tahun.

Bagi umat Islam yang telah mencarum sekian lama sudah tentu mereka mahu hasil pendapatan mereka bersih dari riba. Sekiranya simpanan umat Islam dalam KWSP terpaksa dipotong dari hasil riba sudah tentu simpanan mereka selama ini akan berkurangan untuk membersihkan pendapatan dari riba. Sedang yang bukan Islam mendapat hasil simpanan yang penuh berbanding dengan umat Islam melainkan umat Islam tersebut tidak ambil peduli tentang hasil pelaburan mereka. Pihak KWSP seharusnya memikirkan masalah ini sekiranya mereka ingin umat Islam patuh dengan syariah dan bebas dari riba.

Harap masalah ini dapat diberi perhatian oleh pihak KWSP dan juga pihak berkuasa untuk mengelakkan pencarum Muslim terlibat dengan riba. Kerjasama dengan pihak berkenaan untuk mengatasi masalah ini dengan segera amat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

--


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.