100 Wacana Merdeka Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2015 - Nik Abduh

4:27 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

100 WACANA MERDEKA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN 2015


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke 58 pada tahun ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan jelajah ke 100 kawasan di seluruh negara melalui program yang dinamakan sebagai 'Wacana Merdeka Selamatkan Malaysia' bermula 15 Ogos 2015 sehingga akhir bulan September 2015 .

Ia merupakan program yang bersifat serampang dua mata di mana akan menjelaskan intipati kemerdekaan menurut aspirasi perjuangan PAS khususnya di dalam mendepani cabaran dalam politik negara pada hari ini.

Program ini diadakan berikutan suasana kemelut politik yang melanda negara yang sedang bergelumang dengan pelbagai isu yang melibatkan survival rakyat. Daripada isu 1MDB, kejatuhan nilai mata wang, cukai GST, serta dakwaan keterlibatan pimpinan negara dengan skandal penyaluran dana politik ke akaun peribadi, semuanya meletakkan rakyat berada di dalam situasi kalut ribut apatah lagi jika ia menjejaskan kehidupan sehari-hari. Justeru dalam menyambut Hari Kemerdekaan yang sentiasa dijadikan sebagai peluang untuk memupuk rasa cinta rakyat kepada negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia tampil ke hadapan untuk turut menjelaskan kepada rakyat berhubung isu semasa ini supaya rakyat menyedari rasa sayang mereka kepada negara harus diterjemahkan kepada langkah menyelamatkan negara ini daripada terus terjerumus ke lembah kehancuran.

Wacana yang akan menampilkan pimpinan utama Dewan Pemuda PAS Malaysia yang akan turun ke 100 kawasan di seluruh negara juga bermatlamatkan memberikan penjelasan kepada para ahli khususnya anak muda berhubung krisis dalaman yang sedang melanda PAS pada hari ini. Situasi pasca Muktamar PAS 2015 dijangka menjadi persoalan penting yang berlegar di kalangan ahli turut perlu mendapat respon dan penjelasan dari pihak pimpinan. Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sudah tentu akan terus beristiqomah bersama-sama kepimpinan parti yang telah dipilih oleh perwakilan akan turun menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan penyokong supaya sokongan yang diberikan kepada PAS akan terus kekal bahkan dapat ditingkatkan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

100 Wacana Merdeka ini adalah bersifat mesra melalui interaksi dua hala. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan segala persoalan yang timbul serta keraguan yang berlegar akan dapat diselesaikan melalui ruang soal jawab yang akan dibuka sepanjang wacana ini berlangsung.

Sekian, terima kasih.

NIK MOHAMAD ABDUH BIN NIK ABDUL AZIZ,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bertarikh : 1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015M


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.