Tahniah Lee Chong Wei, Kementerian Belia dan Sukan Digesa Tumpukan Pembinaan Bakat Baru - Fadhli Saari

7:57 PM 0 Comments A+ a-



Tahniah Lee Chong Wei, Kementerian Belia dan Sukan Digesa Tumpukan Pembinaan Bakat Baru
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan tahniah kepada wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang telah berjaya mengharumkan nama tanah air apabila mara ke peringkat akhir Kejohanan Badminton Dunia (WBC) sekalipun tewas kepada juara bertahan, Chen Long daripada China sebentar tadi. Pertarungan epik yang mengulangi pertembungan tahun lepas itu menyaksikan Chong Wei tewas 14-21, 17-21 dalam dua set setelah berhempas pulas untuk membawa kejuaraan sulung buat Malaysia.


DPPM mengharapkan agar kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan menumpukan usaha yang gigih kea rah membina bakat baru di dalam sukan badminton yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. China misalnya mempunyai bakat yang begitu ramai sehingga pernah melahirkan wira seperti Lin Dan dan hari ini mempunyai Chen Long sebagai pemain nombor satu dunia. Malaysia agak ketinggalan dengan hanya mempunyai Chong Wei sebagai jaguh yang digeruni di peringkat dunia dan meninggalkan jauh di belakang pemain-pemain lain.

Usaha-usaha berterusan wajib diteruskan bagi memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang digeruni di dalam sukan ini setelah dunia menyaksikan kebangkitan kuasa baru seperti Jepun yang dahulunya tidak dikenali sebagai kuasa badminton dunia. Jepun akhirnya berjaya menjuarai Piala Thomas pada tahun lepas setelah menewaskan Malaysia di peringkat akhir di New Delhi.

Hari ini Lee Chong Wei sudah berusia 33 tahun dan hampir pasti perlawanan hari ini merupakan antara titik akhir dalam kariernya sebagai pemain badminton. Jika tumpuan tidak diberikan kepada pembinaan generasi baru, kita akan terpaksa melihat kehilangan Malaysia daripada peta badminton dunia sedikit masa lagi. Justeru, klinik-klinik badminton wajib diperkasakan, kurangkan politiking di dalam pengurusan badan sukan khususnya badminton dan pupuk semangat cintakan negara yang pastinya menjadi nilai tambah kepada para pemain untuk berusaha bersungguh-sungguh mengharumkan nama tanah air tercinta.

Peluang dan ruang cuma ada hari ini. Kelewatan dalam bertindak menyebabkan kita akan ketinggalan. Seperti kiraan mata badminton, sekali bulu tangkis dipukul, samada kita di hadapan, atau kita ditinggalkan, kiraan mata sama sekali tidak akan statik. Untuk Datuk Lee Chong Wei, anda telah melakukan yang terbaik untuk Malaysia. Tahniah!

Sekian.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Bertarikh : 16 Ogos 2015



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.