Serangan Terbaru di Turki : Pemuda PAS Kutuk Keganasan

1:15 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

29 Jun 2016 | 24 Ramadhan 1437H


SERANGAN TERBARU DI TURKI : PEMUDA PAS KUTUK KEGANASAN

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki petang Selasa 28 Jun 2016 yang mengorbankan 36 nyawa di samping 147 orang lagi mengalami kecederaan. Sehingga ke saat ini, dilaporkan dari siasatan awal pihak berkuasa Turki mempercayai bahawa serangan ini dilakukan oleh lebih seorang penyerang berani mati.

2. DPPM sekali lagi menegaskan bahawa keganasan tidak pernah menjadi penyelesaian kepada mana-mana masalah. Islam sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa. Serangan berani mati di lokasi awam seperti di lapangan terbang ini jelas sekali dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama.

3. DPPM merakamkan takziah kepada kerajaan Turki dan keluarga mangsa yang terlibat. Kebersamaan ini merentasi rantau dan benua apatah lagi Turki seolah-olah sedang menjadi plot utama serangan keganasan. Dunia masih mengingati bagaimana pada 13 Mac yang lepas, bandar Ankara diserang dengan letupan bom yang mengorbankan 34 orang dan mengakibatkan kecederaan 125 orang mangsa. Serangan kali ini pula hampir pasti dilakukan oleh pihak-pihak yang mempunyai cita-cita untuk melihat Turki terus bergolak dalam suasana yang tidak aman.

4. Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran kepada Turki dan rakyatnya di atas ujian di bulan Ramadhan ini.

Sekian.

“Bertekad Melebar Muafakat”

“Inilah Penyelesaian Kita”

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) /
Ahli Parlimen Pasir Mas


Sila kongsi artikel ini...

KEADILAN Kesal Penangkapan Ketua Menteri Pulau Pinang - Wan Azizah

1:12 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA

KEADILAN KESAL PENANGKAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

KEADILAN kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membuat penangkapan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng, petang tadi sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


YAB Lim Guan Eng sebelum ini telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM. Kami berpendapat tangkapan petang tadi adalah tidak perlu, malah cara ia dibuat dengan kehadiran anggota yang begitu ramai seperti YAB Lim Guan Eng itu seorang penjenayah yang amat berbahaya.

Penangkapan dan pendakwaan YAB Lim Guan Eng mengukuhkan persepsi rakyat bahawa wujud satu usaha sistematik dan terancang untuk menakut-nakutkan dan mengganggu pimpinan politik tertinggi pembangkang sebelum tibanya PRU14. Malah, umum belum lagi melihat sebarang tindakan diambil SPRM berkaitan skandal-skandal kewangan besar seperti 1MDB dan "derma" RM2.6 bilion. Apakah hanya pihak pembangkang yang patut menerima layanan seperti YAB Lim Guan Eng, manakala mereka di pihak kerajaan pula menikmati kekebalan di sisi undang-undang?

Oleh itu, KEADILAN menggesa pihak SPRM melengkapkan siasatan dan membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dalam skandal-skandal kewangan tersebut agar terbukti tahap profesionalisme SPRM dan tidak timbul persepsi di khalayak umum bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dan terancang. Inilah peluang terbaik bagi Tan Sri Dr Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, meninggalkan legasi buat SPRM dan membuktikan SPRM bukannya alat politik pemerintah sebelum beliau bersara.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

29 Jun 2016


Sila kongsi artikel ini...

AMANAH Negeri Pulau Pinang atas setiakawan Pakatan Harapan mengharapkan siasatan SPRM telus dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik

1:08 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media AMANAH Pulau Pinang

Saya berada di Bangunan SPRM bersama rakan-rakan bagi menunjukkan sokongan ke atas pendakwaan terpilih yang dikenakan ke atas YAB Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang.

AMANAH Negeri Pulau Pinang atas setiakawan Pakatan Harapan mengharapkan siasatan SPRM telus dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik malah kami meyakini Lim Guan Eng tidak bersalah.

Jika pendakwaan ini bertujuan melemahkan kami dan perjalanan politik kami, mereka silap kerana kami semakin kuat semangat untuk meneruskan perjuangan membela rakyat.

Orang ramai sudahpun berhimpun di hadapan bangunan SPRM Pulau Pinang tanda sokongan dan esok kami akan berada di mahkamah untuk menyatakan solidariti kami.

Sekian Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinan


Sila kongsi artikel ini...

Elak menjadi hakim, pembicaraan melalui media - Tuan Ibrahim Tuan Man

1:06 PM 0 Comments A+ a-



Elak menjadi hakim, pembicaraan melalui media

Dalam kes pendakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, PAS tetap berpegang pada pendirian yang dinyatakan Tuan Guru Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Guan Eng tidak bersalah sehingga dibuktikan sedemikian.

Tuduhan tidak boleh menjadi satu keputusan. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan.


PAS mengharapkan Guan Eng akan mendapat pembicaraan yang adil.

Sehingga hari ini, PAS tetap kesal dengan tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menjadi hakim kepada siasatan SPRM terhadap Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tanpa membawa kes tersebut ke mahkamah untuk dibicarakan seperti yang berlaku pada Guan Eng, di mana beliau menjadi ketua pendakwaraya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
30 Jun 2016


Sila kongsi artikel ini...

KAFIR HARBI: KENYATAAN MUFTI PAHANG UNDANG BAHAYA - SHEIKH OMAR ALI

4:09 AM 0 Comments A+ a-



KAFIR HARBI: KENYATAAN MUFTI PAHANG UNDANG BAHAYA - 25 Jun 2016

Saya ingin menarik perhatian semua pihak kepada berita yang dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan portal sesawangnya Utusan Online bertarikh 24 Jun 2016 bertajuk "DAP tergolong kafir harbi yang wajar ditentang" seperti capaian berikut "http://m.utusan.com.my/…/dap-tergolong-kafir-harbi-wajar-di…".


Saya berpendapat bahawa kenyataan Mufti Pahang adalah pra-matang dari aspek mencermati perbahasan para ilmuan Islam tatkala mendefinisikan istilah 'kafir harbi' dalam konteks sistem politik moden hari ini.

Di Malaysia, kenyataan Mufti Pahang amat berbahaya khususnya dalam konteks masyarakat majmuk dan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Mengeluarkan hukum bahawa DAP adalah kafir harbi merupakan suatu tuduhan amat berat yang implikasinya boleh menyebabkan pertumpahan darah, kacau bilau dan menggugat ketenteraman awam serta negara.

Kenyataan beliau yang menggolongkan DAP sebagai kafir harbi juga boleh membawa maksud darah seluruh ahli DAP adalah halal termasuk darah kami ahli DAP yang beragama Islam. Tidakkah kenyataan ini mengancam keselamatan negara dan saling tak tumpah 'ala IS' bunyinya ?

Bagaimana jika sebentar lagi ada mana-mana orang yang terjumpa mana-mana ahli DAP dan membunuh mereka kerana mengikut hukum yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang ini?

Mufti Pahang dilaporkan berkata "Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka."

Kami amat kecewa kerana Mufti Pahang turut gagal mengemukakan fakta terperinci dan bukti kukuh untuk dijadikan hujah yang boleh disandarkan keatas tuduhan berat 'kafir harbi' tersebut.

Bahkan kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah beliau gagal menekuni fiqh muassirah(fekah semasa) yang giat diperbahaskan ulama' dan para sarjana lewat hari ini seperti Dr Yusuf Al-Qardhowi dan sebagainya!

Apa bukti DAP menentang Islam? Di mana bukti DAP membenci Islam? Menyandarkan hujah DAP tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen Marang sebagai menentang dan membenci Islam adalah hujah yang amat lemah.

Beliau harus sedar bahawa beberapa pemimpin negara beragama Islam yang bertaraf Menteri juga turut tidak terlepas daripada mengkritik bahkan bercanggah pendapat dalam isu perlaksanaan hudud serta RUU Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang.

Bagaimanakah seorang mufti kerajaan negeri boleh mengeluarkan kenyataan yang cukup lemah seakan-akan berasaskan emosi atau didorong sentimen politik kebencian semata-mata?

Saya sebagai Muslim yang menganggotai DAP amat berasa malu dengan kenyataan naif Mufti Negeri Pahang tersebut. Ia tidak menggambarkan ilmu dan akhlak Islam malah menjatuhkan imej Islam sebagai agama yang mudah melabel tanpa fakta dan bukti.

Saya ingin bertanya Mufti Pahang, adakah beliau melakukan rujukan dengan mana-mana pihak lain seperti Majlis Fatwa Kebangsaan misalnya sebelum melabelkan DAP sebagai kafir harbi? Jika tiada, sebegitu mudahkah hukum seberat meng'kafir harbi'kan orang dikeluarkan? Lekeh benarkah institusi agama kita?

Di kesempatan ini, saya ingin melayangkan soalan dari Mufti Pahang berhubung pendirian beliau terhadap beberapa keadaan seperti berikut;

1- Kerajaan Negeri Selangor yang dibentuk oleh parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP pasca PRU 2008 dan diperkenan oleh Sultan Selangor. Jika DAP kafir harbi, apakah pendirian beliau terhadap kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PAS PKR dan DAP?

2- Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional. Dalam isu hudud sepertimana dipetik oleh Mufti Pahang sendiri yang meng'kafir harbi'kan DAP, apakah pendirian beliau terhadap UMNO yang lebih 50 tahun memerintah negara tanpa melaksanakan hudud bahkan bersekutu dengan MCA yang cukup keras menentang hudud?

Dalam masa sama, saya sebagai ahli DAP beragama Islam menjemput Mufti Pahang atau memohon beliau sendiri untuk mengadakan pertemuan mahabbah dengan pihak DAP agar penjelasan lebih jelas dan tepat diperolehi. Dialog adalah antara jalan bagi menutup pintu-pintu yang mendorong kepada pendekatan ekstrem.

Saya juga berharap agar pihak berwajib yang memiliki perkaitan dalam hal ini sentiasa memainkan peranan memandu para agamawan agar lebih berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataaan mahupun fatwa untuk membendung kemungkinan-kemungkinan yang boleh memudharatkan rakyat dan negara.

----------

SHEIKH OMAR ALI
Penolong Setiausaha Publisiti
DAP Johor
Graduan Usuluddin
Akademi Pengajian Islam UM


Sila kongsi artikel ini...

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti

4:07 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya.


Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerana kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara.

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba.

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016


Sila kongsi artikel ini...

SYUKUR ALHAMDULILLAH DATO'BASHAH DAH KELUAR DARI WAD HOSPITAL P.PINANG - Mahfuz Omar

3:38 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

*SYUKUR ALHAMDULILLAH DATO'BASHAH DAH KELUAR DARI WAD HOSPITAL P.PINANG*.

1.Alhamdulillah saya bersyukur YAB Dato'Bashah MB kedah sudah pun keluar dari wad hospital P.Pinang dan di benarkan pulang kerumahnya.Sudah tentu menjadi kegembiraannya dan keluarga apabila Bashah dibenarkan pulang.Terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawat Bashah yang telah memberikan yang terbaik.Moga mereka semua mendapat ganjaran pahala yang lumayan dari Allah dibulan Ramadzan.

2.Apa yang masih belum terjawab ialah berapa lama Bashah perlu berehat untuk memasti beliau pulih sepenuhnya.Ini sangat penting untuk memastikan beliau dapat kembali ke Wisma DarulAman dalam keadaan yang fit.Persoalan yang saya bangkitkan kerana pembedahan yang dilakukan keatas Bashah ialah major pembedahan bukannya minor pembedahan.Apatah lagi diwaktu berlaku kejadian Bashah mengalami pitam.Tak mungkin dalam tempoh yang singkat dapat pulih.Mana mungkin seorang MB hanya sekadar duduk di Pejabat tanpa turun kebawah untuk menghayati denyut nadi rakyat.

3.Seorang MB bukan sekadar mempengerusi mesyuarat tetapi perlu memerah otak untuk berfikir tentang pembanggunan ekonomi untuk masa depan rakyat dan negeri Kedah.Sebab itu jawapan kepada persoalan saya ialah berapa lama masa untuk Bashah berehat.*Kita tidak boleh memaksa atau membiarkan beliau memaksa diri untuk bekerja yang boleh menjejaskan kesihatan beliau*.

4.Sebaliknya pakar perubatan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu menasihat Bashah untuk berihat secukupnya dan jawatan MB boleh dipangku oleh orang lain.Dan Bashah sendiri perlu menyedari yang beliau perlu berihat secukupnya bagi memastikan kesihatannya berada pada tahap yang cukup stabil dan fit.

5.Saya tidak menyuruh dia berhenti atau melatakan jawatan MB tetapi saya minta beliau bercuti.Saya faham tentang pekeliling kerajaan dan undang undang tubuh negeri Kedah yang menyebut jika MB bercuti lebih 28 hari secara berterusan baru jawatan MB dipangku.Bukan salah pun Bashah ambik cuti lebih dari 28 hari dan jawatan MB dipangku kerana nak pulih masaalah kesihatan agar betoi betoi fit.Baghu sambung tugaih.*Beliau tidak perlu bimbang jawatan MB tidak akan hilang hanya dipangku sementara*.

6.Rakyat akan terima proses ini kerana mereka perlu perhatian yang serius dari seorang ketua kerajaan (MB).Pegawai keliling kelalang Bashah yang menerima lantikan politik jangan lah bimbang.Jawatan lantikan mereka tak akan hilang.Pemangku MB pasti akan manfaatkan khidmat kamu.*Nampak yang gelisah dengan kenyataan saya pegawai keliling Bashah.Saya percaya depa takut pemangku MB buang depa lantik orang lain*.Sebab tu depa kona kenyataan saya.

7.Saya tak nafi Sapa pun akan sakit.Saya pun sakit.Ogos ini saya akan masuk wad.*Ini bukan soal adun atau Ahli Parlimen biasa.Bashah bukan tauke pasembur atau mee tonggek*.Bashah bukan MB untuk parti Umno.Beliau adalah adalah MB dan ketua kerajaan untuk rakyat Kedah.Bila dia sakit dia tak boleh bagi perhatian pada tugas.Walaupun ada exco dan KCS tetapi MB perlu memikir,merancang idea,memimpin,memantau,menyelia dan sebagainya.Apapun saya minta Bashah bertenang dan *pegawai keliling jangan ghisau jawatan depa tak hilang.Sempat lagi makan sagon*.

8.Terpulanglah kepada Bashah sama ada nak dengaq nasihat saya atau tidak.Saya nasihat demi kepentingan negeri dan rakyat Kedah.Banyak lah berehat Sebelum kembali bertugas.Jauh dan lama lagi nak kena kenjoi lepaih ni.Jangan nanti jadi macam PM Najib sampai tak makan nasihat dan akhirnya *1Kedah masuk wad ICU*.

‪#‎BashahCepatSembuh‬
‪#‎SelamatkanKedah‬
‪#‎SelamatkanRakyatKedah‬ *DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR
Asai usoi sebelah Mak Kg Jerlun
Beghanak di Kg Aloq Senjaya
mukim Titi Gajah*.
11.30am 26 Jun 2016/21 Ramadzan 1437H


Sila kongsi artikel ini...

Apabila rasuah dianggap rezeki… - Tuan Ibrahim Tuan Man

12:50 PM 0 Comments A+ a-



Apabila rasuah dianggap rezeki…

Apakah yang dimaksudkan rasuah?

Rasuah ialah apabila seorang cuba membayar sejumlah wang bagi melepaskan diri daripada saman trafik, dan duit itu pula diterima oleh penguatkuasa sebagai imbuhan untuk melepaskannya.

Rasuah ialah apabila seorang mengambil tawaran daripada seorang pembida agar peluang dia memenangi bida tersebut menjadi tinggi sebagai imbuhan.

Rasuah ialah apabila ada pihak menawarkan duit kepada pengundi supaya pengundi dapat mengundi pihaknya sebagai imbuhan.

Dalam erti kata lain, rasuah sebenarnya ialah tindakan memakan harta orang lain dengan cara yang batil iaitu menerima rasuah atau suap bagi mendapatkan manfaat seperti menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya atau merugikan lawannya, didahulukan urusannya atau ditunda kerana suatu kepentingan atau mendapatkan satu kedudukan dan pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelayakan pemberi rasuah daripada mereka di kedudukan berkuasa.

Pengertian rasuah itu sebenarnya amat luas, ia bukan hanya tertumpu kepada masalah kewangan sahaja, tetapi juga termasuk penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan.

Yang menyayatkan hati ialah meskipun mengetahui rasuah ialah satu perbuatan jenayah, namun rakyat dan kerajaan telah membiarkan virus ini menular dan menjadi darah daging masyarakat.

Rasulullah S.A.W. dalam hadis sahih menyebut:"Pemberi rasuah, penerima rasuah & orang perantaraan menguruskan rasuah (orang tengah) semuanya sama akan dimasukkan ke dalam neraka."

Hatta di dalam ayat Quran pun disebut rasuah adalah haram di sisi Islam.

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." Al-Baqarah: 188

Cuma masalahnya, ramai yang hanya mulutnya menolak rasuah, namun apabila berdepan dengan rasuah, ia pula dianggap rezeki.

Contoh yang paling mudah ialah rasuah kesalahan trafik. Yang memberi rasuah menganggap ia adalah rezekinya untuk membayar ‘denda’ yang jauh lebih rendah daripada sepatutnya manakala penerima rasuah menganggap ia adalah rezeki lebihan kerana berbuat baik melepaskan seorang pesalah trafik.

Perkara yang sama juga berlaku di peringkat yang lebih tinggi, apabila pembida kontrak memenangi bidaan yang tidak sepatutnya dimenangi melalui rasuah menganggap itu adalah rezekinya. Penerima rasuah pula berasa ia adalah rezeki tambahannya kerana ada pembida yang sanggup membayarnya, kerana baginya tiada beza sekiranya projek itu dianugerah kepada pembida A mahupun B.

Ramai juga yang tidak mengerti kesan rasuah. Penerima rasuah merasakan rezeki mereka bertambah sehingga mereka boleh hidup mewah di luar kemampuan mereka. Pemberi rasuah pula selalu mendapat manfaat daripada cara yang batil walaupun mereka tidak layak dan merompak hak mereka yang layak.

Jelas, mereka yang dipandu hawa nafsu, sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat dan tidak bersyukur sehingga melibatkan diri dalam rasuah gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah.

Rasuah bukan sahaja menaikkan kos sara hidup, akan tetapi ia juga mengganggu dan membantu pentadbiran sesebuah kerajaan. Dunia perniagaan menjadi tidak menentu dan menjurus ke arah kerugian. Pelabur hilang minat melabur di negara, dan ini mengurangkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Akhirnya, rakyat yang akan susah kerana sebahagian kos sara hidup mereka telah ditelan oleh rasuah.

Rasuah menjadi punca utama rosaknya rakyat Malaysia sebagai satu bangsa yang bermaruah dan tercemarnya imej Islam. Rasuahlah yang membawa negara ke tahap hari ini. Tidak keterlaluan jika kita menggelar sesiapa yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara.

Di bulan Ramadan ini, tercetus satu persoalan di minda, bagaimanakah rakyat dapat diajak membenci rasuah? Bagaimana kita boleh bersama mendidik rakyat bahawa rasuah itu bukan satu rezeki?

Di dalam Islam, telah ditekankan bahawa balasan bagi perbuatan rasuah itu tidak lain ialah neraka jahanam. Itulah seksaan dan azab pemberi rasuah dan penerima rasuah. Namun amaran ini dipandang lekeh kerana ramai yang hanya hidup mengejar dunia, tanpa mempedulikan kesannya di akhirat. Malah, sesungguhnya rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah seorang Muslim.

Mereka yang menikmati rasuah sebagai rezeki juga lupa kesannya kepada ahli keluarga yang diberi makan minum dari hasil yang haram tersebut. Sedangkan Rasulullah ada menyebut dalam hadis Baginda akan balasan orang yang memakan makanan yang haram dan tidak halal.

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu". Al-Baqarah: 168

Kerja memerangi rasuah yang kini menunjang di Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ia tidak mustahil asalkan semua pihak dapat sama-sama berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.

PAS akan terus menggunakan pendekatan Islam dan bekerja keras tanpa mengira jemu berjihad menentang rasuah, kerana rasuah adalah satu penyakit yang paling bahaya untuk sesebuah negara dan rakyatnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Jun 2016


Sila kongsi artikel ini...
Recent Posts Widget

.

.