Kenangan. 1987. Pada satu pagi hari penerbitan Harakah ... - Zin Mahmud

1:50 PM 0 Comments A+ a-



Kenangan. 1987. Pada satu pagi hari penerbitan Harakah. Seperti biasa pada malam hari penerbitan Harakah, ia merupakan deadline dan semua petugas lelaki Jabatan Pengarang, wartawan dan pelukis grafik perlu tidur di pejabat kerana kerja hanya habis sehingga awal pagi untuk dihantar cetak. Ahmad Lutfi Othman, Zulkifli Sulong, Taufek Yahya, Nasir Awang, Bakar Haq, Zulkifli Yahya dan lain lain kesemuanya kena tidur di pejabat pada malam deadline.

Hanya selepas habis hantar ke cetak baru kami tidur di atas lantai bergelimpangan. Apabila lepas sembahyang Subuh, kami turun minum, kadang kadang di restoran Yusof Haslam. Pagi itu pengedar pengedar Harakah dari seluruh semenanjung sudah berkumpul untuk mengambil naskhah mereka. Ada juga penyokong penyokong PAS yang datang untuk beli Harakah secara langsung.

Sebelum aku balik aku akan mengambil naskhah aku dan menyemaknya.
Pada satu pagi sedang aku berdiri di depan kaunter belek belek Harakah, datang sebuah kereta Mercedes dan berhenti di depan aku. Dari pintu keluar, seorang veteran berpakaian bush jacket kuning. Aku segera mengecamnya, beliau ialah Pak Aziz Ishak.

Beliau datang untuk membeli Harakah. Aku mengambil senaskhah dan memberikan padanya. Pak Aziz hulurkan RM10 dan katanya gunakanlah baki untuk belanja makan pagi kawan kawan.
Aku pun serahkan wang itu pada petugas kaunter. Menurut beliau, Pak Aziz memang membeli Harakah dengan harga RM10 senaskhah.

Menurut Cikgu Ishak Surin yang ketika itu pengurus Harakah, Pak Aziz adalah ahli PAS. Beliau adalah rakan seperjuangan Cikgu Ishak dan Pak Hussein Yaakob ketika dalam Front Sosialis. Pak Aziz Ishak adalah bekas Menteri Pertanian zaman Tunku. Beliau dipecat dari kabinet kerana enggan menggunakan baja buatan British. Pak Aziz kemudian menubuhkan Parti Konvensyen Malaya. Parti ini bersama dengan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya menubuhkan Front Sosialis. Cikgu Ishak dan Pak Hussein adalah dari Parti Rakyat dan Parti Marhaen sebelum menyertai PAS. Pak Hussein dan Pak Aziz ialah bekas wartawan Utusan Melayu. Sebelum Harakah, Pak Hussein menerbitkan Mingguan Bumi yang menampung berita-berita PAS.

Mereka ini adalah antara golongan kiri yang menyertai PAS pada sekitar 80-an kerana tertarik dengan watak inklusif dan revolusioner parti itu selepas tercetusnya Revolusi Iran.

Kini Pak Aziz dan Pak Hussein sudah tiada tetapi sumbangan mereka kepada perjuangan untuk membela rakyat tetap dikenang. Cikgu Ishak masih aktif. Tahun lalu beliau menyertai Parti Amanah Negara. Perjuangannya bermula dari Parti Rakyat Malaya, Parti Marhaen, Parti Keadilan Masyarakat, PAS dan akhirnya dengan Parti Amanah Negara


r


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.